Terbaru oleh dua pemimpin Bersatu iaitu Tun Dr. Mahathir Mohamad dan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga bekas pemimpin utama UMNO suatu ketika dahulu. Malah beberapa ucapan daripada pimpinan Bersatu di perhimpunan agung Bersatu yang berakhir Ahad lalu juga ramai yang bercakap menjurus ke arah itu.

Dalam ucapan dan kenyataan dua pemimpin utama Bersatu itu baru-baru ini, kedua-duanya ingin menggambarkan Bersatu lebih layak mewakili Melayu yang dikatakan semakin terkebelakang berbanding kaum lain. Orang Melayu didakwa seolah-olah tiada agenda di bawah UMNO.

Bersatu harus cerminkan diri mereka. Hakikatnya Bersatu tiada jasa memerdekakan dan memajukan Malaysia. Jasanya pada orang Melayu jauh ketinggalan berbanding UMNO. Hanya baharu tujuh bulan Bersatu memerintah sedangkan 61 tahun UMNO memimpin Malaysia, maka tentunya jasa UMNO lebih besar berbanding Bersatu. UMNO-lah yang membawa kemajuan kepada Melayu dan bumiputera, ini fakta yang siapa tidak boleh nafikan. Malah parti keramat ini jugalah yang berperanan dan bersama membangunkan rumpun Melayu dan bumiputera termasuk di Sabah Sarawak iaitu sejak UMNO ke Sabah pada 1991 dan bersama parti-parti Melayu bumiputera di Sarawak.

Faktanya kedua-dua pemimpin inilah yang juga pengemudi dan pemimpin UMNO ketika parti menerajui Barisan Nasional (BN) dan kerajaan dalam beberapa waktu dalam tempoh 61 tahun BN memerintah. Mereka seolah-olah menutup mata dan telinga menidakkan sumbangan serta jasa UMNO kepada rakyat terutama orang Melayu. Kini mereka memperlekeh dan mengkritik UMNO. Mereka tidak mahu mengakui bagaimana UMNO banyak membantu masyarakat Melayu terutama di luar bandar. Apakah sejarah UMNO membangunkan pendidikan, ekonomi, kesihatan, pembangunan prasarana dan banyak lagi perkara lain boleh dinafikan? Memang UMNO akui masih banyak agenda UMNO tidak selesai dilaksana namun hakikatnya UMNO terbukti ada jasa besar pada orang Melayu dan bumiputera.

Bijak bercakap

Kemudian bolehkah kita yakin apabila Tan Sri Muhyiddin berkata Bersatu-lah yang akan memperjuangkan agenda Melayu dan mengambil alihnya daripada UMNO selepas ini. Mungkin sekali dengar ia boleh mempengaruhi dan apalagi mereka adalah sebahagian daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini. Persoalan yang mesti difikirkan ialah Bersatu bukan parti dominan dalam kerajaan PH. Mereka hanya bijak bercakap namun realitinya lihatlah apa yang berlaku apabila pemimpin Bersatu diberikan peranan dalam kerajaan PH.

Kita lihat Menteri Pendidikan lebih banyak menumpukan kepada soal yang ‘remeh temeh‘, soal kasut hitam, stoking, aktiviti berenang sedangkan masih belum nampak agenda pendidikan untuk Melayu dan bumiputera. Beliau seolah takut kepada ‘kuasa besar’ DAP. Apabila timbul isu Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), pendirian pimpinan Bersatu tidak senada malah ada yang tidak berani bersuara. Malah Menteri dari Bersatu-lah yang mula bercakap untuk meratifikasikan ICERD. Jadi apakah dengan cara ini Bersatu boleh diharapkan menjaga Melayu dan bumiputera?

Bagi Dr. Mahathir, beliau tetap dengan naratif lamanya apabila terus berkata orang Melayu perlu menyalahkan diri sendiri kerana hidup miskin dan gagal menguasai sektor ekonomi sejak merdeka. Pendirian ini, seolah olah beliau tidak mahu berusaha bersungguh-sungguh memajukan orang Melayu.

Dendam

Kita ingin bertanya kepada Dr. Mahathir, mengapa beliau beria-ia ingin melihat UMNO dihapuskan? Apakah hal ini terkandung di dalam salah satu time capsule yang ditanamnya pada 1987? Apakah beliau sudah meramalkan kehancuran UMNO ketika memimpinnya? Kapsul masa itu sepatutnya dibuka pada 31 Mei lalu tetapi masih dirahsiakan. Begitu juga Muhyiddin, apakah beliau juga mahu melihat UMNO terkubur dan digantikan oleh Bersatu? Apa yang nyata dua tokoh yang pernah dihormati ini menyimpan dendam kesumat yang mendalam terhadap UMNO yang sangat berjasa kepada mereka sebenarnya.

Bila dendam menguasai mereka, mereka hilang tumpuan untuk membela untung nasib bangsa. Muhyiddin sebagai Menteri Dalam Negeri gagal berperanan. Lihatlah sekarang Polis Diraja Malaysia (PDRM) hanya biarkan banyak sosial media mengkritik institusi raja dan institusi Melayu, Isu Muhammad Adib Mohd. Kassim, anggota bomba tidak ditangani dengan baik. Dr. Mahathir sendiri membiarkan rule of law menjadi celaru dan tidak diyakini kewibawaannya. Kuasa yang diberikan kepada PH pada 9 Mei 2018 lalu juga gagal dilaksanakan dengan baik sebaliknya PH sering menuding jari kepada orang lain terutama kegagalan menunaikan manifesto mereka.

Sesuatu yang menyedihkan kerajaan yang sama menutup agensi yang didakwa ada kepentingan politik seperti Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM). Agensi ini banyak membantu beliau ketika pemerintahannya. AIM yang banyak membantu golongan wanita Melayu untuk menambah pendapatan turut dikuburkan. Kenapa Pendidikan Islam di sekolah yang sepatutnya diperkukuhkan hendak dirombak? Lihatlah apa usaha Bersatu ketika ramai pekebun kecil, petani dan nelayan yang rata ratanya Melayu bumiputera menderita terhimpit dengan kejatuhan harga komoditi? Agihan zakat hendak dikongsi dengan mereka yang bukan beragama Islam?

UMNO bimbang, jika Dr. Mahathir yang sinonim dengan ‘Krisis Perlembagaan’ dan hingga berjaya mengurangkan kuasa raja-raja Melayu suatu ketika dulu, membiar pihak tertentu terus mengkritik raja dan perlekehkan institusi Melayu dan bumiputera. Ini tentulah merugikan sama sekali. Apatah lagi meletakkan tanggungjawab penting kepada pemimpin bukan Melayu bagi menjaga institusi milik Melayu dan bumiputera.

Persoalannya inikah pemimpin dan parti yang boleh memperjuangkan nasib bangsa Melayu? Di mana Bersatu ketika semua ini berlaku sedangkan parti ini adalah sebahagian daripada kerajaan PH? Justeru Bersatu tidak boleh diletakkan sandaran atau dijadikan benteng mempertahankan hak Melayu dan bumiputera.

Justeru itulah rakyat perlu lihat sejarah UMNO ditubuhkan. UMNO ditubuhkan kerana mempertahankan agama, bangsa, negara apabila Inggeris cuba membawa Malayan Union di Tanah Melayu. Orang Melayu bangun menentang dan akhirnya lahirlah UMNO. Kewujudan UMNO sangat jauh bezanya berbanding Bersatu. Bersatu lahir kerana kecewanya Dr. Mahathir dan Muhyiddin yang gagal menguasai UMNO, dan dendam itulah melahirkan Bersatu. Keadaan yang sama juga jika dibandingkan dengan PKR. PKR juga lahir kerana kecewanya (Datuk Seri) Anwar Ibrahim menjayakan cita-cita politiknya. Justeru mengharapkan parti yang diasaskan atas rasa dendam dan kecewa untuk menjaga Melayu dan bumiputera sangat bahaya kepada masa depan generasi akan datang. Jadi UMNO-lah pejuang sebenar Melayu dan bumiputera ke asas kelahirannya sangat jelas dan nyata.

Realitinya, selepas era Dr. Mahathir memimpin, pemimpin UMNO iaitu Pak Lah dan di zaman Najib Razak (Datuk Seri Najib Tun Razak) terutamanya. UMNO bersama rakan-rakan komponen BN yang lain telah lakukan lebih banyak untuk Melayu dan bumiputera. Pelbagai program pendidikan, ekonomi, keusahawanan dan sebagainya serta mewujudkan berbagai agensi baru khusus ke arah membawa Melayu bersedia di era Revolusi Industri 4.0 agar Melayu bersedia ke taraf dunia. Ya, UMNO sedar banyak lagi yang kurang dan perlu dilakukan. Jadi UMNO berharap diberi semula mandat oleh rakyat di Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) untuk menyambung semua ini, kerana Bersatu tidak boleh berperanan menggantikan UMNO.

DATUK DR. SHAMSUL 
ANUAR NASARAH ialah 
Ketua Penerangan UMNO.