Kisah itu berkisar mengenai umurnya yang muda iaitu 39 tahun. Apa yang menarik ialah isterinya, Brigitte Trogneux berusia 63 tahun. Bukan itu saja, isterinya itu adalah bekas gurunya. Ditambah pula anak gurunya, iaitu anak tirinya adalah bekas rakan kelasnya. Macron hairan mengapa dunia tertarik mengenai kisah peribadinya. Katanya walaupun keluarganya adalah luar biasa tetapi semua orang mempunyai kisah-kisah keluarga yang tersendiri.

Tetapi Perancis seringkali mempunyai kisah-kisah cinta yang pelbagai. Malah presiden sekarang, Francoise Hollande juga mempunyai kisah peribadi yang tidak kurang menarik. Begitu juga dengan presiden sebelumnya, Nicolas Sakorzy dan Presiden Francois Mitterand sebelum.

Perancis yang terkenal dengan Menara Eiffel dan kota Paris mempunyai reputasi sebagai negara mewarisi suatu tamadun yang dikatakan memulakan konsep romantika dalam hubungan antara lelaki dan perempuan.

Macron mengalahkan Marine Le Pen dalam satu persaingan sengit. Walaupun Macron adalah calon pilihan tetapi kemungkinan Le Pen menang adalah besar kerana dunia Barat sedang menghadapi gelombang populis yang menyaksikan kejayaan Brexit di Britain dan Donald Trump di Amerika Syarikat.

Ketika menghadapi pusingan awal Pilihan Raya Presiden, tidak ada calon yang kuat untuk melawan Le Pen. Ini termasuklah Macron. Calon-calon parti utama iaitu dari Parti Republikan dan Parti Sosialis tidak cukup kuat untuk melawan Le Pen. Macron yang merupakan bekas menteri dalam Kabinet Hollande dianggap kurang berpengalaman, dengan partinya Le Marche terlalu baharu untuk memilik tapak politik.

Tetapi Le Pen mewakili Front National yang merupakan parti kanan jauh yang bukan saja mahu menarik keluar daripada Perancis tetapi mempunyai sikap bukan saja menentang pelarian dan imigran tetapi bersifat anti-Islam. Dalam ancaman budaya kanan ini, penentang-penentang Le Pen bersatu memberi sokongan kepada Macron dan ini membawanya kepada kejayaannya.

Tetapi kemenangan Macron sebagai presiden baru hanyalah satu tapak kejayaan kerana selepas itu, cabaran yang dihadapinya adalah banyak, pelbagai dan berperingkat-peringkat. Salah satu faktor ialah Le Pen, walaupun kalah tetapi berjaya meraih 35 peratus undi, yang bermakna bilangan penyokongnya adalah besar dengan jentera partinya berada di seluruh Perancis dan menguasai banyak majlis-majlis perbandaran.


Gelombang

Cabaran yang dihadapi oleh Macron bukan saja dari pihak kanan, tetapi juga kiri. Perancis mempunyai tradisi kiri yang mempunyai asal-usul daripada Revolusi Perancis, melahirkan revolusioner, radikal, sosialis dan komunis. Suatu tradisi yang bukan saja panjang tetapi mendalam. Tradisi ini bukan saja dari segi aktivisme kesatuan sekerja tetapi juga aliran falsafah dan kecenderungan intelektual negara itu.

Macron adalah lulusan bidang falsafah tetapi kerjayanya adalah perbankan pelaburan. Beliau pernah menjadi anggota Parti Sosialis, penasihat ekonomi pada presiden dan merupakan Menteri Industri dan Perniagaan Digital sebelum menubuhkan parti sendiri. Beliau dianggap sebagai aliran tengah dan bukannya kiri. Pendekatan ekonominya adalah liberal.

Pihak kiri Perancis dalam pusingan pertama pilihan raya itu berpecah untuk mengundi Jean-Luc Michelon dan beberapa calon lain. Cabaran yang dihadapi Macron nanti ialah bagaimana beliau hendak melakukan reformasi pasaran pekerjaan yang pasti bertembung dengan kesatuan sekerja Perancis yang terkenal kuat.

Antara perkara yang menarik rakyat Perancis mengundi Macron, terutamanya dalam pusingan pertama Pilihan Raya Presiden ialah janjinya untuk mengatasi masalah pengangguran anak-anak muda. Caranya ialah dengan membuka pasaran pekerjaan yang tertutup oleh kesatuan sekerja.

Untuk melaksanakan reformasi ini, Macron pula perlu mendapat sokongan Parlimen National Assembly. Di sinilah satu cabaran besar yang akan dihadapi oleh Macron. Pilihan Raya Parlimen akan diadakan dan bilangan wakil yang akan menyokongnya menentukan kuasa presiden itu. Presiden Perancis mempunyai kuasa yang banyak berbanding presiden-presiden lain di Eropah. Tetapi kuasa itu perlukan sokongan ahli parlimen. Parlimen akan di dominasi oleh parti utama iaitu Parti Republikan dan Parti Sosialis.

Front National juga memilik sejumlah ahli. Tetapi parti Macron, Le March sukar meraih banyak kerusi kerana ia merupakan parti yang tidak memiliki jentera sedia ada. Maka Macron perlu sokongan daripada parti-parti lain. Katakanlah Marcon berjaya membuka pasaran pekerjaan itu, beliau masih perlu merancakkan ekonomi. Dalam hal ini beliau bercadang mengukuhkan Eurozone yang dianggotai sebahagian daripada Kesatuan Eropah (EU). Banyak negara EU pula yang turut menghadapi masalah pengangguran orang muda.

Tanggungjawab Macron bukan saja Perancis tetapi juga EU, Eropah dan Barat. Ini kerana Perancis dan Jerman merupakan anggota penting dalam EU, iaitu lebih-lebih lagi dengan ketiadaan Britain kelak. Maka Macron perlu bekerjasama dengan Canselor Angela Merkel bagi melakukan perubahan dalam EU supaya gelombang populis yang anti-EU dapat dipatahkan.

Sebagai orang muda dan ketiadaan pengalaman, banyak pihak berasa bimbang bahawa Macron akan dibayangi oleh Merkel. Begitu juga di peringkat dunia Barat. Merkel dianggap ketua kerana Donald Trump dilihat sebagai presiden yang lebih memandang ke dalam Amerika melalui slogannya America First.

Di peringkat antarabangsa, kedudukan Perancis adalah penting. Ia adalah anggota tetap Majlis Keselamatan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) dan merupakan negara penting dalam Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO). Maka Macron juga akan turut terlibat dalam usaha mendapatkan penyelesaian perang saudara Syria. Walaupun Macron datang daripada parti baharu yang bukan arus perdana tetapi beliau mewakili elit politik Perancis yang dicorakkan oleh Parti Republikan dan Parti Sosialis. Seperti kata Le Pen, Perancis terlepas peluang untuk melakukan sesuatu yang berbeza.

Namun Macron tetap orang baharu dan ia menunjukkan kesediaan rakyat Perancis untuk mencuba sesuatu yang berbeza. Cuma dasar-dasar Le Pen adalah keterlaluan kanan. Aliran ekstrem kanan Perancis sentiasa ada dalam politik negara itu.

Seperti mana bendera Perancis yang berwarna merah, putih dan biru, ia mewakili aliran kiri dan kanan dengan tengah-tengah yang diterima oleh kebanyakan rakyat akan memerintah. Politik adalah pelaksanaan kuasa dan demokrasi merupakan usaha rakyat untuk mendapatkan negara terbaik. Ada masa ia berjaya, dalam banyak masa ia gagal.