Ini kerana sejak kebelakangan ini terdapat desas-desus bahawa hubungan Dr. Mahathir dan Anwar semakin renggang dan sudah ada gerakan untuk memisahkan mereka. Pastinya pengumuman ini akan menangkis spekulasi dan cerita negatif yang timbul.

Awang juga berasa bimbang apabila siri fitnah seks yang bermula pada awal tahun 1990-an dan akhirnya dengan penerbitan buku 50 Dalil Kenapa Anwar Ibrahim Tidak Layak Menjadi Perdana Menteri, menjadi pelengkap kepada gerakan menjatuhkan Anwar pada tahun 1998 yang akhirnya dipecat Dr. Mahathir sebagai Timbalan Perdana Menteri kini kembali menjelma. 

Gerakan reformasi yang dimulakan pada awal pemecatan Anwar dan kemuncaknya pada 9 Mei 2018, Dr. Mahathir telah menjadi pemimpin gerakan yang berjaya menjatuhkan Barisan Nasional (BN) dan tercetusnya “Malaysia Baharu”.

Malaysia Baharu ialah impian rakyat yang mahu melihat wajah baharu Malaysia yang bebas daripada masalah rasuah, kronisme, salah guna kuasa dan penyelewengan. Rakyat percaya kombinasi Dr. Mahathir dan Anwar akan menjadi pelengkap kepada aspirasi Malaysia Baharu yang diharap lebih menjamin masa depan negara.

Awang bangga dengan karakter Dr. Mahathir yang masih kekal sama. Keberanian beliau berhadapan dengan kuasa besar, kelantangan membawa suara rakyat tertindas, kehebatan pemikiran beliau yang penuh inovasi dan berteknologi tinggi sememangnya menjadi inspirasi bukan sahaja masyarakat di Malaysia malahan masyarakat dunia.

Namun, Awang merasakan rakyat juga mahu melihat proses persetujuan peralihan kuasa Dr. Mahathir dan Anwar benar-benar dapat berjalan sepertimana dipersetujui. Pastinya semua mengharapkan agar perselisihan antara Dr. Mahathir dan Anwar ataupun gerakan mengeruhkan hubungan mereka hanyalah sekadar cakap-cakap kosong sahaja kerana Awang khuatir perkara ini akan menjadi penyebab impian Malaysia Baharu gagal. 

Semoga kempen PRK Port Dickson akan menjadi satu permulaan kepada gagasan Malaysia Baharu – Dr. Mahathir dan Anwar untuk direalisasikan.

HERO TIDAK DIDENDANG

SOLAT jenazah dilakukan untuk enam anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyel
SOLAT jenazah dilakukan untuk enam
anggota Pasukan Penyelamat di Air (PPDA)
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia
di Balai Bomba dan Penyelamat Seksyen
15, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini. –
BERNAMA

Awang percaya seluruh rakyat Malaysia tidak dapat menyembunyikan perasaan hiba dan sedih akan tragedi korban enam anggota bomba daripada Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor di sebuah lombong di Taman Putra Perdana, Puchong pada malam Rabu lalu.

Mereka ini bukanlah dikenali ramai, mereka juga bukan mencari publisiti tetapi mereka inilah golongan yang sentiasa hadir apabila berlaku sebarang kecemasan. Bagi enam anggota bomba yang terkorban dalam tragedi ini, mereka adalah unsung hero (wira yang tidak didendang). 

Awang ingin merakamkan rasa bangga terhadap mereka kerana mengorbankan kepentingan diri demi tugas dan amanah yang diberi. Cumanya Awang amat mengharapkan tiada mana-mana pihak yang cuba mengambil mudah atas insiden yang berlaku. Diharapkan siasatan terperinci dapat dilakukan bagi membantu menambah baik prosedur operasi standard (SOP) sedia ada supaya tragedi ini tidak berulang.

Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Pastinya peristiwa yang berlaku sekelip mata ini memberi kesan yang mendalam kepada ahli keluarga mangsa yang terlibat. Awang sedar setiap kali berlaku tragedi seperti ini pastinya akan ada pihak yang tampil menghulurkan bantuan. 

Cuma Awang berharap kerajaan mahupun orang awam dapat memikirkan bantuan jangka masa panjang kepada waris yang terlibat kerana secara tidak langsung menyebabkan keluarga mereka kehilangan punca pendapatan.

Eloklah kiranya kebajikan waris ini benar-benar diberi perhatian, dihulurkan bantuan kepada kaum keluarga ini untuk meringankan beban mereka dan dapat meneruskan kehidupan sekalipun diuji dengan perpisahan orang tercinta.

Sememangnya pengorbanan wira-wira negara ini mencerminkan bahawa negara kita tidak ketandusan penjawat awam yang berani, berintegriti dan beretika. Semoga pengorbanan mereka ini akan terus mencetus inspirasi kepada seluruh penjawat awam dan rakyat Malaysia untuk kekal istiqamah dalam amanah dan tugas yang diberi.

Awang mengucapkan salam takziah dan mendoakan agar mereka semua ditempatkan pada kedudukan yang terpuji di sisi Allah.

Al-Fatihah untuk Allahyarham Mohd Fatah Hashim, Izatul Akma Wan Ibrahim, Mazlan Omarbaki, Yahya Ali, Adnan Othman dan Muhammad Hifdzul Malik Shaari.

UMNO SEPANJANG ZAMAN

DR. AHMAD ZAHID HAMIDI ketika memberi ucapan penggulungan sambil diperhatikan oleh para perwakilan p

DR. AHMAD ZAHID HAMIDI ketika memberi ucapan penggulungan sambil
diperhatikan oleh para perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2018 di Dewan
Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra, 30 September lalu.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2018 minggu lalu sudah menyaksikan Presiden UMNO meletakkan hala tuju kebangkitan semula UMNO dengan amanah, mandat dan langkah yang amat jelas untuk membawa UMNO bangkit semula.

Kemeriahan PAU kali ini berlangsung dalam suasana agak sedikit suram dari segi kehadiran, jumlah gerai jualan dan gerai pameran kerana tiada lagi penglibatan agensi kerajaan terutamanya yang mengambil bahagian. 

Sememangnya dulu PAU adalah tempat untuk agensi kerajaan bukan sahaja mempamerkan dan memperkenalkan produk mereka malah ia juga menjadi medium untuk agensi ini memperagakan kehadiran mereka terutamanya kepada Perdana Menteri dan pimpinan kerajaan ketika itu tentang aktiviti organisasi masing-masing.

Awang amat berbangga dengan semangat ahli yang hadir. Buat kali pertama perbahasan datang daripada akar umbi, bercakap daripada hati yang ikhlas tanpa adanya campur tangan atau penglibatan pihak berkepentingan demi melihat dan membawa UMNO kembali sebagai wadah orang Melayu.

Apa yang lebih membanggakan Awang ialah akar umbi UMNO menerima kekalahan pada Pilihan Raya Umum yang lalu. Ini semua dianggap sebagai ujian dan peringatan Allah SWT untuk UMNO memperbetulkan semangat daya juang, hala tuju dan matlamat perjuangannya demi orang Melayu.

Bagi Awang, semangat inilah yang penting kerana UMNO adalah parti akar umbi, parti orang Melayu dan parti rakyat jelata. Lebih-lebih lagi UMNO adalah satu-satunya parti yang tertubuh dengan niat yang satu iaitu untuk mempertahankan kedaulatan agama Islam dan kuasa orang Melayu.

Sejarah telah membuktikan bahawa semangat akar umbi inilah yang telah menyelamatkan bangsa.

Semangat akar umbi UMNO inilah yang bangun menentang Malayan Union, mengembalikan kuasa Raja-raja Melayu walaupun waktu itu Raja-raja Melayu telah tunduk kepada tekanan Inggeris. 

Akhirnya, dengan suara akar umbi, gerakan ini telah menyelamatkan Kesultanan Melayu dan menjatuhkan kuasa Inggeris.Awang mendoakan semangat UMNO bangkit akan menjadi obor yang menyemarakkan lagi semangat bukan sahaja kepada ahli UMNO malahan semua orang Melayu.

Kepada pemimpin UMNO, Awang telah diminta oleh akar umbi untuk mengingatkan agar cukup-cukuplah menagih simpati, dayus menjual diri dan takut dengan tekanan tirai besi hingga membuatkan pemimpin mahu lari dari perjuangan ini. 

Pemimpin boleh datang dan pergi namun UMNO akan terus mara dan maju selagi ada orang Melayu. Pastinya 21,000 cawangan yang megah berdiri, bersedia untuk membawa UMNO bangkit kembali.

UMNO dan Melayu berpisah tiada.