Rakyat Singapura begitu teruja dan bangga apabila Menteri Luar mereka menjawab apa yang digelar tohmahan Perdana Menteri Malaysia.

Manakan tidak, perjanjian air 1962 itu membenarkan Singapura meraih air 250 juta gelen sehari dari Sungai Johor dengan kadar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen. Ironisnya air dari Sungai Johor yang telah dirawat dijual pula ke Johor dengan kadar 50 sen setiap 1,000 gelen. Dengan kadar 50 sen bagi air terawat ini sahaja Singapura telah mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Inilah yang dimaksudkan oleh Dr. Mahathir sebagai perjanjian yang salah dari segi moralnya kerana dari segi kekuatan ekonomi umpamanya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita Singapura adalah empat kali ganda lebih besar berbanding Malaysia. Tetapi Menteri Luar Singapura menuduh Dr. Mahathir cuba mempermainkan emosi rakyat Malaysia dengan strategi menggambarkan Singapura sebagai negara yang lebih kaya meraih keuntungan dengan cara tidak adil.

Perdebatan dua negara jiran ini menjadi lebih menarik apabila Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah membidas rakan sejawat beliau dengan menyifatkan tuduhan Dr. Vivian sebagai semberono. Dalam sesi soal jawab Parlimen Selasa lepas, Saifuddin mempersoalkan tuduhan Dr. Vivian yang cuba menggambarkan Malaysia tidak mempunyai integriti dan tadbir urus yang lemah apabila cuba menyemak semula kandungan perjanjian air 1962 secara bilateral.

Begitu tepat sekali jawapan Saifuddin apabila beliau bertegas hak Malaysia untuk berunding kerana klausa 14 perjanjian air ada menyebut semakan semula boleh dibuat selepas 25 tahun perjanjian dimeterai dan menurut Saifuddin hak tersebut terbuka selepas 1987. Tetapi Dr. Vivian dalam hujah beliau menegaskan Malaysia telah hilang hak berunding apabila tidak menggunakan peluang tersebut pada 1987.

“Jadi, saya tak faham Bahasa Inggeris yang digunakan oleh Menteri Luar negeri yang membuat tafsiran itu. Kita mematuhi perjanjian itu sebab kita kata kita boleh review (semak semula) selepas 25 tahun perjanjian itu ditandatangani,” jawab Saifuddin lagi dengan begitu sinis sekali.

Apabila Saifuddin menyifatkan rakan sejawat beliau sebagai semberono atau dalam bahasa diplomatiknya bermaksud kurang teliti, kemungkinan kerana Dr. Vivian menyifatkan Singapura telah memberi subsidi kepada Malaysia dalam hal bekalan air. Singapura menurut beliau telah membelanjakan lebih dari S$1 bilion dalam projek bekalan air Johor dengan memberi contoh S$300 juta telah dibelanjakan oleh Singapura untuk membina dan mengurus Empangan dan Kawasan Tadahan Linggui sedangkan kesemua aset tersebut akan menjadi milik Johor.

Dengan hanya ungkapan subsidi yang telah dibelanjakan Singapura untuk Malaysia, sudah pasti rakyat Singapura yang mempunyai kuasa beli empat kali ganda lebih tinggi dari rakyat Malaysia akan membuat kesimpulan bahawa tidak adil bagi pemimpin Malaysia mempersoalkan kadar 3 sen kerana hakikatnya Singapura telah banyak berkorban untuk Malaysia.

Dalam hal subsidi ini Saifuddin dengan pintar menempelak percaturan persepsi Dr. Vivian yang cuba mempengaruhi sentimen rakyat Singapura dan juga Malaysia dengan menegaskan sebenarnya Malaysia yang telah memberi subsidi kepada Singapura. Bersandarkan kadar 3 sen yang telah dinikmati oleh Singapura selama ini sahaja, rakyat Malaysia sebenarnya telah memberi subsidi sebanyak RM100,000 sehari untuk memastikan rakyat Singapura menikmati bekalan air tanpa putus!

Tidak dapat dinafikan kebergantungan Johor terhadap sumber air terawat dari Singapura sedikit sebanyak mengekang kuasa runding yang dimiliki Malaysia. Tetapi ironisnya beberapa hari lepas Agensi Air Kebangsaan Singapura PUB telah mengeluarkan notis mungkir janji kepada Tuaspring kerana isu bekalan air.

PUB menandatangani perjanjian dengan Tuaspring yang mempunyai loji penyulingan terbesar di Singapura yang bertanggungjawab menyediakan 70 juta gelen air sulingan sehari untuk tempoh 25 tahun dari 2013 hingga 2038. Masalah kewangan yang dihadapi Tuaspring ketika ini telah memaksa PUB mengambil langkah proaktif demi memastikan rakyat Singapura mendapat bekalan air terawat tanpa putus. Iktibarnya adalah kos penyulingan air adalah berpuluh kali ganda mahalnya jika dibandingkan air yang diperoleh dari Sungai Johor.