Sementara itu, lawatan Tillerson ke China pula banyak berkisar dengan kemelut tuntutan bertindih Laut China Selatan dan juga isu perdagangan dua hala yang mana Presiden Donald J. Trump menuduh Beijing mengurus hal dagang secara tidak jujur. Tidak menghairankan mengapa Tillerson memilih ketiga-tiga negara Asia tersebut sebagai negara awal yang dilawati kerana bagi Trump masalah Korea Utara dan China adalah agenda dasar luar utama beliau.

Terkini bermula dari 5 hingga 9 Ogos, Tillerson sekali lagi me­lakukan lawatan ke Asia dan kali ini membuat persinggahan di tiga ibu kota ASEAN iaitu Manila, Bangkok dan Kuala Lumpur. Persinggahan di Manila kerana beliau menghadiri dua perjumpaan penting iaitu Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN-Amerika dan juga Forum Serantau ASEAN (ARF). Sementara itu, di Bangkok pula Tillerson hanya singgah lima jam tetapi sempat mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha dan juga memberi penghormatan kepada Raja Bhumibol Adulyadej yang mangkat pada tahun lalu.

Tillerson pula telah meluangkan masa selama dua hari di Kuala Lumpur iaitu Selasa dan Rabu lalu dan mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada hari pertama lawatan. Keesokannya, Tillerson bertemu dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Mungkin ada yang merasakan lawatan Tillerson ke Kuala Lumpur adalah lawatan lazim kerana kebetulan beliau berada di Manila dan sudah pasti program lawatan logik adalah dilangsungkan lawatan tersebut sama ada ke Bangkok atau Kuala Lumpur. Tetapi jika ditinjau beberapa isu yang sedang melanda rantau Asia terutama sekali yang melibatkan Korea Utara dan China, maka sudah agak pasti persinggahan Tillerson di Kuala Lumpur membawa maksud yang begitu besar.

Beberapa hari sebelum ini, Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) telah meluluskan Resolusi 2371 yang antara lain mengenakan sekatan ekonomi yang lebih ketat ke atas Korea Utara. Resolusi tersebut yang juga mendapat restu China iaitu sekutu rapat Pyongyang adalah sebagai tindak balas tindakan Korea Utara melancarkan ujian peluru balistik antara benua (ICBM) beberapa minggu lalu.

Senario geopolitik Semenanjung Korea menjadi lebih panas apabila pemimpin Korea Utara Kim Jong-un dan Trump saling melempar ugutan di antara satu sama lain. Jong-un mengugut untuk melancarkan peluru berpandu ke arah wilayah Amerika iaitu Guam sementara Trump pula membalas ugutan dengan ke­nyataan Washington akan bertindak balas dengan lebih hebat.

Perlu ditekankan ketika per­sengketaan diplomatik di antara Kuala Lumpur dan Pyongyang akibat penahanan sembilan rak­yat Malaysia, penyelesaian dapat dicapai yang mana kedua-dua pihak berpuas hati. Bukan mudah untuk berunding dengan Pyongyang tetapi Kuala Lumpur berjaya mencari jalan penyelesaian membebaskan rakyatnya yang mana Washington tidak pernah berjaya dalam hal ini.

Tidak keterlaluan jika diandaikan Washington menilai peranan Kuala Lumpur adalah berbeza dengan peranan Tokyo atau Seoul ketika berhadapan dengan tingkah laku Pyongyang. Retorik Trump terhadap Korea Utara adalah selari dengan strategi Tokyo dan Seoul tetapi seperti diketahui retorik dan ugutan tidak pernah memberi kesan kepada Jong-un malah Pyongyang semakin berani melakukan tindakan di luar dugaan.

Sebab itu, dikatakan Kuala Lum­pur sebenarnya mempunyai peranan istimewa ketika dunia berhadapan dengan Korea Utara kerana pengalaman lampau telah membuktikan strategi diplomasi ala Malaysia mampu berhadapan dengan rejim yang sukar diramal tindak tanduk pemimpinnya.

Begitu jua dengan hal Laut China Selatan terutama sekali yang membabitkan seteru Amerika iaitu China. Ketika di Manila, Menteri-menteri Luar ASEAN bersama dengan China telah bersetuju dengan kerangka Kod Tatacara (CoC) mengenai Laut China Selatan. Persetujuan ini amat penting kerana isu telah tertangguh sejak 2002 dan seterusnya akan dibincangkan di peringkat pemimpin tertinggi ASEAN dan China.

Khabarnya AS kurang ber­puas hati dengan kerangka CoC kerana tidak dikaitkan dengan Konvensyen PBB Mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) dan juga tidak mempunyai kekuatan perundangan. Dalam bahasa mudah, kepatuhan ahli adalah secara sukarela dan jika ingkar, tindakan perundangan tidak boleh diambil.

Jika ditinjau dasar luar Malaysia mengenai CoC, pendirian mengenai UNCLOS dan perundangan adalah selari dengan AS dan sebab itu juga dijangkakan Tillerson akan memujuk pemimpin tertinggi negara supaya isu ini dibangkitkan dalam perbincangan pemimpin tertinggi. Perlu ditekankan juga perbincangan mengenai CoC tidak akan membabitkan AS kerana kuasa besar itu tidak terlibat secara langsung dalam tuntutan bertindih.

Sebab itu, jangan pandang remeh lawatan Tillerson dan kaitannya dengan peranan Malaysia dalam kedua-dua kemelut yang dianggap begitu meruncing jika tidak dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Peranan Kuala Lumpur lebih menyerlah dan kritikal terutama sekali dalam era pentadbiran Trump yang dianggap begitu semberono membuat keputusan mengenai geopolitik Asia.