KEGIATAN Macau Scam adalah jenayah penipuan melibatkan kewangan paling terkini dan semakin berleluasa di negara kita. Ia melibatkan panggilan telefon daripada individu yang menyamar sebagai pegawai daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), mahkamah, Bank Negara Malaysia (BNM) atau agensi-agensi lain.
Sindiket ini menghubungi mangsa dengan membuat cerita seolah-olah individu tersebut terlibat dalam kes seperti pengubahan wang haram, langgar lari, hutang kad kredit dan sebagainya. Kemudiannya mereka akan meminta mangsa memindahkan sejumlah wang ke dalam akaun bank mereka bagi menyelesaikan kes atau masalah yang dihadapi.
Terdapat pelbagai jenis Macau Scam seperti penipuan pinjaman bank, kad kredit, penculikan dan tebusan, pembebasan tahanan, saman PDRM dan mahkamah, hadiah cabutan bertuah, pakej pelancongan serta macam-macam lagi. Penulis sendiri dan beberapa orang rakan pernah mendapat panggilan telefon daripada ‘mahkamah’ yang mendakwa penulis mempunyai tunggakan saman ribuan ringgit.
Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) PDRM pada 2017 sebanyak 4,500 kes dengan kerugian sebanyak RM113.11 juta yang melibatkan penipuan melalui panggilan telefon dan khidmat pesanan ringkas (SMS).
Pada 20 Ogos lepas, akhbar ini melaporkan polis Selangor berjaya menumpaskan tiga sindiket Macau Scam yang menyasarkan warganegara China dan tempatan sebagai mangsa. Ketua Polis Selangor, Datuk Mazlan Mansor menyatakan sebanyak 329 kes dicatatkan di Selangor yang melibatkan RM16.6 juta dari Januari hingga Jun 2018. Menurut beliau sindiket tersebut memilih mangsa secara rawak dan menggunakan modus operandi dengan menyamar sebagai pegawai polis, kastam atau BNM.
Terkini, di Batu Pahat, Johor, seorang pesara guru kerugian RM317,500 selepas dihubungi seorang lelaki yang mengaku dari mahkamah. Mangsa dikatakan mempunyai tunggakan kad kredit dan pada masa sama kad tersebut digunakan untuk tujuan jenayah.
Pada 5 Ogos lalu, seorang Pensyarah Kanan dari sebuah universiti tempatan kerugian sebanyak RM301,700 selepas diperdaya dan tiga orang suspek berjaya diberkas selepas mangsa membuat laporan polis. Salah seorang suspek menyamar sebagai pegawai polis, kastam dan pegawai bank bagi memperdaya mangsa. Kes tersebut adalah salah satu daripada 212 kes di Pulau Pinang yang melibatkan RM4.5 juta.
Pada 22 Jun 2018 seorang akauntan kerugian RM68,000 di Cameron Highlands yang mana sindiket mendakwa mangsa mempunyai sejumlah hutang tertunggak kad kredit. Di Kedah pula, PDRM berjaya membongkar kegiatan sindiket ini yang menggunakan surat rasmi polis dalam operasi mereka. Mangsa dimaklumkan terlibat dalam kes dadah serta menggelapkan wang berjumlah RM2.3 juta.
Di Kuantan, seorang pesara kerajaan rugi RM85,000 pada Julai lepas apabila dikatakan mempunyai tunggakan caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selepas dihubungi oleh seorang lelaki dari Unit Semakan Mahkamah Tinggi Alor Setar. Di Kuala Lumpur seorang pesara jurutera kerugian kira-kira RM559,975 apabila dihubungi oleh seorang individu dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak pada bulan April dan mendakwa mangsa mempunyai tunggakan pinjaman peribadi dengan Bank Hong Leong sebanyak RM50,000.
Kes-kes tersebut adalah sebahagian daripada kes yang dilaporkan dan tidak mustahil kita, ahli keluarga, rakan-rakan atau sesiapa sahaja boleh menjadi mangsa sindiket ini. Yang menghairankan kes ini dilaporkan di dalam media secara besar-besaran tetapi hampir setiap bulan ada sahaja laporan berkenaan kes ini disiarkan seolah-olah kes-kes terdahulu tidak memberi sebarang kesan atau pengajaran kepada orang lain.
Jika difikirkan, mustahil mangsa-mangsa tidak sedar dengan kes penipuan seperti ini kerana mereka bukan tidak menonton televisyen, membaca surat khabar atau melayari berita-berita mengenainya di media sosial.
Mangsa-mangsa pula bukannya tidak berpelajaran tinggi, mereka juga terdiri dalam kalangan profesional yang sudah tentu lebih arif dan sedar tentang penipuan ini, tetapi mereka pula yang mudah terpedaya dengan tidak membuat sebarang selidik dan siasatan terlebih dahulu terus mempercayainya.
Antara langkah yang boleh diambil sebagai pencegahan ialah dengan tidak mudah terpedaya jika dihubungi individu yang mendakwa dari mana-mana organisasi. Jika menerima panggilan dan merasa was-was dengan perkara itu, adalah lebih baik terus menghubungi organisasi berkenaan bagi menyemak status kes yang dinyatakan. Kita juga dinasihatkan agar membuat laporan polis jika tertipu dan diperdaya.
Cuba elakkan diri menjadi mangsa seterusnya dengan menghentikan serta merta panggilan telefon yang mencurigakan. Namun, tidak mustahil jika selepas ini ada cara lain yang akan digunakan kerana semakin berkembangnya teknologi semakin kreatifnya sindiket ini mempelbagaikan teknik untuk menjerat dan menipu mangsa. Janganlah kita menjadi mangsa mereka seterusnya!
PENULIS ialah Pensyarah Kanan/Koordinator Institut Pendidikan NEO (iNED), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Pasir Gudang, Johor.
BISIK-BISIK AWANG SELAMAT - 14 FEBRUARI 2019