Hakikatnya, laungan 'Merdeka' membawa kepada kelahiran sebuah negara-bangsa dan di sini jua lahirnya sebuah cinta yang menjadi tema Hari Kemerdekaan 2014 - seperti lirik lagu Warisan dendangan Allahyarham Datuk Sudirman Arshad.

Angka 57 sinonim dengan tahun kemerdekaan 1957 dan banyak memberi kesan ke atas rentetan pensejarahan Malaysia. Selepas 32 tahun lagu Warisan dirakam oleh Sudirman dalam koleksi lagu patriotik Abadi edaran syarikat rakaman EMI di bawah penerbitan S. Atan, ia akhirnya dipilih menjadi tema Hari Kemerdekaan.

Malaysia merupakan sebuah negara yang unik. Sebuah negara berbilang keturunan berbeza kepercayaan, amalan, pegangan agama dan latar belakang kehidupan. Namun, yang menyatukan adalah sifat kepunyaan sebagai warganegara di alam geografi yang menampakkan keindahan demografinya.

Merentasi Semenanjung, Sabah dan Sarawak; Malaysia dihuni bukan sahaja oleh etnik Melayu, Cina dan India tetapi etnik Iban, Bidayuh, Kadazan, Murut dan Bajau. Orang Asli tidak terkecuali baik Semai, Jakun atau Bateq. Masyarakat rencam menjadikan Malaysia istimewa. Sehingga sering dijadikan contoh kerana ramai tahu bukan sesuatu yang mudah untuk dipertahankan. Di negara homogeneous sekalipun sering berhadapan beberapa isu sampingan.

Jadi apakah formula yang membolehkan Malaysia kekal sepadu? Apakah ramuan kejayaan Malaysia hari ini? Mampukah ia bertahan tahun-tahun mendatang?

Semuanya bermula sebelum 1957 apabila wujud usaha untuk membina negara dengan acuan sendiri. British mahu Malaysia kekal dengan komposisi pelbagai etnik akibat proses Revolusi Perindustrian yang dibawanya. Kehadiran orang Cina dan India mengubah kependudukan Tanah Melayu ketika itu. Seiring dengan itu, proses mendapatkan kemerdekaan disertai oleh pelbagai pihak atas permintaan British sendiri yang mahu memastikan keamanan negara terpelihara setelah mereka keluar dari negara ini.

Dari situ, proses pengadunan bermula. Parti gabungan besar yang berkompromi untuk memenangi Pilihan Raya Perbandaran dan kemudiannya Pilihan Raya Umum, Parti Perikatan kini Barisan Nasional (BN) mendapat mandat menjadi jurucakap kerajaan Malaysia diketuai oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj. Dalam proses mendapatkan kemerdekaan, pihak istana juga terlibat agar wujud kesinambungan tradisi kepimpinan institusi Raja-Raja Melayu dengan kerajaan diketuai oleh Perdana Menteri.

Walaupun kemerdekaan diperolehi tanpa pertumpahan darah, namun prosesnya tidak semudah disangka ramai memandangkan wujud kompleksiti demografi yang membabitkan soal etnik, kaum dan agama. Barangkali, kepimpinan ketika itu memahami aspirasi kemerdekaan; nilai kepimpinan berpusatkan kompromi dan pengorbanan tanpa dipaksa. Semuanya terbina berpusatkan beberapa perkara yang dipersetujui mendasari kemerdekaan negara ini.

31 Ogos 1957 diisytihar sebagai Hari Kemerdekaan Tanah Melayu dan Hari Malaysia pada 16 September 1963 - negara yang terdiri daripada Semenanjung Malaysia, Sabah, Sarawak dan Singapura sebelum Singapura keluar pada 1965.

Banyak negara turut merdeka ketika itu tetapi Malaysia dianggap antara yang termaju dengan asas sekian rupa. Inilah negara yang 'berat sama dipikul, ringan sama dijinjing'. Ini juga negara yang telah memberikan nafas untuk kita terus hidup walau ada cabaran dan kekurangan tetapi kenikmatannya adalah kerana ia memberikan jati diri kepada warga yang bangga sebagai rakyat Malaysia.

Ia merupakan kasih abadi yang tidak ada nilainya kerana masih ramai yang bergelut untuk mendalami nilai harga warganya.

Perlembagaan adalah dokumen pegangan cinta kepada negara ini. Perlembagaan membentuk negara Malaysia. Perlembagaan memberi pengertian sebenar sebagai warga kerana ia adalah dokumen yang mempertahankan kedaulatan dan tadbir urus negara.

Kesinambungan kepimpinan tanah air memastikan Perlembagaan terus menjadi benteng keutuhan bangsa Malaysia supaya mampu merealisasikan pendefinisian yang diberikan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad ketika melancarkan Wawasan 2020. "Bangsa Malaysia adalah bangsa yang bangga menjadi warga Malaysia; menjunjung ketertinggian Perlembagaan dan fasih berbahasa Malaysia," kata beliau.

Kalau mahu mencari cinta kedamaian dan keamanan warisan bangsa Malaysia, ketiga-tiga nilai tersebut amat signifikan dalam merencanakan jiwa Malaysia yang sayangkan negara; yang akan bangkit mempertahankan kedaulatan negara dan lebih daripada itu, tidak berkompromi harga diri dan jati dirinya sehingga menjual maruah atau memajak nilai warga kepada yang lain.

Di sinilah cinta sebagai seorang warga yang tidak boleh dijual beli; yang tidak boleh diperlekeh jiwanya; yang sentiasa yakin mempunyai tanggungjawab kepada negaranya. Kesemua ini memerlukan jiwa berkompromi dan berkorban. Lihat kontrak sosial yang lahir ketika memulakan pergerakan kemerdekaan. Perkara yang berkaitan dengan agama, bahasa, hak istimewa dan institusi Raja-Raja Melayu merupakan persetujuan bersama.

Tidak dinafikan hari ini wujud pelbagai tafsiran sehingga ada yang turut mencaci serta mengaibkan antara satu sama lain. Kesedaran diperlukan, golongan yang songsang perlu dididik supaya tidak membesar sehingga mengabaikan aspirasi sebenar terciptanya persetujuan ke atas isu-isu sensitif dalam masyarakat umum.

Dalam merentasi kehidupan individualistik dan materialistik, ramai barangkali tidak pernah merasai kedinginan air sungai, mencari ikan sepat di terusan atau bermain konda-kondi bersama rakan sekampung. Bagi mereka segalanya tersergam indah kerana tanggungjawab pemerintah dan ibu bapa. Sedangkan dari mana datangnya kemajuan hari ini jika tidak disebabkan oleh warisan berzaman? Sayangnya ramai yang lupa sejarah sendiri; hanyut dibawa arus perubahan sehingga tidak tahu di manakah bermulanya cinta ini?

Pengisian kemerdekaan telah membentuk Malaysia hari ini. Perpaduan, sifat kepunyaan, keamanan dan kedamaian membawa kita menyambut Hari Kemerdekaan ke-57 tahun ini. Kita tidak bebas daripada dugaan oleh faktor dalaman dan luaran termasuk MH370 dan MH17 tetapi kepimpinan berwibawa menanganinya dengan rasional dan memberikan impak positif. Pengisian ini menuntut rakyat Malaysia berjiwa besar untuk memahami erti sebenar kemerdekaan dan bagaimana ia digunakan untuk proses pembangunan dan modenisasi hari ini.

Hormat, bertolak-ansur dan saling memahami adalah nilai yang perlu disemai dan diamalkan oleh semua yang mahu mewarisi rasa cinta kepada negara. Kepercayaan, kesetiaan, keluhuran, kedaulatan dan kesusilaan adalah kata kunci untuk kita menilai rasa cinta kepada negara kerana semuanya termaktub dalam Rukun Negara.

Hari ini ada negara yang masih bergelut dengan nilai kenegaraan. Kita boleh belajar daripada mereka. Walaupun Malaysia tidak sempurna untuk memenuhi ekspektasi semua, majoritinya boleh sentiasa bersama menjadi benteng kekuatan negara ini.

Hakikatnya kita masih sebuah negara yang pesat membangun dan tidak boleh membiarkan sesiapa pun meruntuhkan apa yang sudah terbina sekian lama. Menjadi tanggungjawab kita dalam apa sahaja kedudukan untuk meraikan bersama kepelbagaian dan menjadikannya aset, bukan liabiliti dalam proses menyemai cinta kepada negara.

Semangat patriotisme dan nasionalisme tidak boleh dipaksa; ia mesti lahir dengan sendiri barulah ada sifat kejujuran dalam diri warga. Mencintai negara perlu ikhlas, memahami dan tahu kepentingan nilai kenegaraan tanpa melakukan serangan hendap ke atas negara sendiri jika ada sesuatu yang berlaku di luar penerimaan kita.

Ada kalangan kita bersifat elektif untuk memahami. Melakukan sesuatu mengikut keselesaan dan mengabaikan nilai konsensus sebenarnya boleh memberi ancaman kepada kerencaman Malaysia.

Cabaran semakin besar terutama dengan dunia tanpa sempadan dan alam maya yang boleh bersifat manipulatif. Sudah tidak ada siapa yang boleh bersembunyi dengan perbuatan mereka atau tidak ada lagi privasi walaupun dalam halaman sendiri. Ada lompong yang memudahkan proses melahirkan kebencian, sifat prasangka, etnosentrik yang tidak sesuai dalam konteks negara kita.

Walau kita selesa hidup di alam teknologi canggih yang pantas membawa perubahan, jangan sampai memijak alam yang membina diri kita iaitu Malaysia sendiri yang berpusat kepada semangat penyatuan. Teladani negara yang terus dibebani konflik etnik, kemiskinan, pengangguran, kualiti hidup dan pelbagai lain. Bersyukur dengan apa yang ada. Kekurangan boleh dibaiki dengan iltizam dan keinginan untuk membawa pembaharuan.

Jika ada kejayaan dicapai, jangan sampai maruah bangsa digadai kerana ini adalah negara di mana tumpahnya darah, di sini juga negara yang bersatu bersama walau apa tohmahan dilempar kerana tidak ada yang boleh mengambil kembali cinta kepada negara jika kita bangga menjadi warganya.

Malaysia, di sinilah lahirnya sebuah cinta. Selamat menyambut Hari Kemerdekaan ke-57.

PROFESOR MADYA DR. SIVAMURUGAN PANDIAN berkhidmat di Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia (USM).