Demi kepentingan, siapapun yang dahulunya pernah saling berseteru, boleh bersatu.

Tindakan 13 wakil rakyat dan 21 ketua UMNO bahagian dari Sabah keluar parti menjadi ahli politik bebas pada pengamatan ramai, pastinya lebih terarah untuk survival politik masing-masing.

Bukanlah sangat soal rakyat, tapi demi kepentingan diri lebih diutamakan. Pola politik semasa tanah air sudah berbeza. Jika masih terus berada dalam parti asal, karier politik mereka barangkali ‘habis’. Apa lagi dengan UMNO kini berada di pihak pembangkang kelihatan ‘tidak boleh melakukan sesuatu’.

Mungkin inilah yang hinggap dalam kotak fikiran bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Hajiji Mohd. Noor bersama orang-orangnya termasuklah penyokong tegar Datuk Seri Najib Tun Razak iaitu Datuk Seri Dr. Salleh Said Keruak.

Merapatkan diri dengan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang berkuasa di peringkat negeri dan Pusat suatu ‘langkah pragmatik’ untuk memastikan gerombolan ini terus dilihat relevan dalam konteks politik semasa. Ya, bukan sahaja untuk manfaat diri sendiri tapi juga kepada rakyat dan pengundi di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen masing-masing.

Sudah tentu apabila bersama Warisan yang diketuai Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal dan kerajaan Pusat PH, ia akan memposisikan kumpulan yang keluar UMNO ini dalam kedudukan lebih mantap.

Keputusan keluar UMNO kepada kebanyakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen ini agaknya lebih berbaloi kerana masih ada pengaruh akar umbi tersendiri.

Cuma persoalannya, ke mana perginya aura dan semangat berjuang mereka untuk UMNO kerana selama ini UMNO lah yang telah menyediakan platform kepada mereka sehingga berjawatan tinggi di negeri dan Pusat - timbalan menteri dan menteri? Inilah yang harus dijawab secara jujur - sama ada mengakibatkan UMNO Sabah lumpuh ini demi rakyat?

Gerombolan ini harus jujur terhadap kebenaran-kebenaran pada diri sendiri, kepada pihak lain dan kebenaran pada hakikatnya. Jujurlah pada kebenaran politik berpaksikan etos (kewibawaan) yang dipandang tinggi oleh masyarakat.

Di sebalik ‘tanggapan serong’ ini, sekali lagi barangkali tindakan keluar UMNO akan menjadikan politik Sabah lebih stabil. Dan implikasinya, kedudukan bekas Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman yang berhadapan kes mahkamah menjadi lemah dan dipinggirkan. Ini menyaksikan sejarah politik Musa sudah hampir tertutup sekali gus memberi kekuatan baharu kepada Mohd. Shafie.

Apa pun, orang Semenanjung kena akui, senario politik di Sabah agak unik. Suatu ketika, Parti Bersatu Rakyat Jelata Sabah (Berjaya) dan Parti Bersatu Sabah (PBS) membuktikan tiada yang mustahil dalam jatuh bangun politik.

Datuk Harris Salleh yang me­nubuhkan Berjaya baru dua bulan pada 1973, berhasil menewaskan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (USNO) pimpinan Tun Datu Mustapha Datu Harun.

Kemudian, Datuk Joseph Pairin Kitingan yang keluar beramai-ramai bersama pemimpin Kadazan lain dari Berjaya membentuk PBS. Hanya tiga bulan beroperasi, PBS menumbangkan parti Berjaya dalam pilihan raya negeri 20-21 April 1985.

Tindakan keluar beramai-ramai en masse merupakan satu budaya politik di Sabah. Orang Sabah kata budaya ‘politik katak’ melompat dari kolam kering ke kolam berair. Ini dilakukan Madius Tangau dan ADUN-ADUN Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) pada subuh keputusan Pilihan Raya umum Ke-14 (PRU-14). Tindakan mereka hampir mencetus krisis Perlembagaan bila dua ketua menteri dilantik dalam tempoh kurang seminggu.

Dan kalau orang macam Salleh ‘si cybertrooper, bekas menteri komunikasi itu’ pun sudah pantas beralih arah, apa nak dikatakan lagi.

Biar apa pun alasan gerombolan keluar UMNO dari Sabah tadi, gurauan mendiang Bob Hope, seorang penghibur Hollywood berkenaan ahli-ahli po­litik yang masih mempolitikkan hal-hal tertentu dan memberi ucapan antara syurga dan neraka, kelihatan ada kebenarannya.

Hope menyindir bahawa ada beberapa ahli politik telah memberi ucapan-ucapan yang baik dan meyakinkan, ‘sehinggakan perjalanan mereka ke neraka ditunda di antara syurga dan neraka’.