Nasrudin Subhi
Nasrudin Subhi

Pensyarah Kanan Pusat Psikologi dan Kesejahteraan Manusia, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr. Nasrudin Subhi berkata, kebiasaannya mereka yang mencari peluang untuk bekerja di luar negara melakukannya ketika usia muda dan masih berstatus bujang. Ini bermakna mereka tiada komitmen terhadap keluarga, isteri mahupun anak-anak.

“Golongan muda gemar berhijrah ke luar negara untuk bekerja kerana mahu menimba pengalaman. Mereka lebih mampu hidup berdikari setelah hidup berjauhan dengan keluarga,” katanya kepada S2.

Menurutnya, ramai anak muda mahu hidup bebas dan faktor itu mendorong mereka membuat keputusan sama ada mahu meraih rezeki di dalam negara atau luar negara.

Beliau menambah, faktor gaji yang lumayan di luar negara turut menarik perhatian golongan ini.

“Apabila pulang ke tanah air, mereka akan mempunyai rekod pengalaman bekerja di luar negara. Tentunya, pengalaman itu akan memberi kelebihan semasa mengisi borang permohonan bekerja di dalam negara kelak. Pengalaman itu juga digunakan untuk berunding dengan bakal majikan bagi mendapatkan gaji yang lebih lumayan,” katanya.

Selain itu, graduan universiti luar negara lebih mudah mendapat peluang membina kerjaya di negara yang menempatkan institusi pengajian mereka.

“Apabila tamat pengajian, ada yang tidak mahu balik ke tanah air sebaliknya mahu bekerja di sana. Selain gaji yang lumayan, persekitaran pekerjaan yang bersifat antarabangsa mendorong mereka berbuat demikian.

“Itu antara jawapan yang saya peroleh daripada mereka yang bekerja di luar negara dan menjadi pemastautin tetap di negara yang menawarkan pekerjaan kepada mereka. Kata mereka, suasana bekerja di sana lebih seimbang dengan kehidupan seharian (work-life balance) terutama di negara barat yang maju,” ujarnya.

Menurutnya, bagi yang telah berkeluarga pula, ini bermaksud bekerja di luar negara akan memberi lebih masa untuk berada di samping suami mahupun isteri dan anak-anak.

Sementara itu, katanya, sistem pendidikan peringkat sekolah untuk anak-anak yang lebih baik amat disenangi mereka walaupun terpaksa membayar cukai yang lebih tinggi berbanding penduduk tempatan.