ELFIRA JAMALUDIN

“Saya anggap keputusan yang dibuat untuk bekerja di sini setahun lalu adalah tepat.

“Memang pada permulaannya, saya berasa tidak senang dengan persekitaran baharu, tetapi pengalaman yang saya dapat sangat berharga. Bukan itu sahaja, hidup berjauhan dengan keluarga, menjadikan saya lebih berdikari. Selain itu, saya dapat mengenali budaya luar dan bergaul dengan rakan-rakan dari negara luar,” katanya dihubungi S2.

Bertugas di sebuah restoran Jepun di Pantai Miami, Florida, graduan dari International Culinary Arts, Kolej Universiti KDU dengan kerjasama International Management Institute (IMI), Switzerland itu tertarik untuk bekerja di luar negara selepas tamat pengajian.

“Saya mohon bekerja di Florida kerana mahu tambah kemahiran memasak. Lebih-lebih lagi, rakan di luar negara sering bercerita tentang keunikan bekerja di negara orang.

“Keluarga sokong keputusan saya. Mereka juga memberi semangat kepada saya untuk terus maju dalam bidang yang saya impikan selama ini. Bidang memasak tidak sekadar tahu beberapa menu sahaja. Jadi, apa salahnya menuntut ilmu melalui pakar masakan di luar negara,” tambahnya.

Ketika ditanya tentang bayaran gaji yang lumayan bekerja di luar negara, dia memberitahu tidak banyak beza dengan gaji yang diterima jika bekerja di Malaysia.

“Jika fikirkan tentang gaji, mungkin saya tidak berada di sini. Namun, berbaloi apabila mendapat gaji setimpal dengan tugas pada setiap bulan.

“Bukan itu sahaja, majikan juga menganggap kami (pekerja) sebagai rakan dan sangat profesional ketika bekerja.

“Peluang mengenali ketua (majikan) memberikan saya ruang untuk bekerja dalam suasana kerja kurang tekanan kerana jika tidak faham, saya boleh berinteraksi dengan mereka tanpa berasa ada jurang antara majikan dan pekerja,” katanya.

Selain itu, kehidupannya turut berubah kerana banyak melakukan aktiviti bersama rakan dan tidak berasa keseorangan.

“Bayangkan saya perlu membuat semuanya sendiri dan tinggal berjauhan dengan keluarga, membolehkan saya mendapat peluang bergaul dengan rakan berlainan bangsa pada setiap waktu cuti hujung minggu,” katanya.