Hampir berderet-deret tohmahan pembangkang terhadap inti pati bajet berkenaan. Khususnya tertumpu kepada pemansuhan tol di Batu Tiga dan Sungai Rasau.

Dari menteri besarnya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Khalid Abdul Samad sehinggalah ke Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PKR dari Batu Tiga, Rodziah Ismail kebanyakan komen atau raut wajah mereka walaupun ‘buat-buat ceria’ tapi berbaur kejengkelan terhadap Perdana Men­teri.

Sehingga diputarbelitkan ko­nonnya pemansuhan tol itu bukan suatu yang patut dihebohkan kerana akan berakhir tahun depan. Padahal fakta sebenar dijadualkan berakhir pada 31 Di­sember 2038 - 20 tahun lebih awal daripada perjanjian konsesi.

Sebenarnya, pemansuhan tol atau pemberian buah tangan, imbuhan selain peruntukan rutin berbilion ringgit untuk tujuan pembangunan terserah kepada siapa peneraju kerajaannya yang prihatin.

Hati Tumpang lalu berasa kembang apabila melihat kampung halaman kian terbela dan penduduknya berterima kasih kerana perjuangan yang berhasil.

Sebagai pemimpin sebuah parti yang telah berjaya, cara bagaimana mentadbir mesti diketahui oleh kepemimpinannya.

Di peringkat dunia, ada ma­syarakat yang saban hari sukar beroleh makanan, ada pula yang dianugerah Allah kemewahan. Ada bangsa yang berkecai kerana peperangan dan kekejaman. Ada negara yang menghijau dan stabil sepanjang masa. Malaysia tergolong kepada jenis terakhir itu.

Dunia terus berputar. Zaman terus beredar. Pusaka terus bergilir dan kehidupan terus menuntut untuk diisi. Yang mati, yang hidup, yang lahir, yang membesar, yang kahwin, yang bercerai, yang merana, yang bahagia - ini semua mendalilkan bahawa hidup itu terus berubah dan berevolusi.

Cuma dalam politik Malaysia - yang berpolitik sepanjang masa disebabkan pembangkangnya yang rakus kuasa - boleh disamakan dengan keadaan di penanggah semasa kenduri. Ada yang sebagai kayu api, tungku dan batu api. Ini semua diketahui belaka oleh setiap ahli politik. Cuma yang tergolong sebagai batu api tadi peranan mereka ialah membakar yang dalam amalan sebenar menghasilkan adu domba dan cucuk radak.

Pemimpin atau mereka yang jurang fakulti pemikirannya agak dangkal dan tidak meluas akan mudah dikuasai oleh golongan batu api ini dan akhirnya menjadi mangsa olahan sendiri.

Benarlah kata-kata lama: busuk ikan bermula di kepala, bukan di ekornya. Gajah berlaga sama gajah, pelanduk tersepit di tengah-tengah.

Pembangkang khususnya me­reka yang baru setahun dua ini masuk Pakatan Harapan dikepalai DAP ini harus berjiwa besar untuk kembali ke pangkal jalan.

Pokok lada tepi tempayan

Kalau dibakar menjadi abu

Apa ada pada jambatan

Kalau terbakar binalah

yang baharu.

Dewasa ini apabila Tumpang lalu balik ke kampung semasa musim hari raya melalui jajaran Projek Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) yang berbaris sesak ken­deraannya hingga ke Sungai Perak, sebelum menyimpang masuk ke Gerik, bukti khidmat sudah ada.

Sedikit sebanyak tanda jasa itu ada di bumi nyata bagi mereka yang mahu melihat.

Dilirik ialah padi

Diendang anak desa

Yang baik ialah budi

Dikenang ialah jasa.