Dalam tempoh itu, perkembangan-perkembangan politik tanah air masih di jari jemari penulis semasa mengetuk keyboard laptop meninjau portal-portal berita sama ada menerusi media kerajaan dan pembangkang.

Di sana, petang tanggal 19 Mac lalu, penulis dipelawa menyertai dialog bersembang santai sambil menghirup teh tarik dengan sekumpulan pelajar Malaysia - kira-kira 50 orang - yang menuntut di beberapa buah universiti di Manchester dan juga London pada hari berikutnya. Perbincangan tertumpu kepada tajuk Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14): Populariti Calon lawan Kekuatan Parti.

Ya, perasaan pertama boleh penulis katakan agak teruja memenuhi jemputan itu apabila dimaklumkan kesanggupan penuntut-penuntut Malaysia ber­kenaan meredah suhu antara 5 darjah Celsius sehingga 8 darjah Celsius menaiki tube untuk hadir di Restoran Nur Malaysia dimiliki rakyat kita di Manchester.

Perkara kedua, kesemua mereka ini adalah sebahagian pelajar Malaysia luar negara yang akan mengundi buat kali pertama secara pos dalam PRU-14.

Benar, penulis terasa ‘muda’ apabila duduk bersama mereka yang rata-rata dalam lingkungan awal 20-an. Walaupun usia muda, kematangan bersoal jawab, berhujah dan menyuarakan aspirasi melangkau usia sebenar mereka.

Maka, ‘tahan telingalah’ dan perlu menjadi pendengar yang baik. Berhujah mesti berfakta. Tak mengapalah perbezaan pandangan pun. Apatah lagi mengkritik dan dikritik bukan bererti ‘berhaluan kiri’.

Ramai yang tidak begitu maklum dengan pengaruh yang boleh dijana oleh anak-anak muda kita di luar negara. Hakikatnya, mereka mempunyai peranan besar dan sudut pandang mereka tidak boleh diremehkan.

Di United Kingdom sahaja, jumlah pelajar Malaysia ketika ini mencecah angka 18,000 orang.

Para pelajar di luar negara se­ring dikaitkan dengan political apathy iaitu keengganan untuk berperanan aktif dalam proses dan diskusi politik tanah air. Mereka disangka golongan yang ‘acuh tidak acuh’, lantas sering diabaikan sebagai suatu kumpulan pengundi yang berbeza daripada golongan pengundi lain.

Namun, penulis sendiri teruja dengan apa yang dilalui dalam dialog bersama mereka. Mereka adalah generasi muda yang mempunyai kepedulian politik amat tinggi. Program transformasi kerajaan (Malaysia) berada dalam radar pemikiran mereka.

Ini hakikat yang tidak boleh dinafikan penulis dalam dialog yang kalau dijumlahkan tempoh jam, keseluruhannya kira-kira empat jam dengan disambung sembang santai lagi selepas solat Isyak.

Mereka mempunyai idealisme dan semangat patriotisme yang membara. Sayangkan dan cintakan negara. Bak kata pepatah ‘hujan emas di negeri orang hujan batu di negeri sendiri. Lebih baik negeri sendiri’.

Walaupun berada jauh dari tanah air, namun jangan sesekali pandang rendah atau underestimate dengan pengetahuan dan keprihatinan mereka pada perkembangan politik semasa tanah air. Di samping pembacaan yang begitu meluas, mereka juga sering dikunjungi dan bersua muka bersama pimpinan negara mahupun pihak pembangkang.

Nama pun anak muda, sesuai dengan tahap keintelektualan mereka, semestinya begitu kritikal apabila mengupas sesuatu isu bukan sahaja menyentuh soal pilihan raya yang hangat diperkatakan, namun isu-isu sejagat seperti isu kemanusiaan di Palestin, Syria kebangkitan golongan berhaluan kanan di Eropah dan Barat, kekacauan di Amerika Latin dan juga Afrika.

Penulis menjangka peningkatan yang ketara dalam kadar keluar mengundi dalam kalangan anak muda luar negara bagi PRU kali ini atas beberapa faktor.

Pertamanya, berbeza dengan pilihan raya-pilihan raya sebelum ini, para pelajar dari segenap pelosok United Kingdom tidak lagi perlu untuk merantau jauh ke Pejabat Suruhanjaya Tinggi Malaysia di London untuk me­ngundi. Bagi PRU-14 ini, kesemua mereka dibenarkan mengundi secara pos sahaja. Tidak wujud lagi kesukaran yang menghalang ramai untuk mengundi seperti tahun-tahun lalu.

Faktor keduanya, pengamatan penulis bersama mereka melihat perkembangan di luar negara yang terjadi mutakhir ini telah mencetuskan tahap ingin tahu politik yang tinggi dalam kala­ngan penuntut Malaysia di luar negara berbanding sebelum ini. Ini akan menentukan bagaimana corak pengundian mereka pada PRU-14.

Lihat sahaja corak pengundian pengundi muda Britain dalam pilihan raya mengejut (snap election) United Kingdom tahun lalu.

Pilihan raya tersebut menca­tatkan kadar keluar mengundi dalam kalangan orang muda pa­ling tinggi sepanjang 25 tahun, menurut analisis Ipsos dan MORI. Ia memperlihatkan peningkatan 20 mata peratusan kadar keluar mengundi orang muda berban­ding pilihan raya sebelumnya.

Orang muda yang merasai ke­san besar Brexit telah keluar dan memihak kepada Parti Buruh berbanding Parti Konservatif yang dilihat sebagai pro-Brexit. Mereka juga dipengaruhi oleh faktor jenama dan idealisme Je­remy Corbyn yang sangat popular dalam kalangan orang muda.

Akhirnya Parti Konservatif yang mendahului dengan 20 mata peratusan di hadapan Parti Buruh, telah kehilangan 13 kerusi Parlimen dan gagal membentuk majoriti mudah selepas pilihan raya 2017 berakhir. Peranan orang muda ini telah meningkatkan undi popular Parti Buruh kepada 41 peratus, suatu rekod penca­paian yang hanya dikecapi era Tony Blair pada 2001.

Pengalaman penulis sepanjang bersantai dengan para pelajar Malaysia berkenaan yang antaranya mengambil jurusan profesional - perundangan, ekonomi, perubatan, perakaunan, kejuruteraan dan farmasi - mendapati watak, sikap dan pemerhatian politik anak muda Malaysia di luar negara juga sudah berubah. Keterikatan kepada parti longgar. Mereka melihat sesuatu isu menerusi lensa yang berbeza berbanding kelompok pengundi yang lain.

Penulis telah bertanyakan penuntut yang hadir, sebagai pe­ngundi kali pertama, apa agaknya kemahuan mereka? “Kami prihatin pasal calon muda, sejauh mana parti-parti bertanding berani tampilkan calon yang wataknya adalah calon rakyat.

Jauhkanlah politik adu domba dan character assasination. Perlu ada pembelaan serius terhadap anak muda melalui manisfesto. Ingin melihat PRU-14 paling bersih, walaupun agak mustahil, itu kata mereka.

Pengalaman hidup di luar negara juga mempengaruhi corak pengundian anak-anak muda atas beberapa sebab. Misalannya, di negara-negara Eropah, perjua­ngan alam sekitar yang menjadi agenda arus perdana sudah tentunya akan memberi bearing kepada cara bagaimana anak muda melihat isu-isu nasional yang lain di Malaysia.

Dasar subsidi minyak dan harga kereta yang murah barangkali disambut baik oleh naratif tempatan, tetapi mereka di luar negara turut melihat isu ini dari sudut kesannya kepada alam sekitar. Lensa politik orang muda di luar negara juga lebih bersifat nasio­nal dan sebahagian besar mereka akan membentuk golongan atas pagar.

Perasaan sentimental dengan parti ataupun fokus berlebihan kepada isu-isu tempatan tidak begitu memberi kesan kepada anak muda Malaysia di luar negara. Ini kerana keterpisahan (disconnect) dalam sudut geografinya. Lagipun pengaruh media sosial juga menyebabkan paradigma politik mereka lebih bersifat nasional.

Di akhir program, penulis sempat menitipkan nasihat buat mereka: “Next round is your turn. Selain keluarga, pastikan negara turut berbangga dengan bakat dan kebolehan kalian bila pulang ke tanah air nanti.”

Pastinya PRU-14 ini setiap undi penuntut-penuntut Malaysia di luar tetap ‘mahal’ harganya.

DATUK MOHD. NIZAR SUDIN ialah penganalisis politik merangkap Pensyarah Kanan Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia (UPM).