Walaupun tercatat di dalam Hikayat Hang Tuah, kisah mengenai Puteri Gunung Ledang juga tidak pernah dapat dipastikan kesahihannya. Malah, kesan atau jejaknya juga tidak pernah ditemukan di mana-mana terutama di Gunung Ledang.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Jabatan Sejarah, Fakulti Sastera dan Sains Sosial Universiti Malaya, Dr. Mardiana Nordin berkata, tidak mustahil juga Puteri Gunung Ledang itu wujud. Namun kesahihan kewujudan wanita itu sukar dibuktikan tanpa apa-apa kesan. Hanya karya Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah dijadikan rujukan sehingga kini.

“Di dalam naskhah Sejarah Melayu langsung tidak disebut mengenai asal Puteri Gunung Ledang ini dari Tanah Jawa. Jadi sesiapapun tidak akan sangka asal usulnya. Namun agak sukar untuk mengatakan kisah yang disebut di dalam Sejarah Melayu itu mitos atau sebaliknya,” katanya kepada S2 baru-baru ini.

Katanya, kesemua versi Sejarah Melayu ada menyebut mengenai kisah Puteri Gunung Ledang yang hendak dipinang Sultan Melaka dan tidak banyak berbeza.

“Kesemua naskhah tersebut mempunyai kesamaan dalam cerita mengenainya. Tetapi saya tidak sama sekali menafikan dia tidak wujud. Boleh jadi Puteri Gunung Ledang adalah individu yang benar-benar ada namun dijadikan sebagai watak di dalam Sejarah Melayu,” katanya.

Katanya, kisah Puteri Gunung Ledang di dalam karya itu terlalu pendek dan agak sukar untuk mengaitkan siapa Puteri Gunung Ledang yang sebenarnya. Jika puteri ini dikatakan berasal dari Tanah Jawa, maka perlu pula dikaji dari segi sejarah di sana.

Mardiana yang banyak menjalankan kajian mengenai Sejarah Melayu dan manuskrip serta persuratan Melayu lama berkata, melalui naskhah Sejarah Melayu, kisah Puteri Gunung Ledang yang diceritakan memberi tujuh syarat mustahil kepada Sultan Melaka yang mahu meminangnya ketika itu mempunyai signifikan tersendiri kepada dunia Melayu.

“Makna tersirat tujuh syarat itu melambangkan bagaimana seorang raja ketika itu sanggup menuruti enam syarat Puteri Gunung Ledang kecuali menunaikan syarat terakhir iaitu mengambil semangkuk darah anak baginda yang masih kanak-kanak lagi,” katanya.

Dalam kajiannya, Mardiana merumuskan bahawa kisah mengenai syarat Puteri Gunung Ledang itu merupakan satu bentuk sindiran atau teguran oleh Tun Sri Lanang kepada raja yang ketika itu sanggup melakukan apa sahaja bagi mencapai hasrat hatinya.

“Tun Sri Lanang seorang tokoh yang bijak. Dia tidak akan sesekali membazirkan walaupun satu perkataan di dalam karyanya itu tanpa memberikan makna kepada setiap perkataan yang digunakannya,” katanya.

Selain makna sindiran, beliau juga percaya kisah Puteri Gunung Ledang mempunyai makna tersirat lain. Ia menunjukkan bagaimana raja ketika itu sentiasa mahu memastikan baginda tidak ditandingi oleh orang lain apabila mahu memperisterikan wanita yang bukan dalam kalangan orang biasa-biasa.

“Namun, sejauh mana kebenaran kisah peminangan Puteri Gunung Ledang oleh Sultan Melaka itu hanya Allah sahaja yang tahu,” katanya.

Menyentuh mengenai kisah percintaan Puteri Gunung Ledang dengan Laksamana Hang Tuah, Mardiana berkata, pada pendapatnya, ia hanyalah satu kisah mitos yang ditambah bagi menarik perhatian masyarakat.

Ditanya mengenai naskhah Sejarah Melayu, Mardiana berkata, sehingga sekarang, penyelidikan terus dijalankan bagi mengkaji karya Tun Sri Lanang itu. Katanya, tidak mustahil terdapat banyak lagi salinannya di seluruh dunia.

“Ini berlaku kerana, orang Melayu gemar memberi hadiah berbentuk salinan karya-karya lama termasuk Sejarah Melayu ini kepada pegawai-pegawai asing dahulu kala. Jadi, salinan itu sahaja yang wujud dan dimiliki oleh si penerima terutama pegawai-pegawai pentadbir penjajah zaman dahulu,” katanya.