Masalah mak nyah adalah isu yang perlu ditangani kerana melibatkan faktor sosial dan masyarakat. Cuba lihat statistik terkini iaitu sebanyak 80 peratus daripada 20,000 golongan mak nyah negara ini terlibat sebagai pekerja seks.

Statistik itu dimaklumkan sendiri oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat, 23 Oktober tahun lalu. Berdasarkan statistik itu jelas menunjukkan bahawa sebahagian besar mak nyah terlibat sebagai pekerja seks walaupun bukan semua. Bayangkan isu itu jika tidak dibendung apa akan berlaku lima atau 10 tahun akan datang.

Cuma apa yang mahu dibincangkan di ruangan ialah keperluan semua pihak membimbing mereka ke pangkal jalan. Yang pasti, Islam tidak pernah mengiktiraf mak nyah. Hukum mak nyah tetap sebagai seorang lelaki. Oleh itu sebarang sandaran hukum melibatkan mak nyah adalah didasarkan kepada seorang lelaki.

Baik hukum mengerjakan haji, solat Jumaat mahupun membabitkan jenazah seorang mak nyah. Urusannya hendaklah dibuat atas nama seorang lelaki. Dalam isu kekeliruan jantina, Islam hanya mengiktiraf khunsa.

Oleh itu penentuan sama ada seseorang khunsa itu lelaki atau perempuan para ulama telah meletakkan satu kaedah iaitu dengan melihat perubahan pada fizikalnya sama ada cenderung kepada lelaki atau perempuan dalam proses pembesarannya. Apapun perbahasan tentang khunsa ini boleh dirujuk kepada para ustaz dan ustazah yang lebih arif selain bahan bacaan yang membincangkannya.

Berbalik tentang isu mak nyah ini, apa dikesalkan terdapat segelintir ibu ayah yang bermati-matian membela anaknya yang berstatus mak nyah. Sampai ke tahap mengaku anak mak nyah mereka sebagai anak perempuan. Jangan nanti di saat-saat tubuh anak mak nyah mereka terbujur kaku baru hendak menyesal. Oleh itu penting bagi ibu ayah membimbing dan menyantuni anak-anak yang seperti ini, bukan membiarkan golongan ini melakukan sesuka hati. Berikan sokongan 100 peratus agar mereka berubah. Berubah menjadi seorang lelaki.

Penulis cukup tertarik dengan pendekatan yang digunakan oleh pendakwah terkenal, Ebit Lew dalam mendidik golongan mak nyah ini. Golongan tersebut didekati secara berhikmah. Memang tidak dinafikan terdapat mak nyah yang mampu berubah menjadi seorang lelaki tetapi ada juga yang gagal. Lebih malang lagi selepas menjadi mak nyah semula penampilan mereka lebih berani sehingga sanggup memakai bikini.

Tanpa rasa malu mereka memuat naik klip video untuk tatapan peminat dan pengikut.

Sedangkan sebelum itu (ketika proses berubah) tampil dengan jubah dan baju Melayu. Apabila ditegur oleh netizen dalam media sosial mulalah puak mak nyah ini melenting.

Setidak-tidaknya jagalah air muka ibu ayah dan ahli keluarga yang lain. Ketika ada ibu ayah yang membela perlakuan anak-anak ini terdapat juga ibu ayah yang tidak rela anak-anak berubah menjadi mak nyah.

Sungguhpun begitu mereka yang mempunyai anak-anak mak nyah, jangan sesekali putus asa. Berusahalah untuk menyedarkan mereka. Perbanyakkan doa dan munajat harapan Allah SWT akan memberi hidayah kepada anak-anak ini.