Kempen gerakan ini secara tidak langsung dilihat 'menyerang' kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan - Perkara 3(1).

Ia dikatakan disokong juga oleh beberapa orang Melayu yang sering terbabit dalam demonstrasi jalanan termasuk bekas timbalan menteri.

Satu lagi acara dijadualkan pada 19 September 2014, iaitu Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) Badan Peguam Malaysia (Malaysian Bar) yang akan dilangsungkan di Dewan San Choon, Tingkat 2, Wisma MCA, Jalan Ampang, Kuala Lumpur.

EGM ini diadakan bertujuan meluluskan usul untuk menghentikan penggunaan Akta Hasutan 1948 yang didakwa kononnya melanggar kedaulatan undang-undang serta menyekat hak asasi dan kebebasan warganegara selain menutup ruang demokrasi.

Mengapa dikatakan kedua-dua acara ini bersifat proanarki?

Semenjak beberapa tahun yang lepas, golongan itu di negara ini telah berjaya melobi sehingga terhapusnya Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA) dan Ordinan Darurat 1969. Kedua-dua akta yang selama ini membentengi Malaysia daripada menjadi sebuah negara republik.

Yang hairannya kerajaan Malaysia akur dengan gerakan itu dan menghapuskan ISA.

Namun tidak cukup dengan itu, mereka berusaha menghapuskan pula Akta Hasutan kerana ingin mendapatkan kebebasan bersuara tanpa sebarang halangan. Hak yang membolehkan mereka mempersoalkan setiap asas negara yang dibentuk semenjak sekian lama.

Kemunculan gelombang 'proanarki' ini yang bermain dengan retorik dan propaganda kebebasan bersuara akibatnya telah kita lihat sendiri menimpa negara-negara yang kononnya ingin memperolehi 'kebebasan sebenar' tetapi akhirnya menjadi porak-peranda.

Corak yang sama sedang melanda Malaysia.

Human Rights Watch (HRW), yang dipercayai menerima dana asing (http://money.howstuffworks.com/george-soros-donates-100-million-to-human-rights-watch.htm), dikatakan dalang utama di sebalik gerakan besar-besaran ini.

Justeru penglibatan Majlis Peguam dan kebanyakan sekutu penganjur GHAH 1948 dalam kempen seumpama ini menimbulkan curiga dan tanda tanya.

Sila Google kenyataan terkini HRW "PM showing true colours with sedition spree" atau menerusi http://m.malaysiakini.com/news/274637.html. Ia memetik Timbalan Pengarah Hak Asasi HRW, Phil Robertson dalam satu kenyataan sebagai berkata: "Tindakan Perdana Menteri Najib Razak yang melumpuhkan gerakan pembebasan bersuara menunjukkan sikap sebenar mengenai siapa beliau sebenarnya."

Dia mendesak Najib menghapuskan akta itu, "yang berulang-ulang kali digunakan untuk mendakwa orang ramai bagi tujuan politik yang melanggar kebebasan hak asasi untuk bersuara."

Sekiranya NGO-NGO terlibat dalam kempen ini melaksanakan komitmen terhadap HRW demi menjustifikasi dana yang telah disalurkan kepada mereka, adakah ini bermakna mereka perlu melakukan penentangan terhadap kerajaan Malaysia yang dipilih secara absah melalui proses demokrasi?

Soalnya, adakah rakyat Malaysia yang tidak bersetuju dengan golongan ini akan hanya melihat tanpa berbuat apa-apa?

Hairan juga mengapa di Singapura, ISA dan Akta Hasutan tidak pula dikatakan zalim? Hairan sungguh...

SEMALAM saya dijemput bermain golf bersama-sama pemain profesional (pro) seluruh dunia di Kelab Golf Seri Selangor.

Ia diadakan bersempena dengan kejohanan Worldwide Holdings Selangor Masters 2014 yang akan bermula esok, Khamis hingga Ahad ini.

Saya diletakkan dalam kereta golf bersama seorang pemain pro bangsa Melayu Malaysia yang sedang meningkat naik namanya.

Oleh kerana dia akan menghadapi satu kejohanan besar itu, tidak perlulah kita sebut namanya. Jangan ganggu tumpuannya. Sepanjang 18 lubang bersamanya selama kira-kira lima jam itu banyak yang kami sembangkan.

Rata-rata mengenai sukan golf, keluarganya dan nasib pemain pro sepenuh masa sepertinya.

Banyak luahan perasaan yang dilahirkan kepada saya sepanjang masa itu. Antaranya ialah tiada sokongan penajaan daripada syarikat-syarikat besar kebangsaan kepada mereka.

"Saya ada membuat permohonan kepada syarikat-syarikat besar tempatan, tetapi mereka tidak minat. Hairannya mereka menaja pula kejohanan antarabangsa lain dengan nilai puluhan juta kepada orang lain."

Malah ada juga pemain pro luar negara ditaja oleh orang tempatan kita.

Bukan mudah untuk kami maju dalam sukan ini, katanya meluahkan perasaan. Kami perlu bergerak untuk bermain di kejohanan besar dunia di luar negara. Perbelanjaannya bukan kecil.

Jika mahu berjaya kami kena pergi. Tetapi oleh kerana kekangan kewangan sukar untuk bergerak dan sekadar menyertai kejohanan di kawasan ini sahaja.

Melihatkan corak permainannya, pro ini boleh maju lagi. Namun dia memerlukan tajaan dan bantuan.

Saya hairan di mana silapnya sehingga dia terpinggir...?