Pakar kesusasteraan bandi­ngan, Pusat Pengajian Ilmu Kemanusiaan, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Datuk Seri Md. Salleh Yaapar pula membangkitkan tentang bahasa Melayu yang belum benar-benar didaulatkan.

Pelopor Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM), Dr. Mahadi J. Murat menyebut tentang potensi industri kreatif menjadi platform menyebarkan warisan budaya dan nilai-nilai murni sementara Pengarah Muzium Warisan Melayu, Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr. Muhammad Pauzi Abdul Latiff menceritakan nasib senibina tradisional pelbagai bangsa di Malaysia.

Pengerusi Institut Seni Melayu Melaka (ISMMA), Tan Sri Dr. Abdul Latiff Abu Bakar menjelaskan mengenai pentingnya adat budaya Melayu tanpa meminggirkan warisan budaya bangsa lain.

Dekan Fakulti Kreatif Teknologi dan Warisan Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof. Madya Ahamad Tarmizi Azizan pula menyentuh tentang dasar dan polisi berkaitan warisan budaya di peringkat universiti sementara Setiausaha Agung Majlis ­Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad mengupas ­aspek budaya dalam bidang ekonomi.

Namun, di sebalik semua yang dibentangkan itu, peserta kongres dapat merasakan sejauh mana aspek warisan budaya telah terpinggir bukan sahaja dalam konteks kehidupan individu dan keluarga zaman sekarang malahan amalan industri dan di pe­ringkat nasional. Melihat daripada per­spektif peserta, pegangan warisan budaya jelas semakin luntur bukan sahaja dalam kala­ngan orang Melayu dan pribumi malah kaum Cina, India dan lain-lain kaum di Malaysia.

Ramai anak muda Melayu dan bukan Melayu kini dilihat ­mengutamakan budaya ‘mat salih’, orang kulit hitam Amerika Syarikat, Arab dan lain-lain ­umpama sudah tiada identiti bangsa sendiri. Bahasa Inggeris menjadi bahasa pengantar pilihan sementara carutan dan caci maki umpama norma harian, satu cerminan jelas kepada situasi dalam Parlimen Malaysia sejak 2008.

Bertalu-talu kemarahan dan persoalan dilontarkan kenapa bahasa Melayu yang termasuk kedudukannya dalam Perlembagaan Negara masih tidak menjadi lingua franca wajib dalam pelbagai aspek kehidupan sama ada urusan rasmi, dokumentasi, pendidikan, ekonomi dan lain-lain.

Bukan sahaja bahasa Melayu, bahasa ibunda kaum lain juga semakin terpinggir susulan ibu bapa moden lebih mengutamakan bahasa Inggeris sehinggakan wujud satu ­generasi yang tidak fasih bahasa Melayu, Mandarin mahupun Tamil.

Nilai budaya dalam industri kreatif negara pula menjadi persoalan hangat bagi sebilangan pelajar universiti yang menyertai kongres tersebut kerana mereka melihat keuntungan kini menjadi pendorong utama menghasilkan karya seni, bukannya berkarya bagi menerapkan nilai seni ­warisan bangsa.

“Filem dan drama tempatan sekarang tidak mengutamakan nilai budaya atau nilai murni dan lebih banyak mengambil adaptasi daripada novel-novel dengan jalan cerita tidak berkualiti,” kata seorang pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beberapa orang penggiat seni turut membangkitkan kesukaran mereka meneruskan karya seni seperti seni teater, wayang kulit dan opera cina bukan sahaja di­sebabkan isu peruntukan dan ­ruang berkarya malah tiada minat dalam kalangan golongan muda.

Peserta kongres turut mende­ngar bagaimana senibina tradi­sional tewas kepada kapitalis swasta, ciri unik yang menjadi identiti bangsa dan negara di mata pelancong asing tetapi dilihat ­tiada nilai oleh orang tempatan.

Rekaan mahupun nama bangunan tempatan tidak lagi ­menunjukkan ciri warisan mana-mana kaum sebaliknya lebih kepada reka bentuk moden Barat dan menggunakan nama Inggeris.

Warisan nenek moyang Melayu mahupun bukan Melayu kini rata-ratanya sekadar untuk memenuhi protokol majlis yang tidak diterap dalam kehidupan harian.

Kongres Budaya 2017 mendedahkan masalah ini bukan sahaja dalam kalangan orang Melayu malah melibatkan hakisan ­warisan budaya, gaya hidup, bahasa, pakaian, binaan tradi­sional malah identiti semua kaum di Malaysia. Hasil pertembungan minda intelek terbaik negara, satu resolusi merumuskan 11 perkara utama bagi mengembalikan warisan nilai budaya tinggi kepada rakyat Malaysia telah di­sampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan bakal dipersembahkan kepada Majlis Raja-Raja Melayu.

Selaku Pengerusi Kongres Budaya 2017, Rais mengharapkan tujuh perkara dasar yang dibentangkan anggota kongres dan 11 resolusi tersebut bukan sahaja disokong rakyat malah disusuli kesungguhan politik pemimpin negara serta mendapat perkenan dan dinaungi Raja-raja Melayu.

“Nilai budaya yang tinggi perlu diletakkan sebagai perkara utama dan harus wujud dalam setiap institusi sesuai dengan aspirasi TN50.

“Begitu juga penekanan kepada kedudukan bahasa Melayu, industri kreatif, senibina tradisional, adat budaya pelbagai kaum, dasar budaya di sekolah dan universiti serta budaya ekonomi,” tegasnya.

Panel dan peserta kongres sepakat memohon campur ta­ngan kepimpinan tertinggi negara khususnya raja-raja ­Melayu dalam memastikan pewaris bangsa tidak hilang identiti ­warisan budaya mereka atas alasan mengikut peredaran masa.

Jelas sekali tugas penerapan warisan budaya bangsa malah budaya ketimuran yang penuh adab sopan dan budi bahasa tidak boleh dibiarkan sepenuhnya kepada ibu bapa dan keluarga semata-mata.

Perlu ada campur tangan dan tindakan tegas khususnya daripada Raja-raja Melayu sendiri selaku pelindung nasib dan budaya bangsa Malaysia daripada tekanan dan hakisan budaya asing kepada generasi pewaris negara.

Luntur budaya maka hilanglah identiti bangsa dan negara. ­Generasi yang tiada identiti akan hilang jati diri dan dengan mudah menggadaikan semua yang dipertahankan nenek moyang mereka kepada musuh negara.