Ini bukan senyum saja-saja tau. Tapi senyum ‘berisi’, bahkan ‘berbisa’ lagi.

Disebabkan Mak Ani tak makan hasutan oleh seorang wanita muda yang agak kananlah juga kedudukannya dalam PKR tempoh hari, ternyata hari ini penduduk asal Kampung Kerinchi flat empat tingkat itu sudah merasai hasil yang dituainya.

Kisahnya begini. Mak Ani, anak kelahiran Rembau, Negeri Sembilan berhijrah ke Kuala Lumpur pada awal 1970-an dengan me­netap di penempatan setinggan di Kampung Kerinchi. Tidak lama kemudian, keluarganya dapat rumah perpindahan ke flat empat tingkat berkenaan.

“Sekitar tahun 80-an, Mak Ani dikhabarkan ada seorang penduduk nak jual rumahnya kerana katanya keadaan flat yang teruk, banyak taik (tahi) tikus. Mak Ani dan suami ada lah sikit duit waktu itu dan beli dengan harga RM38,000.

“Kali kedua beberapa tahun ke­mudian, seorang penduduk nak jual flatnya kerana masalah serupa, Mak Ani bayar RM45,000 dan rumah ketiga, Mak Ani beli dengan harga RM48,000.

“Jadi, Mak Ani waktu itu sebelum suami meninggal (dunia) pada 1993, ada empat buah rumah. Tapi Mak Ani memang tak terfikir langsung flat empat tingkat ini nak dibangunkan dengan projek pangsapuri mewah dipanggil Residensi Kerinchi,” kata Mak Ani kepada Tumpang lalu yang ditemui di kediamannya di Residensi Kerinchi Ahad lalu.

Kata Mak Ani, kalau tidak kerana Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan persatuan penduduk, dia dan 471 penduduk lagi pasti akan ‘berputih mata’ untuk mendiami pangsapuri di Residensi Kerinchi, yang sebuah unitnya sahaja sudah mencecah harga setengah juta ringgit.

Macam mana tu Mak Ani, ta­nya Tum­pang lalu. Kongsilah sikit.

“Dia (penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar) hasut kami jangan berpindah, tapi Mak Ani dan kebanyakan penduduk Kampung Kerinchi tak makan dek hasut. Lagipun kami percaya sangat kepada Datuk Raja (Raja Nong Chik) yang juga menteri waktu itu, takkanlah Kerajaan BN ini nak tipu kami.

“Mujurlah kami bertindak be­tul, cuma 35 orang penduduk saja yang menolak setelah termakan dengan janji-janji dia itu,” kata Mak Ani lagi.

Tumpang lalu kemudian sempat menghubungi Raja Nong Chik memandangkan Mak Ani ‘petik’ nama calon BN kerusi Parlimen Lembah Pantai itu.

Kata Raja Nong Chik: “Gara-gara bantahan dan hasutan Nurul Izzah ini, projek Residensi Kerinchi Link ini lewat dua, tiga tahun dari jadual disiapkan. Ada yang tidak sempat merasai kerana dah meninggal dunia.

“Pertanyaan saya kepada Nurul Izzah mudah sahaja. Apa yang dihasut oleh Nurul Izzah tempoh hari kata kerajaan BN akan tipu, projek (Residensi Kerinchi) ini tak akan berjaya, kini sudah terjawab (dengan tersergam pangsapuri ini dibangunkan).

“Matlamatnya berjayalah de­ngan 35 penduduk yang tidak bersetuju kalah di mahkamah. Tapi dia (Nurul Izzah) langsung tidak mohon maaf kepada mereka ini. Cara mohon maaf ialah dengan tolong mereka dapatkan rumah di Selangor (yang kerajaan negerinya PKR, parti Nurul Izzah sendiri).”

Kata Raja Nong Chik lagi, beliau pernah bercakap kepada Nurul Izzah di Parlimen menerusi ucapan dalam sidang Dewan Rakyat agar Nurul Izzah - yang kini ‘lari’ bertanding pula di kerusi Parlimen Permatang Pauh - jangan menghasut mereka (35 penduduk tadi) kerana kesemuanya orang Melayu.

“Saya kata marilah kita bekerjasama tapi dia degil masih nak hasut juga,” kata beliau.

Tumpang lalu masih sempat lagi bertanyakan Raja Nong Chik, 65, komennya tentang saingan baharunya di Lembah Pantai iaitu bekas setiausaha politik Nurul Izzah sendiri, Fahmi Fadzil, 37.

Sama ada secara berseloroh atau serius, Raja Nong Chik seraya berkata “Barangkali advantage pada Fahmi sebab dia akan kata (kepada pengundi) bahawa yang buat silap, buat dosa bukan dia (di Lembah Pantai) tapi Nurul Izzah, maknanya dia (Fahmi) clean lah. Tapi takkan pengundi Lembah Pantai tak cerdik, bukankah kedua-duanya dari PKR?

“Nurul Izzah akan sentiasa ‘berlari’, lari dan lari dari kawasan yang dia tak service, saya? Saya nak ke mana, tetap di Lembah Pantai, takkan nak ke Setiawangsa pula?”

Opps! Terlupa pula Tum­pang lalu nak bertanyakan Mak Ani tentang empat buah rumah yang dimilikinya sama ada diduduki enam orang anaknya - lima pe­rempuan dan seorang lelaki.

“Eh! tidak, anak-­anak Mak Ani semua su­dah ber­keluarga dan ada rumah ma­sing-masing. Selain rumah Mak Ani sendiri, ti­ga lagi rumah di Re­sidensi Kerinchi ini Mak Ani sewakan, RM1,500 sebulan untuk dua unit dan satu lagi RM2,000,” kata Mak Ani yang dihubungi pagi semalam, menyebabkan Tumpang lalu menjerit kecil ‘Wow Mak Ani’.

Lembah Pantai mempu­nyai 80,000 pengundi terdiri da­ripada 52,000 pengundi Me­­la­yu, Cina (18,000), India (15,000) dan bakinya, lain-lain.
Ra­ja Nong Chik tewas tipis 1,847 undi di Lembah Pantai pada PRU-13.