“Mengapa tak nampak kemeriahan Jalur Gemilang di jalan-jalan raya dan bangunan kerajaan walaupun Sambutan Hari Kebangsaan 2017 cuma beberapa hari sahaja lagi?”

Komen Kay Kim: “Ini semua kerana orang muda kurang didi­dik mengenai Jalur Gemilang, bila meniti dewasa mereka tak tahu pentingnya bendera kebangsaan.

“Suatu ketika orang tidak puas hati dengan parti, mereka bakar bendera kebangsaan. Kalah bola, penyokong pasukan itu bakar bendera kebangsaan. Di sekolah, sebilangan murid ditekankan pentingnya markah sains dan matematik. Mereka diberitahu pentingnya ‘buat duit’, nilai-nilai murni kurang diterapkan.”

Mana perginya semangat patriotik orang kita?

Tahulah ketika ini temasya Sukan SEA ke-29 (KL2017) sedang berlangsung. Kerap juga Negaraku berkumandang di podium emas.

Tetapi mengapa tak nampak meriah pun Jalur Gemilang dipasang, berkibar di bangunan-bangunan kerajaan dan syarikat milik kerajaan (GLC).

Kenderaan yang menjalar di jalan raya dan lebuh raya tidak ‘menyala’ langsung ‘jalur-jalur merah, putihnya’.

Kalau di negara tetangga, Indonesia, pihak berkuasanya akan mengarahkan setiap rumah dan premis memasang Sang Saka Merah Putih menjelang sambutan kemerdekaan setiap 17 Ogos.

Suatu ketika wakil Utusan Malaysia di sana berapa tahun lalu dikejutkan dengan kedatangan anggota rukun tetangga di taman perumahannya di Jakarta. Di luar rumahnya, kedengaran sergahan terhadap jirannya, seorang ekspatriat kerana tidak memasang bendera Indonesia di halaman kediamannya mendekati hari-hari sebelum 17 Ogos.

Begitu tebalnya semangat kebangsaan rakyat negara jiran kita.

Hidup di bawah penjajahan hakikatnya samalah macam melukut di tepi gantang. Masuk tak penuh keluar tak luak, duduk tak sama rendah, berdiri tak sama tinggi.

Bagi mereka yang umurnya 50 tahun hari ini, mungkin tidak berapa ingat peristiwa-peristiwa penting yang berlaku. Lebih-lebih lagi anak muda yang dilahirkan dalam suasana menyedut udara merdeka, setelah kedaulatan negara kembali ber­ada di atas paksinya.

Ketika Pemuda UMNO mencadangkan slogan Hidup Melayu ditukar kepada Merdeka dalam tahun 1951, bukan sahaja sindiran dilemparkan malah ejekan dan penghinaan diterima oleh UMNO daripada pembesar-pembesar Melayu sendiri.

Ada pihak berpendapat bagaimana mahu merdeka sedangkan ‘buat sebatang jarum pun tak tahu’. Suatu ketika semasa menentang Malayan Union pada 1946, pejabat pe­nerangan kerajaan Inggeris menampal poster di kampung-kampung dengan gambar seorang haji memakai serban memegang tali teraju layang-layang berbentuk kubung (sejenis binatang seakan-akan kelawar atau keluang).

Tangan kanan haji itu memegang teraju ditulis dengan perkataan huruf besar ‘siapa pegang teraju’. Itu sindiran yang amat tajam orang Melayu tidak layak memegang teraju. Ertinya tidak ada rupa orang Melayu hendak menentang Malayan Union dan kerajaan Inggeris yang gagah perkasa.

Demikianlah penghinaan kepada orang Melayu apabila digambarkan sebagai seorang haji itu adalah orang Melayu memegang teraju layang-la­yang kubung, tetapi sebenarnya ialah Inggeris sendiri. Bagi jabatan pro­paganda itu hanya Inggeris sahaja layak mentadbir negara ini.

Satu lagi kisah, detik wakil Pemuda UMNO Mohd. Tahir Majid menurunkan bendera Union Jack dan Hamzah Alang menaikkan bendera Persekutuan Tanah Melayu (sekarang Jalur Gemilang) pada 30 Ogos 1957 pukul 12 tengah malam di padang Kelab Selangor (sekarang Dataran Merdeka).

Sebelum itu dalam mesyuarat Exco Pemuda UMNO di rumah ketuanya ketika itu Sardon Jubir, satu perutusan diterima daripada Pesuruhjaya Tinggi Malaya, Sir Donald Mac Gillivary meminta supaya tidak diadakan upacara menurunkan bendera Union Jack.

Alasan yang diberi oleh Mac Gillivary - kemerdekaan negara ini dicapai melalui setitik dakwat dan sehelai kertas, bukannya secara revolusi seperti berlaku di Indonesia yang menumpahkan darah serta mengorbankan nyawa. Justeru kononnya adalah wajar maruah penjajah dipelihara dengan mempertahankan bendera berkenaan.

Namun, Pemuda UMNO tetap tidak berganjak dengan keputusan mahu melakukan upacara simbolik menurunkan bendera Union Jack dengan tidak menghiraukan saranan Mac Gillivary.

Malayan Union menjadi satu hikmah kepada bangsa Melayu apabila mereka berada dalam keadaan perahu sudah terasak ke tebing, ikan sudah sesak ke belat. Ledak kebangkitan semangat ketika itu telah berjaya menyatupadukan orang Melayu.

Rakyat Malaysia termasuklah orang Melayu tidak mampu berpecah lagi menjelang 31 Ogos ini.

Kata Kay Kim sebelum meng­akhiri perbualan pendek melalui telefon itu:

“Orang muda tidak faham apa itu kemerdekaan. Kalau tanya mereka maksud negara bangsa, mereka tidak tahu, apa maksud perlembagaan mereka tidak tahu.

“Kalau sebut apa berlaku sebelum 1957, mereka tidak faham. Mereka beranggapan 31 Ogos hanyalah cuti umum.”