Siasatan mendapati restoran tersebut melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 antaranya gagal mengemukakan dokumen perjalanan dan pas yang sah, tinggal melebihi tempoh sah dan melanggar syarat pas. Selain itu, majikan restoran berkenaan juga menggaji ramai pekerja asing untuk bekerja di barisan hadapan seperti juruwang, jurujual lelaki dan wanita, pelayan restoran dan sebagainya sedangkan sektor pekerjaan itu tidak dibenarkan berbuat demikian.

Apa yang berlaku di atas adalah satu daripada beratus-ratus contoh bagaimana sektor pekerjaan di negara ini terutama yang melibatkan sektor kurang mahir menggunakan tenaga kerja asing termasuk pekerja asing tanpa izin secara meluas. Kalau dahulu, pekerja asing ini hanya dapat dilihat di belakang tabir sahaja, sekarang tidak lagi mereka sudah berada di barisan hadapan. Segelintir majikan sudah tidak takut lagi melakukan sesuatu yang terang-terangan bersalahan de­ngan undang-undang negara.

Pada masa ini dianggarkan ­lebih tujuh juta pekerja asing berada di Malaysia dengan 2.2 juta sahaja yang bekerja secara sah manakala selebihnya bekerja secara haram. Mengikut laporan, pada tahun lalu bilangan pekerja asing yang memegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) aktif berjumlah 1.86 juta berbanding 2.13 juta orang pada 2015.

Walaupun kerajaan memper­ke­nalkan Program E-Kad bagi memberi peluang kepada majikan mendaftarkan pekerja asing ­ma­sing-masing bermula 15 Februa­ri hingga 30 Jun depan, sambutan yang diterima masih mengecewakan. Hanya 11,103 majikan yang tampil mendaftarkan pekerja ma-sing-masing setakat ini.

Sehingga 28 April lalu, hanya 73,781 pendatang asing tanpa izin (PATI) mendaftar yang mana 68,580 daripada mereka telah mem­peroleh e-Kad manakala se­lebihnya sedang diproses untuk diberi kelulusan. ­­­Jabatan ­Imi­­gresen menyasarkan dapat mendaftarkan kira-kira 400,000 hi­ngga 600,000 pekerja asing tanpa izin menjelang 30 Jun depan.

Isu kebanjiran pekerja asing termasuk yang bekerja secara ti­dak sah seperti ‘bukan isu’ lagi. Perkara ini dapat dilihat di hadapan mata setiap hari. Mereka bukan lagi satu wajah asing yang sebelum ini menimbulkan rasa bimbang dan sangsi masyarakat setempat. Kehadiran pekerja asing seolah-olah sudah dapat diterima dengan tangan terbuka. Mereka berada di setiap sektor pekerjaan, dan tidak hanya di sektor-sektor ‘kotor, sukar dan bahaya.’ Malah banyak juga sektor yang sudah dikuasai secara diam-diam seperti sektor perniagaan. Perkara itu bukan mengejutkan.

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) baru-baru ini sebagai contoh mengambil langkah tegas dengan melarang syarikat atau orang perseorangan warga asing daripada menjalankan 23 aktiviti perniagaan di ibu kota. Langkah itu bertujuan mengurangkan kebanjiran kumpulan tersebut dalam sektor peruncitan dan perdagangan di sekitar ibu kota. Sudah lama mereka menguasai aktiviti-aktiviti perniagaan yang disenaraikan itu.

Dalam keadaan senario pertum­buhan ekonomi negara dan global yang perlahan sehingga menye­babkan pekerja kehilangan pekerjaan dan tidak banyak peluang pekerjaan baharu wujud, isu kebanjiran pekerja asing termasuk yang bekerja secara haram di negara ini diperkatakan semula. Kehadiran warga asing juga secara jelas mengehadkan peluang pekerjaan yang sepatutnya diisi rakyat tempatan terutama graduan dan lepasan institusi pengajian tinggi. Sekiranya situasi ekonomi perlahan ini berterusan, peluang rakyat dalam mencari pekerjaan dijangka bertambah sukar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sendiri dalam perutusan Hari Pekerja minggu lalu menyeru para majikan menjadikan pekerja tempatan sebagai ­keutamaan dalam mengambil tenaga kerja di syarikat masing-masing. Beliau meminta para majikan tidak mengambil jalan mudah dengan menggaji pekerja asing bagi mengisi kekosongan jawatan.

Apa yang disebut Perdana Menteri itu adalah gambaran sebenar yang sedang berlaku pada hari ini. Para majikan lebih selesa mengambil jalan mudah mengupah tenaga kerja asing. Banyak juga majikan rela menggaji pekerja tidak sah berbanding rakyat tempatan.

Khabarnya, mereka bosan de­ngan sikap rakyat tempatan yang terlalu ‘memilih’ pekerjaan. De­ngan mengutamakan pekerja asing, ba­nyak kos dapat dijimatkan kerana tidak perlu membayar upah yang besar. Dalam hal ini kelihatan segelintir atau mungkin majoriti majikan sudah tidak ambil peduli terhadap kesan negatif jangka panjang akibat tindakan itu. Walaupun kesan sedemikian sudah lama kelihatan, faktor komersial dan keuntungan me­ngatasi segala-galanya.

Perdana Menteri sudah ber­suara. Persoalannya, adakah majikan di luar sana akan sama-sama menyahut atau sekadar buat-buat tak dengar sahaja!