Menurut Leftenan Kolonel Dr. Rusyainie Ramli, hal ini berikutan semakin ramai penjual dalam talian begitu ghairah mempromosikan produk makanan sebagai penawar penyakit tanpa memikirkan kesan sampingan yang mungkin akan dihadapi pengguna.

“Kononnya dengan hanya mengambil produk mereka termasuk dalam bentuk jus yang dilabelkan berciri Islamik, pelbagai penyakit serius termasuk kanser, angin ahmar atau strok, kencing manis, darah tinggi, masalah jantung, dan buah pinggang mampu disembuhkan. Lebih mengejutkan apabila ada mendakwa pesakit HIV juga boleh dirawat.

“Tidak cukup dengan itu, pengguna media sosial dijanjikan dengan jamu kesihatan mujarab bagi mengubati pelbagai penyakit berkaitan wanita termasuk ‘membersihkan dalaman’. Dengan cara pemasaran yang licik, mereka berjaya menarik ramai pelanggan untuk menelan segala macam pil, menjanjikan boleh kurus dalam masa singkat, menjadi lebih tinggi, putih dan cantik. Malah ada yang melampaui batasan dengan taktik iklan berbaur lucah,” katanya.

Melihat situasi yang semakin membimbangkan ini, Dr. Rusyainie aktif ‘berperang’ maklumat dengan penjual produk terbabit di laman sosial Facebooknya sendiri.

Beliau merupakan salah seorang daripada sekumpulan profesional perubatan yang menubuhkan sebuah pertubuhan bukan kerajaan yang dikenali sebagai Medical Mythbusters Malaysia (M3) yang bertujuan memberi informasi tepat dan benar kepada pengguna, di samping menangkis dan menjawab maklumat palsu berhubung bidang perubatan.

Meskipun sering menerima reaksi negatif, kecaman dan pandangan sinis peniaga dalam talian terutamanya di Facebook, yang mungkin berasa terancam dengan pendedahannya, namun beliau tidak sesekali berhenti untuk memberi kesedaran kepada pengguna.

“Sebagai pengamal perubatan berdaftar, saya merasakan ia kini menjadi tanggungjawab saya untuk menyedarkan pengguna, apatah lagi situasi sekarang semakin membimbangkan. Ini kerana perkembangan teknologi internet membolehkan peniaga dengan rakus mempromosikan, seterusnya mengedar produk mereka menggunakan medium yang amat mudah diakses ramai orang.

“Kebanyakan pendekatan yang digunakan penjual lebih kepada bermain dengan emosi pengguna terutama mereka yang mahukan penyembuhan segera dengan jalan yang mudah dan cepat. Golongan yang obses dengan kecantikan tidak terkecuali menjadi sasaran peniaga dalam talian,” katanya.

Jelasnya, taktik yang digunakan mereka ialah memaparkan pelbagai ‘testimoni’ yang kononnya akan berlaku perubahan positif sekiranya pengguna mengamalkan pengambilan produk mereka.

“Pengguna yang melihat testimoni itu pula mudah terpedaya, padahal testimoni yang dipaparkan boleh dipertikaikan kebenarannya.

“Penjual juga bijak bermain kata-kata dalam memberikan harapan ‘palsu’ namun, matlamat mereka hanya ingin menjual, melaris dan mengaut keuntungan semata-mata.

“Selepas produk itu berjaya dijual, kesan sampingan yang dialami pengguna selepas itu tidak lagi menjadi urusan mereka,” katanya.