Itu ungkapan akhir Allahyarham Adnan Othman, 33, kepada isterinya Shahmiza Salleh, 32, sebelum keluar bekerja pada 3 Oktober 2018.

Pagi itu adalah hari terakhir pensyarah di sebuah kolej kesihatan ini menatap wajah suami tercinta. Pada tarikh yang sama, Adnan bersama lima anggota bomba yang lain terkorban ketika melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong.

Tragedi meruntun jiwa seluruh rakyat Malaysia itu mendapat liputan tanpa henti di dalam media elektronik, cetak dan sosial.

Allahyarham meninggalkan dua anak, Nur Aisyah Damia Adnan, dan Nur Aliyah Maisarah, masing-masing berumur empat dan dua tahun.

Dalam satu majlis serah sumbangan bertempat di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen 15, Shah Alam baru-baru ini, Shahmiza hadir ditemani dua anaknya serta keluarga terdekat.

Usai tamat majlis yang berlangsung sederhana itu, penulis terus mendekati Shahmiza dan memohon keizinan untuk mewawancara.

Walaupun masih bersedih dengan tragedi yang menimpa, Shahmiza tidak menolak, malah dia sedia memberi kerjasama.

“Saya reda dengan pemergiannya. Mahu atau tidak, kena terima.

“Tetapi untuk terima bukan mudah. Saya perlu masa,” katanya ketika ditanya tentang keadaannya ketika ini.

Daripada raut wajah, Shahmiza jelas masih terkejut dengan kejadian yang berlaku. Ibu muda itu memberitahu, suami tidak menunjukkan petanda dia akan pergi buat selamanya.

“Seminggu sebelum kejadian, kami menonton filem Paskal.

“Arwah ada muat naik status di Facebook, mungkin sekali dalam terinspirasi setelah menonton filem tersebut.

“Biasanya dia seperti itu, sering muat naik tulisan yang ada maksud tersirat. Jadi, saya tidak ambil serius,” ceritanya.

Kesedihan Shahmiza dikongsi dua anaknya yang masih terlalu kecil untuk memahami segala yang berlaku.

“Anak-anak ada bertanya ke mana ayah pergi apabila terlihat uniform atau barang-barang kepunyaan arwah. Saya akan cuba tenangkan dan hiburkan hati mereka.

“Tanggungjawab saya lebih besar setelah ketiadaan arwah. Apa yang penting sekarang ini adalah tumpuan terhadap pendidikan dan kebajikan mereka berdua,” jelasnya.

Kejadian penuh tragis itu turut mengorbankan Mohd Fatah Hashim, 34.

Isterinya, Noor Nadia Kamaludin, 29, mengakui tidak mudah melupakan kenangan bersama suami setelah hampir tujuh tahun hidup bersama.

“Bukan saya tidak ingat (saat kehilangan arwah), tetapi sebolehnya tidak mahu bercerita kerana terlalu berat untuk dikenang kembali.

“Saya cuba untuk kuatkan semangat demi anak-anak,” katanya sebak.

Mohd Fatah diingati sebagai seorang ayah penyayang yang sentiasa mengutamakan keluarga. Kata NoorNadia, antara sikap positif arwah adalah sentiasa berusaha menghargai dia sebagai isteri.

“Contoh..., apabila saya masak untuknya, dia akan puji dan ucap terima kasih. Tidak pernah tidak...,itu antara sikap arwah yang saya ingat.

“Dia akan sentiasa mengucapkan ‘sedap ibu masak, terima kasih isteri kita’,” ujarnya.

Noor Nadia memberitahu anak-anak adalah segalanya buat Mohd Fatah. Katanya, arwah sentiasa mengutamakan anak-anak walau dalam apa keadaan sekalipun.

“Dia suami yang baik. Tidur, makan dan mandi anak-anak, semua dia buat. Walaupun penat, dia tidak pernah lepas tanggungjawab.

“Dia seorang ayah yang terlalu sayangkan anak-anak. Tiada tandingan.

“Mungkin ada sebab Allah SWT singkatkan masa arwah bersama anak-anak. Saya reda,” katanya lagi.

Dalam pada itu, NoorNadia yang merupakan suri rumah sepenuh masa turut menyebut tentang perancangannya untuk membawa anak-anak menetap di Johor, berhampiran rumah ibu dan bapanya.

“Banyak urusan yang masih belum selesai. Sehingga kini, tempat tinggal kami anak beranak di Johor belum dapat disahkan lagi.

“Kami sekeluarga perlu masa untuk menyesuaikan diri tanpa arwah. Lepas ini, saya kena belajar hidup sendiri,” katanya menutup perbualan.