Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Magis Kenny bukan sihir

 2

KEPAKARANNYA sebagai seorang ilusionis bertaraf antarabangsa setanding dengan nama-nama besar dunia seperti David Coopperfield, Criss Angel, Kevin James, David Blaine, Peter Marvey dan sebagainya.

Lelaki ini yang pernah diberi jolokan ‘Kenny Marvey’ merupakan Presiden Pertubuhan Ahli Silap Mata Malaysia, ahli silap mata bertaraf dunia dan kini seorang ilusionis nombor satu di Malaysia.

Peringkat antarabangsa pula, namanya sebaris dengan Victor Voitko, ahli silap mata yang mencipta alat ‘Levitation 360 darjah’. Jika ahli silap mata terkenal dunia, Victor Voitko boleh mengapungkan pembantunya ke atas dan ke bawah atau melalui celah kangkang serta berpusing-pusing sehingga 360 darjah, beliau juga boleh berbuat begitu. Malah beliau telah persembahkan aksi ini secara langsung (live telecast) di televisyen.

Kenny juga tidak ada masalah memisahkan kakinya yang terpotong sambil mengayuh basikal berpusing-pusing sebelum bercantum semula dengan badannya, tanpa cacat cela seperti yang dipersembahkan oleh pakar silap mata dunia, Peter Marvey.

Malah aksi ini telah dipertontonkan di khalayak ramai di Festival Belia Putrajaya 2013. Aksi memukau ini dilakukan di pentas terbuka yang di kelilingi orang ramai dan membuktikan bahawa tiada sebarang alat sokongan yang digunakan. Oleh itu tidak menghairankan jika beliau diberi jolokan sebagai ‘Peter Marvey Malaysia’ walaupun beliau dikenali dalam dunia silap mata dengan nama timang-timangannya, Kenny Yas.

Ada orang mengaitkan kejadian ajaib begini angkara ilmu sihir seperti yang selalu dikaitkan dengan ahli silap mata dalam kalangan orang Melayu. Secara jujur Kenny mengakui persembahan magisnya tidak memerlukan sebarang elemen sihir, kuasa syaitan, ilmu hitam atau kebolehan kebatinan seperti mana dianggap orang ramai.

Elemen silap mata atau magik sebenarnya bukan sekadar ilusi malah memerlukan titik fokus penghayatan yang tinggi untuk mewujudkan persembahan yang luar biasa dan unik.

Magis Kenny sebenarnya cuma imaginasi, tidak lebih daripada itu. Itulah kehebatan silap mata yang dimiliki Kenny yang tidak asing lagi di persada industri silap mata dunia.

“Illuision is imagination! (ilusi itu imaginasi!) beritahunya. Kenny yang pada mulanya berjinak-jinak dalam dunia silap mata sejak lebih 20 puluh tahun lalu hanya sebagai hobi namun kini beliau menjadikannya sebagai satu kerjaya, dan kini mengorak langkah membina sebuah empayar magik di negara ini.

Justeru, beliau telah berjaya membida untuk menganjurkan Asian Magic Association Convention di Malaysia yang mana acara magik terbesar di benua Asia ini buat pertama kalinya berjaya dibawa ke negara ini pada 2014. Sebagai persatuan magis terbesar di rantau Asia ini, AMA memiliki keahlian seramai 7,000 ahli silap mata dari 20 negara yang menghimpunkan lebih 1,000 ahli magik di Kuala Lumpur. Ini adalah kejayaan terbesar negara kita dalam penganjuran arena magik dunia.

Jenis pertunjukan

Bagi Kenny, silap mata adalah satu seni yang unik. Seni ini tidak mudah dikuasai tanpa disiplin dan kesungguhan serta minat yang mendalam untuk mempelajarinya.Menurut Kenny lagi, secara umumnya, terdapat beberapa jenis pertunjukan silap mata yang sering dipersembahkannya sama ada di dalam atau di luar negara iaitu silap mata close up sejenis persembahan jarak dekat lebih menjurus kepada teknik menghilangkan sesuatu objek di depan mata penonton.

Kedua, silap mata jenis ‘komedi’ bertujuan untuk menghiburkan para penonton, dan ketiga jenis silap mata stage magic selalunya menggunakan pentas khas dan memerlukan bantuan prop yang besar untuk menyerlahkan persembahan.

“Akhir sekali adalah silap mata ‘illusion’ yang merupakan induk kepada pertunjukan magik. Setiap trik dan aksi seorang ilusionis selalunya akan melakukan persembahan silap mata yang memang di luar jangkaan akal manusia biasa.

“Saya berpandangan bukan mudah untuk mencapai tahap seorang ilusionis. Ia memerlukan ketekunan dan kesungguhan yang berterusan,” ungkap Kenny yang gemar menggunakan alunan muzik sebagai latar persembahan magiknya.

Bagi keempat-empat kategori persembahan silap mata, Kenny mengakui beliau lebih selesa memilih untuk melakukan persembahan illusion magic.

“Sesungguhnya, menjadi seorang illusionis mempunyai kelas tersendiri dalam industri magik. Banyak nama tersohor dalam bidang ini semuanya berjaya sebagai ahli silap mata ilusi. Ramai yang menganggap ilusionis merupakan kemuncak bidang ini,” katanya.

Menurutnya, hanya setelah seseorang pemain silap mata itu telah stabil kedudukannya dalam dunia magik barulah menjurus ke arah seorang ilusionis.

“Justeru, sama ada saya atau ahli silap mata yang lain sudah tentunya mengimpikan menjadi seorang ilusionis bertaraf dunia,” akui Kenny.

Sebagai seorang ‘ilusionis’ tiada yang mustahil bagi Kenny. Beliau berkebolehan melakukan apa saja teknik silap mata dengan sempurna dalam setiap persembahan yang diadakan.

Permainan spontan seperti menghilangkan daun terup, membuat daun terup terapung atau memunculkan seekor burung merpati putih pada awal sesuatu persembahan amat mudah bagi Kenny. Itu hanya mainan Kenny belaka.

Tiga tahun lalu, beliau telah dijemput menjadi juri di Pertandingan Magik Antarabangsa 2014 di Shenzen, China. Andai kata seorang anak Melayu sudah diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai juri apa lagi di negara China yang memang handal dalam industri silap mata, memang negara berbangga dengan Kenny.

Mengimbau kembali penglibatannya dalam dunia silap mata, Kenny menceritakan dia tidak pernah terfikir untuk menjadikan bidang magik ini sebagai kerjaya dan rezeki.

Setelah berkelana dalam tempoh masa yang lama, kini Kenny pulang ke tanah air bagi memartabatkan industri silap mata negara ini. Oleh itu tidak hairanlah, jika nama Kenny boleh dikatakan kurang dikenali di negara ini terutama dalam kalangan peminat silap mata tanah air.

Menyedari persembahan silap mata yang kian berkembang di negara-negara maju sememangnya menjadi inspirasi kepada Kenny untuk mengetengahkan bidang ini di tanah air sendiri.

“Agak rugi jika kita tidak mengetengahkan bidang ini di negara sendiri. Bayangkan, di negara-negara Barat dan maju, magik adalah sebuah industri yang besar. Boleh dikatakan, negara-negara ini mempunyai institusi khusus untuk mempelajari seni persembahan silap mata.

“Maka tidak hairanlah melalui penerimaan dan sokongan padu ini banyak nama besar di peringkat dunia berjaya dilahirkan. Tetapi, situasi di Malaysia agak berbeza sekali. Secara umumnya saya dapati dunia magik kita kurang dikenali ataupun dianggap magik picisan semata-mata.

“Padahal ramai yang tidak sedar bahawa bidang ini sangat besar dan mempunyai nilai ekonomi yang tinggi,” ujarnya yang kini bergiat aktif melatih anak-anak muda sebagai pelapis silap mata.

Sebagai langkah memartabatkan seni magik di negara ini beliau selaku Presiden Pertubuhan Ahli Silap Mata Malaysia merancang untuk mengadakan sebanyak mungkin acara magik bertaraf antarabangsa di Malaysia.

Menurut Kenny, beliau ingin merealisasikan cita-citanya untuk menjadikan dunia magik satu industri di Malaysia.

Baru-baru ini, pada 23 Mei lalu, Kenny dijemput mengadakan persembahan di Hotel Shangri La Kuala Lumpur yang dihadiri oleh Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Nazri Abdul Aziz serta beberapa kenamaan lain dan mereka sangat terhibur dengan aksi magik klasik dan ilusi oleh Kenny.

Beliau memunculkan beberapa ekor burung yang kemudian dihilangkan lalu bertukar menjadi seorang gadis cantik dan diteruskan dengan aksi potong badan yang membuatkan ribuan penonton terpukau dengan aksi bertaraf dunia umpama Peter Harvey.

“Dulu main silap mata ni sekadar hobi saja. Tetapi setelah sering menerima jemputan di luar negara telah mengubah landskap pemikiran saya bahawa bidang ini bukan sekadar seni persembahan semata-mata sebaliknya merupakan salah satu prospek kerjaya yang sangat menguntungkan.

“Berbanding negara kita, China, Jepun, Korea Selatan, Eropah, Amerika memang sudah lama memiliki ramai ahli silap mata hebat yang dipupuk sejak dari kanak-kanak lagi. Mereka ada sekolah silap mata bagi melahirkan bakat-bakat baru,” katanya mengakhiri perbualan.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain