Mungkin kerana pengaruh besar yang ada pada akhbar itu terutama bagi mempertahankan hak-hak orang Melayu seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan memperjuangkan kedudukan Islam sebagai agama bagi Persekutuan.

Apa yang boleh saya simpulkan, matlamat mereka adalah mahu menjatuhkan kredibiliti akhbar itu melalui berita yang disiarkan termasuk menggunakan kolumnis serta komen-komen pembaca yang senada dengan agenda yang telah ditetapkan.

Ini adalah agenda Malaysiakini, lebih-lebih lagi dengan sokongan kuat daripada parti-parti pembangkang. Mereka cuba menguburkan sebuah akhbar yang telah menjadi ‘suara keramat’ orang Melayu sejak zaman penjajahan sehinggalah sekarang.

Sejujurnya, saya tidak pernah pula membaca mana-mana berita dan penulisan dalam portal itu yang menghentam akhbar-akhbar Melayu lain.

Saya cukup yakin Malaysiakini sangat fobia dengan Utusan Malaysia sehingga memaksa mereka bertindak sedemikian. Portal berita itu sedar akhbar berkenaan masih mempunyai pengaruh yang ‘maha hebat’ dalam kalangan orang Melayu di negara ini.

Justeru, mereka sedaya upaya cuba mencalarkan imej akhbar berkenaan dengan pelbagai tuduhan dan tohmahan demi memastikan agenda mereka tercapai.

Begitupun, saya percaya rakyat di luar sana yang rata-rata telah mendapat pendidikan sekurang-kurang di peringkat sekolah menengah mampu menilai agenda sebenar portal berita itu. Kita harus bijak menilai maklumat yang diberikan kerana bukan semuanya adalah benar.

Saya cukup kesal dengan sikap portal berita itu yang menyiarkan penulisan kolumnis tertentu dan komen-komen pembaca yang menyerang Utusan Malaysia tetapi tidak mahu bertanggungjawab dengan tulisan yang telah disiarkan.

Ini jelas dapat dilihat apabila di bawah artikel yang dihasilkan oleh mana-mana kolumnis akan ditulis, “artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.” Dalam pada itu, komen-komen pembaca pula akan disertakan dengan tulisan “Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.”

Dengan kata lain, portal berita itu mahu ‘cuci tangan’ sekiranya akhbar berkenaan mengambil tindakan undang-undang ke atas setiap artikel yang disiarkan itu. Jelas sekali mereka tidak mahu memikul tanggungjawab.

Selain itu, portal berita propembangkang itu sering mempertikaikan program serta projek yang dilaksanakan oleh kerajaan walaupun untuk kesejahteraan rakyat.

Sebaliknya jika melibatkan kepentingan pembangkang, semuanya baik-baik sahaja. Tiada bangkangan dan kritikan. Jika melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, lagi dahsyat dengan pelbagai tulisan yang penuh dengan putar belit, semuanya tidak kena.

Contohnya, program tinjauan Transit Aliran Massa (MRT) bersama Perdana Menteri Julai lalu. Malaysiakini mendakwa penumpang dalam bas perantara MRT telah dipaksa ke tempat duduk belakang bagi memberi laluan kepada rombongan Perdana Menteri. Yang pasti, berita itu sememangnya tidak benar setelah seorang penumpang memberi gambaran sebenar tentang peristiwa tersebut dalam Facebooknya.

Saya berpendapat portal berita itu masih lagi kebal daripada sebarang tindakan walaupun pelbagai aduan telah dibuat kerana wujud kelemahan dari segi teknikal dan perundangan yang perlu diperbaiki segera. Saya juga berharap sebuah syarikat penyedia aplikasi pelayar web antarabangsa yang paling banyak digunakan oleh penduduk dunia dan rakyat Malaysia yang mencadangkan Malaysiakini sebagai portal berita paling ‘berwibawa’ untuk dikunjungi pelanggan dikenakan tindakan.

ANAS

Kuala Pilah