Istanbul juga diletakkan di tangga kelapan pada senarai destinasi paling dilawati di dunia oleh Indeks Bandar Raya Destinasi Global Mastercard 2016. Dan terletak di bahagian paling maju di bandar raya itu adalah Lapa­ngan Terbang Antarabangsa Sabiha Gokchen (ISG) yang dimiliki sepenuhnya oleh Malaysia Airports Holdings Bhd. (MAHB).

Lokasi ISG sememangnya strategik. Untuk ke zon industri iaitu zon yang menyumbang sebanyak 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Turki, jaraknya hanya 45 minit pemanduan.

Pusat kewangan negara itu termasuk ibu-ibu pejabat bank terbesar yang memiliki jumlah tenaga kerja kira-kira 50,000 orang pula terletak dalam jarak 15 minit pemanduan. Kedudukan strategik itu adalah antara faktor menjadikan lapangan terbang kedua terbesar di Istanbul selepas Lapa­ngan Terbang Ataturk itu sebagai lapangan terbang paling pantas bertumbuh di Eropah, iaitu dari 3.8 juta ke 29.7 juta penumpang dalam tempoh 10 tahun.

Antara syarikat penerbangan yang beroperasi di lapangan terbang tersebut adalah Turkish Airlines dan Pegasus Airlines dari Turki, Qatar Airways (Qatar) dan Nile Air (Mesir).

Terminal penumpang ISG yang terdiri daripada 180,000 meter persegi kawasan tertutup, 128 meja pendaftaran masuk dan 68 kiosk pendaftaran masuk layan diri mampu menampung kapasiti penum­pang sebanyak 33 juta setahun.

Selain itu, lapangan terbang yang diangkat sebagai lapangan terbang paling pantas bertumbuh di dunia pada 2009, 2010, 2013 dan 2014 itu turut dilengkapi pelbagai infrastruktur termasuk premis bebas cukai dan dewan persidangan. Namun begitu, dalam usaha ISG berkembang selaras dengan tuntutan semasa, pembangunan infrastruktur perlu dilaksanakan secara proaktif dalam menampung kapasiti penumpang yang menggunakan lapangan terbang berkenaan.

Sehubungan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Istanbul Sabiha Gokcen International Airport Investment Development and O­peration Inc., Ersel Goral berkata, pembinaan landasan kedua dan penambahan serta peluasan bangunan terminal ISG bakal melonjakkan kapasiti penum­pang lapangan terbang itu kepada 65 juta orang menjelang 2022.

Beliau berkata, penambahan kapasiti itu juga selaras dengan pengoperasian lapangan terbang antarabangsa baharu di republik ini iaitu Istanbul Grand Airport bermula hujung tahun depan.

Bercakap kepada pemberita Malaysia yang mengadakan lawatan di lapangan terbang tersebut baru-baru ini, Ersel kelihatan optimis dalam menjayakan perancangan pembangunan infrastruktur baharu berkenaan.

“Sehingga kini, ISG mempunyai kapasiti pergerakan trafik udara sebanyak 40 pesawat sejam menerusi satu landasan. Ini akan digandakan kepada 80 pergerakan selepas pengoperasian landasan kedua pada penghujung tahun depan. Peningkatan kapasiti lapangan udara sahaja bagaima­napun tidak memadai, dalam hal ini kita turut memerlukan pertumbuhan kapasiti bagi terminal.

“Kerja-kerja peluasan balai pelepasan terminal domestik sedang giat dijalankan. Ketika ini, bangunan terminal ISG mempunyai kapasiti 33 juta penum­pang setiap tahun. Peluasan balai yang dijangka siap tahun depan akan meningkatkan penumpang kepada 41 juta setiap tahun.” katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan MAHB, Datuk Badlisham Ghazali berkata, MAHB berhasrat untuk terus kekal sebagai pengendali ISG meskipun dalam proses mencari rakan kongsi dan pelabur baharu bagi lapangan terbang tersebut.

Menurut beliau, pihaknya terbuka kepada penglibatan rakan kongsi baharu bagi memberi nilai tambah kepada lapangan terbang tersebut tetapi menegaskan syarikat itu tidak berada di bawah sebarang tekanan untuk menjual kepentingannya.

Katanya, MAHB komited sebagai pengendali ISG iaitu lapangan terbang kedua terbesar di bandar raya ini selepas Lapangan Terbang Ataturk, sehingga konse­sinya tamat pada 2032.

“Setakat ini perbincangan ke arah perkongsian baharu itu berada pada tahap tidak formal. Kita tidak tergesa-gesa untuk mencari rakan kongsi baharu. Tetapi kita proaktif dalam menerima cadangan dan mengadakan perbincangan de­ngan pihak yang berpotensi ke arah perkongsian ekuiti,” katanya kepada pemberita.

MAHB sebelum ini dilaporkan merancang untuk menjual kepentingan minoriti dalam syarikat yang mengendalikan lapangan terbang kedua terbesar di Istanbul itu.

Menurut sumber, syarikat itu dikatakan mencari pelabur untuk ISG dan merancang mengekalkan penguasaannya itu selain sedang berbincang dengan bank-bank untuk menjadi penasihat bagi perjanjian tersebut. MAHB adalah konsortium yang memenangi kontrak bernilai 1.9 bi­lion euro untuk mengendalikan lapangan terbang itu pada 2007 dan pada 2013.

Syarikat berkenaan telah bersetuju untuk meningkatkan pegangan dalam ISG sebanyak 60 peratus dengan membeli 40 peratus kepentingan GMR Infrastructure Ltd. sebanyak 225 juta euro sebelum memiliki baki 40 peratus kepentingan dari Limak Holding pada 2014 dengan harga 285 juta euro.