Sebaliknya perancangan dan corak tadbir urus kerajaan adalah lengkap berstruktur, bersistematik dan berwawasan jauh ke masa depan (moving forward). Setiap dasar dan program dirancang, digubal dan dilaksanakan dengan berkesan. Ada kaedah dan mekanisme khusus turut dirangka dan disusuli bagi memastikan keberkesanan.

Ini termasuk menentukan keberkesanan kos, masa, menepati spesifikasi dan yang lebih penting ialah pencapaian matlamat, yakni memastikan kesan faedahnya benar-benar dinikmati oleh kumpulan sasar atau rakyat secara umumnya. Bergerak atas slogan ‘Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan’ inilah, segala dasar dan perancangan kerajaan sentiasa berjalan lancar dan menepati keperluan rakyat.

Dasar dan perancangan ini pula bukan semua bersifat statik. Ada kalanya ‘diubahsuai’ untuk memberi tambah nilai dan me­ngoptimumkan nilai keberkesanan iaitu dengan mengambil kira keadaan dan keperluan semasa.

Segala pendekatan teliti ini dapat mengelak dari berlaku pembaziran, ketirisan dan kegaga­lan memenuhi permintaan pelanggan. Misalnya, kelemahan me­nyalurkan bekalan air bersih sehingga beberapa hari dan agak kerap berlaku seperti di Selangor dapat dielak jika ada perancangan yang rapi dan cekap. Dan tentunya tidak mengakibatkan kehidupan rakyat berada dalam kesusahan dan terganggu.

Barangkali, dengan pendekatan tadbir urus yang berstruktur, bersistematik dan yang berasaskan jangka pendek dan jangka panjang inilah membuatkan kerajaan Persekutuan dan negeri-negeri yang sealiran politik dengannya tidak menampakkan keresahan atau ‘tergesa-gesa’ menyediakan senarai janji atau manifesto pada setiap kali menjelang pilihan raya umum. Ini termasuklah khusus­nya di ambang pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) yang dijadualkan berlangsung tidak lama lagi.

Terdapat dua sudut yang boleh dilihat dalam konteks ini. Pertama, kerajaan yakin rakyat dapat melihat dan merasai sendiri kesan pelaksanaan projek-projek pembangunan serta dasar dan program kesejahteraan yang berjalan secara berterusan.

Kedua, melihat pada umumnya butiran manifesto atau iltizam pihak parti-parti pembangkang menjelang pilihan raya umum khususnya bagi menghadapi PRU-14 ini, hampir semua aspek yang disenaraikan sudah terkandung dalam liputan pelaksa­naan dan tumpuan kerajaan Persekutuan yang ada.

Malah, kebanyakan yang ditawarkan kepada rakyat kelihatan seolah-olah sebagai ‘salinan’ (duplicating) dengan apa yang sedang dan akan terus dilaksanakan kerajaan. Ini termasuk antaranya kaedah bayaran tunai yang menyerupai Bantuan Rak­yat 1Malaysia (BR1M), rasionalisasi subsidi harga petrol, penghapusan bayaran tol, insentif kepada penjawat awam serta penyediaan kemudahan bidang sosial seperti kesihatan dan pendidikan.

Kutipan cukai barang dan perkhidmatan kerajaan (GST) te­rus dijadikan isu. Diasaknya isu ini seolah-olah sebagai suatu ‘petaka’ besar kepada rakyat Malaysia. Tetapi mereka tidak membandingkan pula dengan kadar peratusan yang lebih tinggi serta penerimaan rakyat di lebih 170 buah negara di dunia yang mengamalkan kutipan GST sejak lebih lama mendahului Malaysia?

Sepanjang mengisi kemer­dekaan dengan pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB), me­nelusuri pencapaian Wawasan 2020 hingga kepada penggubalan serta pelaksanaan dasar dan program-program transformasi kerajaan termasuk yang berjenama 1Malaysia, semuanya berjalan atas empat paksi utama iaitu berlandaskan konsensus, bersederhana, inklusif dan adil saksama. Hasilnya, negara terus makmur dan stabil.

Kerajaan sentiasa mengamalkan konsep ‘konsultasi’, mende­ngar cita rasa dan ‘denyut nadi’ segenap segmen kehidupan rakyat sebelum memuktamadkan satu-satu dasar dan perancangan negara. Konsep yang juga dikenali sebagai bottom-up itu bertujuan menepati aspirasi sebenar rakyat. Contohnya, program-program konsultasi bagi gagasan Transformasi Nasional 2050 (TN50) masih rancak berjalan.

Pendekatan ‘sederhana’ kerajaan diterjemahkan sekali gus bersama-sama konsep pengagihan kemakmuran negara secara inklusif atau menyeluruh serta ditentukan bersifat adil saksama. Ini bermakna, segenap lapisan rakyat tanpa mengira kaum atau keturunan, tanpa dibatasi sempadan daerah dan negeri dan tanpa mengira ideologi politik yang dianuti tidak pernah dinafikan hak untuk memajukan diri dan menikmati segala kemakmuran yang ada.

Berselang bulan, berganti tahun, Malaysia kerap mendapat pengiktirafan sebagai antara negara terbaik di dunia misalnya dalam aspek ‘keterangkuman’ iaitu lengkap kondusif dalam kemudahan sosial, pengurusan ekonomi yang efisien serta mempunyai daya tarikan pelabur dan pelancong yang menggalakkan. Dan sebenarnya inilah Malaysia, negara yang menghidangkan segala peluang untuk seluruh rakyatnya “sekata, serasa”!

DATUK SAYUTI MUKHTAR ialah Felo Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia.