Ayat mudahnya, left grouplah. Ada ketikanya abang hensem ni pendek akal juga sampai nak tunggu hingga pukul 1 pagi atau 2 pagi baru cuba nak left group. Eh! Ter­sedar balik abang hensem, ini bukannya pasal lari tengah malam atau dini harilah.

Bila tinggalkan WhatsApp group, mesej left group masih tertera di skrin telefon bimbit. Left group ini bukan apa, kadang-kala geram campur sakit hati juga dengan kawan-kawan gemar sangat post video yang bukan-bukan. Terutama sekali yang berkait dengan gelagat politik. Kau nak sokong parti itu ke, parti ini ke, itu kau punya pasal. Asalkan jangan jebak aku cukup (kasar pula abang hensem kali ini ya).

Tapi kau buat juga, seolah-olah parti politik itu kau yang punya. Kau sorang-sorang yang perasan lebih, sampaikan WhatsApp group itu seolah-olah b*p*k kau punya (kasarlah lagi pula abang hensem).

Itu belum lagi paparan video menyayat hati. Misalnya libatkan kes dera budak, dera bayi. Berderau darah abang hensemlah kalau tonton video macam itu.

Abang hensem bukanlah kera sumbang. Kena jagalah peri laku bila berada dalam WhatsApp group. Aplikasi WhatsApp ini macam dunia sebenar juga. Kena jaga tingkah laku, ‘jahit’ sikit mulut tu jangan nak ‘sembur’ semacam saja. Macamlah kau sorang saja yang betul, yang tulus mulus.

Eh! Macam mana ya nak keluar dari WhatsApp group cara diam-diam? Kalau ikut seorang kawan abang hensem, keluar saja. Lantaklah orang nak bising pun setakat dua tiga hari sahaja. Tapi abang hensem masih berhemah. Sebenarnya ada beberapa cara nak tinggalkan percakapan di group atau left group tanpa diketahui oleh anggota lain.

Antaranya, pertama sekali beritahu rakan ‘sejenayah’ anda tentang niat anda hendak keluar group diam-diam.

Langkah seterusnya, sediakan satu artikel atau resipi atau apa-apa ayat perkongsian yang panjangnya 1,000 patah perkataan (lebih kurang setengah muka ruang kolum rencana akhbar saiz broadsheet). Lagi panjang lagi bagus. Bagi artikel atau ayat yang panjang itu kepada rakan ‘sejenayah’.

Beritahu rakan ‘sejenayah’ untuk spam group dengan artikel panjang atau ayat-ayat panjang tu sejurus selepas anda left group. Pastikan rakan ‘sejenayah’ anda setuju. Selesaikah?

Tapi, ada cara lain juga. Antaranya yang harus dilakukan oleh pengguna Android:

1. Buka WhatsApp di Android anda.

2. Pilih WhatsApp group yang ingin anda tinggalkan

3. Di jendela group itu, ada tiga titik di bahagian atas layar, ketuklah ikon tersebut.

4. Menu dari ikon akan keluar dan anda hanya perlu memilih mute.

5. Pilih jangka waktu terlama satu tahun dan klik kotak checklist show notification. Anda juga boleh sekali gus memadam seluruh chat dengan memilih Clear Chat setelah anda menekan More di menu tersebut.

6. Klik OK lalu notification dari group itu akan menghilang dalam setahun.

Ha! Untuk keluar dari WhatsApp group di iPhone atau iPad pula, inilah caranya:

1. Buka aplikasi WhatsApp.

2. Pastikan anda telah menemukan percakapan yang ingin anda tinggalkan.

3. Geser ke kiri WhatsApp group yang ingin anda tinggalkan sehingga anda akan menemukan titik tiga dan menu yang tersembunyi.

4. Jika menu sudah tampak, anda boleh memilih Mute dan Clear Chat pada tempat yang sama.

5. Jangan lupa untuk memilih masa yang paling lama, yakni setahun.

Apa pun, sebelum masuk sesuatu WhatsApp group, seelok-eloknya fikir lah dulu, okey ke tidak. Ada adabnya, macam datang rumah oranglah.

Kepada admin group, sebelum masukkan orang ke dalam group maklumkan dulu, nyatakan matlamat kumpulan. Kalau setuju baru add.

Kalau nak left group, sapa lah dahulu ahli group sebelum keluar. Juga beritahulah sebab sedikit kenapa nak keluar. Nak berdalih pun korang punya hal, jangan tiba-tiba main left group. Takut ada hati yang terasa apabila leave tanpa memberi sebab. Kalau ada ahli group post sesuatu isu, beri respon sebelum kita nak post atau mahu tukar kepada isu lain. Beri support kepada mereka yang tengah discuss dan janganlah pula diam seribu bahasa. Nyatakan tidak setuju kalau isu yang dibangkitkan itu tidak baik.

Elakkan mengomel atau main terjah keterlaluan. Alu-alukan orang baharu atau mereka yang baru sahaja di add masuk dalam group. Jangan pula hantar banyak gambar atau video yang tidak perlu. Nanti penuh kad memori kawan dalam smartphone.

Dan yang paling penting, kalau korang berada dalam group ala-ala reunion, semolek-moleknya elakkan percampuran lelaki dan wanita. Jagalah batas pergaulan sebagai muslim dan muslimah kerana alam maya ini sebenarnya adalah realiti.

Abang hensem tak jadilah nak left group. Tadi saja gebang lebih. Hehehe!