Dapatan kaji selidik itu menurut Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Integriti Datuk Dr. Anis Yusal Yusoff ‘mengejut dan membimbangkan.’ Antara dapatan itu­ ialah 35.8 peratus responden beranggapan menerima hadiah dalam bentuk wang, barangan atau seumpamanya sebagai balasan daripada perkhidmatan yang diberikan bukanlah satu rasuah. Selain itu, 20.6 peratus responden berpendapat penglibatan secara langsung dalam proses pelantikan ahli keluarga untuk mengisi jawatan kosong di jabatan sebagai perbuatan yang dibolehkan. Dalam pada itu, 28.1 peratus responden pula berpendapat tidak menjadi kesalahan untuk mengambil harta atau barangan pejabat seperti pemacu pena, kertas, toner dan lain-lain untuk kegunaan peribadi.

Kerisauan yang sama pernah disuarakan oleh Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Shamsun Bahrin Mohd. Jamil baru-baru ini apabila Kajian Persepsi Keberkesanan Tindakan Pencegahan Ra­suah yang dijalankan oleh agensi itu ke atas 1,000 mahasiswa menghasilkan keputusan yang hampir serupa. Kira-kira 16 peratus penuntut di IPT sanggup me­nerima rasuah jika mempunyai peluang dan kuasa sedangkan kajian yang dijalankan pada tahun 2015 me­nunjukkan hanya 10.7 peratus dan tahun sebelumnya (2014) 11.3 ­peratus sahaja mahasiswa yang sanggup berbuat demikian.

Hasil kajian ini mungkin tidak begitu tepat dan tidak juga mewakili keseluruhan persepsi mahasiswa terhadap gejala rasuah dan salah guna kuasa ini, tetapi berdasarkan apa yang diperoleh itu, memang ada asas yang kuat untuk merasa bimbang. Malah statistik SPRM bagi tempoh di antara 2013 hingga Oktober 2016 sedikit seba­nyak membuktikan kebenaran ini apabila 1,045 orang daripada 1,092 orang pesalah rasuah yang ditahan adalah golongan muda yang berumur 40 tahun ke bawah. Sebahagian terjebak dengan gejala ini kerana mahu cepat kaya dek kerana terikut-ikut atau mengingini kehidupan mewah walaupun di luar kemampuan semasa.

Pelajar sekolah, mahasiswa dan belia adalah golongan muda yang akan menjadi pemimpin masa depan dan pewaris kepe­mimpinan negara tidak kira pada peringkat mana sekalipun. Mereka sekurang-kurangnya akan menjadi ketua keluarga, ketua di tempat kerja, pemimpin komuniti setempat atau masyarakat atau lebih tinggi daripada itu. Salah satu kriteria atau ciri penting untuk menjadi pemimpin ialah berakhlak mulia dan ada nilai-nilai hidup yang baik. Nilai-nilai sedemikian menjadi asas penting dalam kehidupan sekali gus menjadi pendinding kepada segala perbuatan tidak baik.

Pandangan hidup mereka terhadap perkara-perkara yang mempunyai unsur rasuah, pe­nyalahgunaan kuasa dan penyelewengan perlu betul. Apatah lagi dalam keadaan sekarang, hampir setiap hari mereka ‘dihidangkan’ dengan contoh-contoh yang berlaku di depan mata. Mereka yang disyaki terlibat ra­suah ditahan dengan wang tunai berjuta-juta ringgit, barang kemas, kereta mewah dan barangan perhiasan diri yang tiada tolok banding mahalnya. Sebahagiannya sudah didakwa di mahkamah dan didapati bersalah.

Bagaimanapun jika pada pe­ringkat sekolah dan universiti lagi persepsi terhadap rasuah sudah silap dan ‘terseleweng’ dan disifatkan sebagai satu perkara biasa dan bukan satu dosa, ada sesuatu yang tidak kena dan perlu diperbetulkan. Golongan terpelajar ini perlu masuk ke dalam masyarakat sebagai golongan yang boleh menjadi contoh yang baik kepada orang lain. Kalaupun tidak kepada generasi terdahulu, setidak-tidaknya kepada generasi sebaya atau yang lebih muda daripada mereka. Golongan mahasiswa perlu menjadi suri teladan sebagai kumpulan pembenci rasuah, salah guna kuasa serta penyelewengan.

Dalam hal ini apa yang dilakukan oleh SPRM patut diberi pujian. Selain hebat menggempur perbuatan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku dalam sektor awam dan korporat serta menangkap ikan bilis dan ikan jerung spe­sies pemakan rasuah, agensi itu juga tidak lari daripada tanggungjawab mendidik dan menye­darkan masyarakat pada semua peringkat termasuk golongan pelajar dan mahasiswa. Antaranya memperkasakan Sekretariat Pencegahan Rasuah (SPR) IPT, suatu inisiatif khusus yang ditubuhkan dengan kerjasama IPTA dan IPTS bagi meningkatkan kesedaran tentang rasuah, salah guna kuasa dan penyelewe­ngan kepada mahasiswa selain me­lancarkan Gerakan Revolusi Antirasuah (Gerah) serta Ikrar Bebas Rasuah (IBR).

Setiap mahasiswa sudah tentu mahu menjadi seorang graduan holistik sejurus setelah me­ninggalkan menara pengajian ma­sing-masing dan memasuki dunia pekerjaan. Mereka bukan sekadar cemerlang dalam pelajaran tetapi turut mempu­nyai nilai-nilai murni dalam diri seperti jujur, bersih akhlak dan kukuh integriti termasuk membenci rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Sesuai sebagai kumpulan yang sentiasa kaya dengan pelbagai idealisme murni seperti membanteras penyelewengan dan memperjuangkan nasib golongan miskin dan tertindas serta kesaksamaan, mahasiswa mesti menjadi pendukung dan benteng hadapan dalam revolusi memerangi rasuah sebagai musuh nombor satu negara.