Tetapi tidak mengapa biasalah dalam politik, macam mana lagi cara mahu tarik sokongan, kalau bukan dengan memburuk-burukkan parti lawan walaupun yang dicaci, dihina dan ditohmah adalah sebuah parti yang sebangsa dan seagama dengan mereka.

Bagaimanapun apa yang menarik perhatian penulis ialah keterujaan dan keghairahan Bersatu untuk menggantikan UMNO sebagai parti Melayu bagi melindungi kepentingan masyarakat itu dengan hujah UMNO sudah ditolak oleh rakyat dan sebuah parti yang rosak.

Kalau betullah Bersatu boleh menjaga kepentingan orang Melayu, Alhamdulillah, tetapi persoalannya mampukah Pengerusi parti, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang sekali lagi ‘sebak’ mengenang nasib bangsanya meletakkan parti tersebut berada pada kedudukan itu?

Sebenarnya penulis tidak meragui keikhlasan Dr. Mahathir untuk meningkatkan martabat orang Melayu tetapi persepsi yang perlu dikikis ialah yang menggagalkan usaha itu bukan orang lain tetapi beliau sendiri.

Kalau sejarah politik negara dikaji, orang Melayu berpecah belah kerana politik dan sepanjang 22 tahun menjadi Perdana Menteri ketika berada dalam UMNO, pernahkah beliau berusaha menyatukan orang Melayu?

Sebaliknya apa yang kita saksikan UMNO terpecah tiga apabila terwujudnya Parti Melayu Semangat 46 (S46) dan PKR. S46 wujud apabila berlaku pertembungan antara Dr. Mahathir dengan Tengku Razaleigh Hamzah bagi jawatan Presiden.

Manakala PKR terlahir hasil reformasi jalanan berikutan tindakan Dr. Mahathir memecat Datuk Seri Anwar Ibrahim. Pada masa sepanjang tempoh itu juga Pas menjadi sasaran serangan Dr. Mahathir boleh dikatakan sepanjang masa khususnya ketika Perhimpunan Agung UMNO.

Dan kini Melayu berpecah lagi apabila Dr. Mahathir ‘bergaduh’ pula dengan Datuk Seri Najib Tun Razak hingga terbentuk Bersatu.

Tanpa Dr. Mahathir sedar beliau sebenarnya dianggap mengamalkan politik ‘marahkan nyamuk kelambu dibakar’. Pendekatan politik beliau yang memungkinkan akhirnya kuasa politik Melayu terumbang ambing selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Namun sekali lagi kita mendengar iltizam Dr. Mahathir untuk memulihkan kedudukan bangsanya kerana kata beliau, “sedarlah bahawa kita yang salah. Tak usah cari kesalahan orang lain.”

Tepat sekali kenyataan ini, memang orang Melayu terutamanya pemimpinnya bersalah sehingga memungkinkan orang Melayu kini semakin tidak dihormati dan lemah kuasa politiknya.

Tanpa kuasa politik yang kukuh apa sahaja usaha bagi meningkatkan martabat dan memulihkan maruah bangsa boleh diibaratkan seperti ‘pungguk rindukan bulan’ dan paling malang orang Melayu terus menjadi ‘mat jenin’.

Oleh itu kalau benar Dr. Mahathir mahu memulihkan kedudukan moral Melayu, langkah utama yang beliau patut lakukan ialah satukan semula semua orang Melayu yang terpecah akibat tindakan politik beliau sebelum ini.

Tidak mengapa jika tidak mahu memaafkan seorang dua pemimpin tetapi jangan bertindak mahu ‘mengubur’ mana-mana parti Melayu.

Kalaulah Bersatu begitu yakin dengan kekuatan sendiri dan mampu menarik sokongan orang Melayu maka tidak perlu Dr. Mahathir atau mana-mana pemimpin Bersatu begitu takut dengan UMNO yang dianggap parti tidak ada masa depan. Apa hendak ditakutkan kalau UMNO sudah dianggap rosak?

Namun penulis difahamkan, ada usaha mewujudkan gagasan kuasa politik baharu menggabungkan ahli-ahli Parlimen Melayu daripada Bersatu, UMNO, PKR, Amanah dan Pas. Khabarnya, usaha itu sudah dijalankan dengan langkah permulaan pengisytiharan keluar parti oleh ahli-ahli Parlimen daripada UMNO. Kalau ikut perancangan, 35 ahli Parlimen UMNO akan berbuat demikian.

Mereka akan bergabung dengan ahli-ahli Parlimen Melayu lain dengan impian untuk mewujudkan satu gagasan bagi memulihkan kuasa politik Melayu.

Khabarnya, perbincangan demi perbincangan terus diadakan, tetapi ia agak terbantut sejak kebelakangan ini apabila terdapat penentangan daripada kalangan komponen Pakatan Harapan sendiri.

Tetapi agenda itu tidak pernah ‘berkubur’, sama ada ia sekadar khabar angin atau jadi kenyataan, sama-sama kita tunggu. Ini kerana dalam politik tiada apa yang mustahil dan segalanya berkemungkinan.

Apa yang pasti penulis menyokong apa sahaja usaha demi mempertahankan kepentingan orang Melayu dan umat Islam. Penulis tahu dalam kalangan pemimpin Melayu dalam Pakatan Harapan, mereka tidak selesa dengan apa yang berlaku sekarang.

Tetapi oleh kerana ‘sudah terlanjur’ mereka terpaksa meneruskan kesepakatan yang mereka tahu hakikatnya semakin banyak merugikan orang Melayu. Atas sebab itulah penulis mengharapkan kalaulah benar Dr. Mahathir mahu memulihkan kedudukan orang Melayu dan pemimpin Bersatu mahu menggantikan UMNO, paparlah keberanian yang sebenarnya, janganlah nanti cakap sahaja berdegar-degar tetapi bak kata orang apabila DAP ‘batuk’ sahaja semuanya jadi kelam kabut.