Nyata misi baharu itu menjadi platform lebih jelas untuk memacu pembangunan Johor yang lebih sejahtera dalam tempoh 10 tahun akan datang.

Aspirasi tersebut yang diumumkan oleh Menteri Besar semasa membentangkan Bajet Johor 2018 pada Khamis lalu bukan sahaja membawa harapan baharu yang lebih realistik kepada rakyat yang terkenal dengan ungkapan Bangsa Johor, malah memberi tamparan hebat kepada parti pembangkang, khususnya wakil rakyat mereka di negeri ini.

Bajet Johor 2018 yang disifatkan terbaik, apatah lagi berjaya mengekalkan momentum bajet lebihan lapan tahun berturut-turut juga dianggap bersifat holistik dan inklusif kerana berupaya memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat berdasarkan 153 titik sentuh yang digariskan.

Sebut sahaja dalam aspek peningkatan ekonomi, sosial, perumahan sehingga usaha membangunkan golongan belia dan kanak-kanak, semuanya terangkum dalam titik sentuh bajet berkenaan.

Malah bagi memacu dan melonjakkan pembangunannya, kerajaan negeri turut menubuhkan Jawatankuasa Ekonomi Baharu Johor untuk merangka strategi serta melakukan persiapan supaya bersedia untuk mendepani cabaran ekonomi masa depan yang berorientasikan ekosistem digital dan pencernaan idea.

Bagi merealisasikan impian supaya semua daerah mempunyai produk ikon masing-masing, pelaksanaan Pelan Pertumbuhan Strategik Johor (PPSJ) turut diperkasa dan dipergiatkan.

Bagi isu hangat masalah kini iaitu perumahan untuk rakyat, Mohamed Khaled turut mengumumkan komitmen jitu kerajaan negeri untuk menambah pembinaan sebanyak 40,000 lagi Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), menjadikan jumlahnya 100,000 menjelang tahun 2023. Jumlah tersebut adalah tambahan kepada 60,000 unit yang disasarkan pada tahun 2020.

Menyedari denyut nadi rakyat khususnya pasangan muda yang mungkin belum mampu membeli kediaman sendiri ekoran kekangan kewangan, kerajaan negeri turut memperkenalkan skim sewa beli.

Dengan usaha dan komitmen jitu kerajaan negeri, pemerhati politik tempatan menyifatkan Bajet Johor 2018 bukan sahaja tamparan, malah pukulan KO kepada wakil pembangkang yang sering mempertikaikan usaha untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Malah ada yang menganggap bajet tersebut sebagai tamparan kedua kepada wakil rakyat pembangkang selepas kerajaan negeri berjaya menganjurkan Ekspo Johor Berkemajuan 2017 di Dataran Mahkota, Kota Iskandar pada Oktober lalu.

Ini kerana kerajaan negeri berjaya membentang ‘Kad Laporan’ secara terbuka khususnya untuk rakyat menilai usaha yang telah dilakukan, kejayaan serta perancangan masa depan untuk negeri ini yang turut diiktiraf oleh Kerajaan Pusat pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai kuasa ekonomi baharu negara ini.

Malah, orang ramai yang mengunjungi ekspo tersebut menyifatkan usaha dan perancangan yang dilakukan kerajaan negeri berjaya membawa manfaat, kemajuan dan kesejahteraan bagi negeri ini.

Soalan untuk wakil rakyat pembangkang, bila lagi nak tunjuk kad laporan kepada rakyat? Kalau kerajaan negeri pimpinan Barisan Nasional (BN) mampu mengemukakan laporan kepada rakyat, kenapa tidak wakil rakyat pembangkang. Usah hanya ‘menyalak’ menyalahkan dan hanya bersikap menghentam kerajaan, tetapi kemukakan idea dan perancangan untuk meningkatkan ke­sejahteraan rakyat.

Janganlah hanya mencari salah dan kelemahan tetapi berusahalah menjadi wakil yang bersama-sama memberi idea dan jalan penyelesaian bagi setiap isu yang timbul demi kesejahteraan rakyat.