Paling terkini iaitu semalam, laporan media Singapura cuba menggambarkan bagaimana terde­saknya Kerajaan Malaysia ter­utamanya ahli politik UMNO yang telah memperalatkan isu penghakiman ICJ demi kepentingan parti politik lebih-lebih lagi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang sudah begitu hampir.

Perlu ditekankan pada Febru­ari lepas, Malaysia telah meng­usulkan permohonan semak se­mula keputusan ICJ 2008 me­ngenai status pemilikan Pulau Batu Puteh kerana penemuan tiga dokumen penting yang mampu mengesahkan hak Malaysia terhadap pulau tersebut.

Permohonan semakan kedua yang dibuat pada 30 Jun lepas adalah rentetan permohonan pertama iaitu secara spesifiknya meminta ICJ mengkaji semula status Batuan Tengah dan Tubir Selatan. Jika diteliti permohonan semakan kedua-duanya, amat berkaitan antara satu sama lain dan bukannya tiada kena-me­ngena seperti yang cuba digambarkan oleh media Singapura.

Mengapa media Singapura cuba menanam persepsi kedua-dua semakan tiada kaitan antara satu sama lain adalah untuk memberi gambaran permohonan semakan terutama sekali permohonan 30 Jun dibuat secara semberono dan tanpa merit. Kesan daripada tanggapan sebegini adalah Malaysia telah dituduh sebagai jiran yang tidak baik kerana sengaja menimbulkan kontroversi sedangkan ICJ sudah pun membuat keputusan penghakiman sebelum ini.

Sebenarnya kedua-dua negara iaitu Malaysia dan Singapura mempunyai hak untuk membuat permohonan semakan kepada ICJ sekiranya wujud dokumen baharu yang tidak digunakan semasa perbicaraan asal dan sebab itu tindakan Kuala Lumpur adalah mengikut peruntukan perundang­an ICJ. Tarikh akhir permohonan semakan semula adalah pada Mei 2018.

Adalah tidak adil juga apabila media Singapura cuba mengaitkan tindakan permohonan semakan itu sebagai strategi Kuala Lumpur untuk meraih manfaat politik menjelang PRU-14. Lebih mendukacitakan apabila digunakan ung­kapan Kuala Lumpur, dikaitkan pula dengan parti politik terbesar di Malaysia iaitu UMNO.

Isu kedaulatan sebenarnya melampaui kepentingan politik tidak kira sama ada buat parti memerintah atau pun pembangkang. Ini kerana mempertahankan hak negara adalah tanggungjawab semua pihak dan agak pasti pihak pembangkang di Malaysia turut menyokong permohonan semakan yang dilakukan Kuala Lumpur walaupun kerajaan memerintah adalah seteru mereka.

Media Singapura sepatutnya mengambil iktibar daripada tingkah laku Perdana Menteri republik itu, Lee Hsien Loong apabila berdepan dengan isu tuntutan bertindih. Apabila tribunal antarabangsa pada Julai 2016 membuat keputusan bahawa tuntutan China terhadap sebahagian besar perairan Laut China Selatan tidak mempunyai asas, Hsien Loong membuat gesaan supaya China menghormati penghakiman tribunal tersebut.

Walaupun berhadapan dengan kemarahan Beijing, Hsien Loong tetap berpegang dengan prinsip keadilan perundangan antarabangsa. Timbul sedikit ketegang­an antara Singapura dan China mengenai isu ini tetapi jika diambil iktibar pertemuan antara Presi­den Xi Jinping dan Hsien Loong ketika mesyuarat Kumpulan G20 di Hamburg, Jerman beberapa minggu lalu nampak gayanya ke­tegangan sudah mula reda.

Selagi Kuala Lumpur men­depani isu Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan mengikut peruntukan perun­dangan ICJ, maka seharusnya media Singapura menghormati tindakan yang diambil Malaysia seperti mana Hsien Loong berpegang pada prinsip keadilan keputusan tribunal.

Keputusan 2008 ICJ bahawa Pulau Batu Puteh milik Singapura adalah bersandarkan kepada hujah bahawa republik itu telah mentadbir pulau tersebut buat sekian waktu melalui pengendalian Rumah Api Horsburgh.

Tetapi secara fizikalnya Pulau Batu Puteh hanya berada 12.8 kilometer (km) dari pantai Pengerang, Johor berbanding 64 km dari perairan terdekat Singa­pura. Secara logiknya sepatutnya pulau tersebut adalah milik Malaysia tetapi keputusan ICJ adalah sebaliknya kerana kegagalan Kuala Lumpur mengemukakan bukti bertulis bahawa pulau tersebut adalah milik negara sejak era Ke­sultanan Johor lagi.

Penemuan tiga fakta baharu daripada dokumen sejarah Arkib Negara United Kingdom antara 4 Ogos 2016 dan 30 Januari lalu te­lah mempamerkan kekangan masa kerana peruntukan ICJ hanya membenarkan jangka masa enam bulan dari tarikh penemuan fakta baharu untuk kedua-dua kerajaan membuat permohonan semakan semula keputusan lampau.

Sebab itu tuduhan yang menjurus kepada Kuala Lumpur cuba mengambil kesempatan untuk meraih sokongan PRU-14 sukar diterima ke­rana faktor kekangan masa telah memaksa permohon­an semakan semula dilakukan pada 2 Februari lalu iaitu dua hari sebelum tamatnya jangka masa enam bulan yang ditetapkan oleh ICJ.

Walau apa jua keadaannya, apabila berhadapan dengan isu yang membabitkan maruah dan kedaulatan negara, ia tidak sepatutnya digunakan sebagai modal untuk meraih simpati politik sama ada politik dalam negara atau politik serantau.

Jika kerajaan Singapura, Indonesia dan Filipina telah berjaya mendidik rakyat mereka supaya jangan berkompromi dalam hal maruah dan kedaulatan negara masing-masing, pendirian serupa juga di pegang oleh kerajaan Malaysia.