Namun, agak mengejutkan apabila baru-baru ini tular berhubung peringatan daripada pengguna Facebook agar ibu-ibu hamil tidak sewenang-wenangnya memuat naik gambar-gambar mereka di mana-mana platform media sosial.

Walaupun gambar-gambar tersebut kelihatan sempurna menutup aurat, percaya atau tidak ia boleh dijadikan bahan fantasi seksual oleh lelaki-lelaki ‘gila’ di luar sana yang mempunyai satu penyakit kelainan seksual apabila mereka ghairah melihat ibu hamil. Ia dikenali sebagai Maiesiophilia.

Spesies lelaki ini dikesan telah mewujudkan kumpulan-kumpulan tertentu di media sosial yang bertindak mengumpul dan menyebarkan gambar-gambar ibu-ibu hamil. ‘Ahli-ahli’ dalam kumpulan tersebut akan memberikan komen-komen berbaur lucah pada gambar-gambar itu.

Bukan itu sahaja, saluran aplikasi Telegram turut diguna pakai sebagai medium perkongsian video seks bersama ibu hamil serta paparan gambar ibu-ibu hamil sebagai objek pemuas nafsu mereka.

Menerusi satu status oleh pengguna Facebook, Bel Nawhen yang juga seorang jururawat memberitahu, lelaki berpenyakit itu suka melihat ibu-ibu dengan pakaian hamil atau apa sahaja pakaian yang dipakai yang jelas menunjukkan baby bump. Bagi pandangan mereka ia adalah seksi. Oleh itu, dia berpesan kepada ibu-ibu hamil supaya berhati-hati apabila berkongsi gambar yang menampakkan baby bump di media sosial kerana dikhuatiri gambar tersebut boleh terlepas kepada mereka yang tidak silu menjadikannya sebagai modal fantasi seksual.

“Benar, kehamilan adalah satu kenangan indah yang perlu kita raikan, tetapi ada kala kita terlupa ada yang memerhati kita dalam diam dan mungkin berfantasi bahawa kita sedang hamilkan anaknya barangkali,” tulisnya.

Sebelum ini masyarakat kecoh mengenai jenayah pedofilia yang menjadikan sasaran seksual kepada kanak-kanak.

Ketika itu ramai pihak menyarankan supaya tidak memuat naik gambar anak-anak di media sosial kerana dibimbangi menjadi sasaran kes pedofilia ini.

Kali ini kes Maiesiophilia pula. Mungkin sesetengahnya tidak bersetuju dengan nasihat sedemikian kerana meng­anggap tidak patut ibu-ibu hamil pula menjadi victim blaming. Walaupun tidak menafikan yang patut dipersalahkan adalah lelaki yang gila seks terbabit, tetapi tidak salah mengikuti nasihat tersebut sebagai langkah pencegahan.

Cekmek Molek tertarik dengan perkongsian tip-tip ke­selamatan yang boleh diperoleh menerusi laman web theAsianparent Malaysia jika mahu berkongsi gambar di media sosial. Antaranya, hanya berkongsi gambar kepada yang dipercayai, set akaun media sosial anda ke private, watermark foto anda, tukar kata laluan anda dengan kerap dan tapis kumpulan yang telah anda sertai.

Maklumat-maklumat sebegini amat berguna demi memastikan keluarga sentiasa selamat daripada musuh dalam selimut.