Menurut Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Yusof, permintaan produk halal dunia berasaskan protein amat besar dan dicatatkan meningkat sejajar dengan pertambahan umat Islam di peringkat global.

“Oleh yang demikian potensi industri penghasilan daging halal dilihat amat besar, buat masa ini industri ternakan dan daging dikuasai negara-negara besar dan maju seperti Amerika Syarikat (AS), Brazil, China, India, Argentina dan Australia,” katanya.

Jelasnya, jika Malaysia mahu bersaing dengan negara-negara tersebut terutamanya dalam segmen daging halal, seluruh rantaian industri tersebut perlu diperkasa secara menyeluruh dan efektif.

Oleh itu ujar beliau, untuk fasa pertama Malaysia bakal membawa masuk negara pengeluar seperti Australia dan Argentina untuk turut sama melabur dalam industri ternakan di negara ini, sekali gus terlibat sebagai pengeksport bagi pasaran Asean malah dunia selain memenuhi permintaan tempatan.

“Untuk itu industri lembu daging dalam negara mampu dikembang luas dan ia bukan sahaja dapat menampung keperluan daging domestik malah turut mewujudkan rantaian pekerjaan dan perkhidmatan yang meluas khusus untuk industri tersebut.-UTUSAN ONLINE