Tidak dapat dipastikan sama ada penjenayah tersebut adalah warga asing yang masuk ke negara ini secara halal atau pendatang ­asing tanpa izin (PATI). Bagaimanapun berdasarkan kepada keberanian ‘luar biasa’ untuk melakukan jenayah berat seperti itu, mereka seperti sudah lama berada di negara ini kerana tahu selok-belok satu-satu kawasan sasaran. Keupayaan memiliki senjata berat seperti pistol juga menunjukkan bahawa mereka sudah ada jaringan hubungan de­ngan penjenayah lain.

Salah satu punca keberanian luar biasa mereka ialah kerana jumlah mereka sudah terlalu ramai di negara ini. Ada sebahagian sudah membina koloni atau wilayah masing-masing. Ada juga yang berjaya menguasai kegiatan ekonomi setempat. Ibaratnya sudah seperti berada di negara sendiri. Tidak keterlaluan kalau dikatakan ada penduduk setempat yang ‘takut’ kepada mereka.

Berdasarkan statistik Jabatan Imigresen, sejak program Program Serah Diri Sukarela (3+1) kepada PATI diperkenalkan pada 2014 sebanyak 867,336 PATI telah mendaftar dan kembali ke negara masing-masing secara sukarela. Sejak 1 Januari lalu pula sehingga kelmarin sebanyak 181,529 PATI telah mendaftar dan pulang ke negara asal. Daripada jumlah PATI yang mendaftar untuk program tersebut pada tahun ini, sebanyak 102,904 orang melakukan kesalahan tinggal lebih masa manakala selebih­nya tiada permit yang sah. Jumlah yang mendaftar itu bukan satu ang­ka yang kecil, berapa banyak pula jumlah yang tidak mendaftar dan masih hidup bebas agaknya?

Insiden penipuan, pergaduhan, rompakan, pembunuhan dan kejadian tembak-menembak yang melibatkan pendatang asing sudah tentunya merisaukan banyak pihak terutama orang awam. Tanggapan bahawa mereka masuk ke negara ini untuk mencari sesuap rezeki halal sudah berubah rentetan kejadian jenayah seperti itu. Dalam kea­daan wajah mereka boleh dilihat di ceruk mana sahaja di atas muka bumi Malaysia ini, jelas membuktikan bahawa jumlah dan bilangan warga asing di negara ini tidak pernah berkurangan. Malah dirasakan bilangan mereka semakin bertambah dari sehari ke sehari. Pandang dan palinglah ke arah mana sekalipun, pasti ada kelibat warga asing.

Lantas keputusan kerajaan untuk tidak melanjutkan lagi Program Serah Diri Sukarela (3+1) yang tamat beberapa hari lalu adalah satu keputusan tepat. Rasanya sudah banyak kali kerajaan berlembut dan bertolak ansur dalam isu ini. Macam-macam program sudah diperkenal dan dilaksanakan bagi membantu majikan dan PATI sendiri bagi membolehkan mereka bekerja secara sah. Bagaimanapun apa yang berlaku sebaliknya, tolak ansur dan pendekatan berlembut kerajaan dalam isu ini tidak dihargai malah dicabul. Masih ramai lagi secara tidak berselindung mengambil dan menggaji PATI sebagai pekerja. Berpuluh-puluh ribu lagi PATI masih bebas lepas dalam negara ini mencari rezeki tanpa rasa bersalah dan takut. Le­bih membimbangkan ada yang berani mencari rezeki dengan terlibat dalam kejadian yang mengancam keselamatan hidup rakyat tempatan.

Oleh kerana masih ramai majikan dan PATI yang degil dan keras kepala tidak mahu menyerah diri, selepas ini bersiap sedialah untuk berhadapan dengan tindakan undang-undang. Seperti kata Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Mustafar Ali, mana-mana PATI atau majikan yang melindungi serta menggajikan PATI akan berhadapan dengan tindakan undang-undang tegas. Jabatan Imigresen sudah tekad mahu melaksanakan operasi pe­nguatkuasaan secara agresif dan berterusan bagi memastikan mereka ditangkap dan dikenakan tindakan. Harap­nya pemburuan sehingga masuk ke lubang cacing sebagaimana diuar-uarkan betul-betul menjadi kenyataan kali ini!

Amaran tersebut bukan sekadar ditujukan kepada majikan dan PATI sahaja tetapi juga kepada sesiapa sahaja yang terlibat secara langsung dan tidak langsung melindungi pendatang tidak sah ini, termasuk mereka yang terlibat dalam rasuah dan salah guna kuasa bagi tujuan yang sama. Janganlah ada lagi pihak yang berani melin­dungi dan bersubahat lagi dalam isu PATI ini. Selama ini kerajaan sudah mengeluarkan belanja dan tenaga yang bukan sedikit untuk menyelesaikan masalah ini.

Isu kemasukan PATI ini sudah saban tahun berlarutan dan seperti tidak ada titik kesudahan. Sudah sampai ketikanya, isu ini diselesaikan. Kerajaan sudah berubah tampuk kepemimpinan, kerajaan baharu sudah terbentuk. Kalau kerajaan terdahulu gagal, kerajaan yang ada sekarang sudah pasti ada cara dan pendekatan lebih baik untuk menyelesaikannya.