Berpuluh-puluh buah kafe yang sebelum ini menawarkan minuman keras dan menyediakan muzik secara langsung di sepanjang kawasan tersebut telah ditutup. Ruang-ruang di bangunan rumah kedai yang biasanya dipenuhi wanita-wanita berdandan seksi turut lengang.

Hanya beberapa warung kecil masih dibuka dan beberapa orang penjaja masih menjaja makanan dan minuman serta rokok. Beberapa orang penduduk kelihatan berbual kosong. Kira-kira 50 orang polis lengkap bersenjata juga kelihatan santai mengawasi keadaan.

Dunia malam yang penuh dengan kemeriahan dan keseronokan itu kini telah hilang dari Kalijodo. Kawasan yang sentiasa bingit sebaik sahaja senja melabuhkan tirai itu sepi dan gelap. Tidak ada lagi hiruk pikuk syurga dunia itu. Kalijodo, kawasan pelacuran di Jakarta kini menjadi sejarah.

Semuanya kerana rancangan Gabenor Daerah Khusus Ibukota (DKI) Jakarta, Basuki Tjahaja Purnama yang akan menjadikan tanah kerajaan seluas empat hektar itu sebagai satu lagi kawasan hijau terbuka di tengah-tengah kota. Semua warga Kalijodo telah diarahkan berpindah ke kawasan lain.

Bagi Basuki, tempat hiburan malam yang beroperasi sejak lebih 50 tahun lalu di sempadan Jakarta Barat dan Jakarta Utara itu lebih banyak mendatangkan mudarat berbanding manfaat. Di situlah pusat segala kejahatan, maksiat, jenayah dan sebagainya. Riwayat hitam Kalijodo perlu ditamatkan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan, keputusan membersihkan kawasan ‘lampu merah’ popular di Jakarta itu bukan semata-mata kerana rancaknya aktiviti pelacuran di kawasan berkenaan. Tetapi yang pasti perkampungan itu didirikan di atas tanah kerajaan sejak sekian lama.

Peristiwa yang menjadi pemangkin mempercepatkan rancangan pembersihan Kalijodo ini tercetus satu kemalangan jalan raya yang mengorbankan empat orang.

Pemandu kereta yang menyebabkan kemalangan itu mengaku memandu dalam keadaan mabuk setelah meminum minuman keras di pusat hiburan di situ.

Ini menarik perhatian gabenor yang lebih popular dengan panggilan Ahok itu untuk segera melakukan gerakan pembersihan. Ran­­cangan ini mendapat sokongan padu daripada pihak polis yang mendapati kawasan tersebut sering menimbulkan masalah kepada keselamatan dan keamanan sekitar.

Namun bukan mudah bagi satu-satunya gabenor berketurunan Cina di Indonesia ini untuk menguruskan proses ‘pengusiran’ warga Kalijodo yang ada antaranya sudah menetap dan berakar umbi di kawasan pelacuran kelas bawahan itu.

Ini kerana kawasan itu, menjadi tempat mencari rezeki bagi banyak orang, bukan untuk wanita sahaja. Peniaga kali lima, penjaja, tukang jaga tempat letak kereta, petugas keselamatan hingga tukang ojek (motosikal penambang) bergantung hidup kepada Kalijodo.

Tentu sahaja rancangan pengusiran itu bukan sahaja disifatkan sebagai menabur pasir dalam periuk nasi mereka, tetapi menghilangkan terus punca rezeki mereka selama ini. Hal ini ditambah lagi dengan tentangan dari gengster atau ‘abang kawasan’ yang telah sekian lama menguasai kawasan tersebut.

Inilah dilema yang dihadapi oleh pihak berkuasa tempatan, namun tindakan yang dirancang sejak 2002 tetapi sering tertunda itu perlu diteruskan demi manfaat yang lebih besar. Pentadbir Jakarta ingin memenuhi kuota 30 peratus kawasan hijau terbuka di kota yang dihuni 12 juta penduduk itu yang pada masa ini hanya 19 peratus sahaja.

Di luar jangkaan, setelah beberapa siri perbincangan diadakan, ada sebahagian penduduk sedia berpindah ke rumah pangsa yang disediakan pemerintah. Bagaimanapun hanya penduduk yang mempunyai kad pengenalan DKI Jakarta sahaja yang akan diberi rumah itu.

Namun ada yang berdegil dan menuntut pampasan walaupun mereka menduduki tanah kerajaan itu secara haram sejak sekian lama. Beberapa demonstrasi diadakan.

Hujung minggu lalu, pihak berkuasa yang terdiri daripada pasukan gabungan 2,000 orang anggota polis dan tentera menyerbu kafe-kafe dan pusat hiburan dalam satu operasi besar-besaran membersihkan kawasan haram itu. Beribu-ribu botol minuman keras, beratus-ratus kotak kondom dan sejumlah senjata tajam dirampas dari beberapa kafe yang diserbu. Beberapa orang pekerja kafe ditahan semasa serbuan tersebut.

Lanjutan dari serbuan itu, seorang ‘pemuka’ Kalijodo yang dikenali sebagai Daeng Aziz ditahan untuk siasatan. Dari kafe miliknya dijumpai sebahagian besar minuman keras dan senjata tajam.

Polis akan mendakwanya dengan kesalahan pemerdagangan wanita dan pelacuran. Lelaki yang disifatkan oleh penduduk tempatan sebagai ‘penguasa Kalijodo’ itu juga dipercayai pengedar tunggal minuman keras di kawasan tersebut.

Kalijodo yang bermaksud sungai jodoh adalah kawasan pemuda-pemuda Cina dari Betawi mencari gadis-gadis di kawasan itu untuk dijadikan isteri atau gundik suatu waktu dahulu. Kini fungsinya sudah berubah kepada tempat mencari keseronokan bersama gadis penghibur.

Terdapat kira-kira 60 bangunan yang menjadi premis berhibur. Bayaran yang dikenakan untuk khidmat wanita-wanita di situ adalah antara Rp 70,000 dan Rp 200,000.

Walaupun Kalijodo lebih sinonim dengan kawasan hiburan malam yang menawarkan seribu satu kenikmatan dunia, kemudahan untuk beribadat tidak dilupakan. Terdapat sebuah masjid, surau dan gereja di kawasan berkenaan.

Difahamkan, wanita-wanita yang bekerja di pusat hiburan itu juga sering mengunjungi rumah-rumah ibadat ini. Inilah uniknya warga Indonesia. Mungkin bagi mereka minyak dan air tidak bercampur.

Namun seiring pengusiran penghuni Kalijodo dan rancangan mewujudkan ruang hijau terbuka, semua rumah ibadat ini akan dirobohkan.

Tetapi yang pasti jodoh Kalijodo akan bertahan hingga hujung bulan ini sahaja. Selepas 29 Februari ini, Kalijodo akan tinggal nama sahaja.

Operasi meroboh bangunan dan pengusiran penduduk secara besar-besaran akan diadakan pada hari itu. Selepas itu, Kalijodo hanyalah sebahagian dari sejarah Jakarta. – UTUSAN