Hakikatnya, dalam politik apa pun boleh berlaku. Musuh pada hari ini boleh menjadi kawan dan penyokong pada hari muka. Kea­daan manis menjadi asam atau keadaan pahit menjadi manis.

Dalam politik, alamnya terus berputar. Isu sentiasa timbul tenggelam mengikut keadaan dan kerenah manusia.

Apabila kawan bertukar sifat daripada yang dijangkakan, kita hanya senyum kambing berkata: “Apa nak buat”. Bak kata orang kampung, “Sudah terlangsung beragih.” Keris pusaka sudah terlepas ke tangan orang.

Pengalaman seperti ini wajar ditelan seperti manisan sahaja walaupun ditelan itu sebenarnya hempedu yang pahit. Di samping itu ada pula manusia yang sama-sama berjuang tetapi tidak henti-henti dengki dan curiga atas kebolehan orang lain. Ini pun ditelan.

Allahyarham Datuk Onn Jaafar, Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, Tun Dr. Mahathir Mohamad, Tun Musa Hitam, Allahyarham Tun Ghafar Baba dan beberapa pemimpin tertinggi kerajaan, lebih-lebih lagilah me­ngalami derita politik seperti ini. Tapi mereka dalam situasi tertentu berdaya tahan (survive).

Boleh dikatakan setiap pe­mimpin atau ahli politik mengalami sebanyak sedikit peristiwa ‘kawan-jadi-lawan’ dan ‘lawan-jadi-kawan’.

Cuma bagi mereka yang lebih terkenal seperti peringkat Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri dan Menteri Besar, hal ini lebih menonjol - lantaran kedudukan yang tersohor dan disebarkan pula menjadi omo­ngan media.

Apabila fenomena kawan-jadi-lawan ini dihalusi, akan terserlah beberapa realiti yang layak dijadikan bahan falsafah hidup.

Dalam politik, sebenarnya daya tahan amat penting sekalipun fenomena kawan jadi lawan berterusan diamalkan. Tahan kalah, tahan kena kritik dan tahan sabar. Telinga pun tak boleh terlalu nipis, apabila ditegur mudah melenting.

Reaksi terhadap cakap orang atau penyampaian ‘orang kita’ perlu ditapis dan dihalusi sebelum diterjemahkan kepada tindak balas. Hubaya tentang laporan yang lunak dan cantik atau hanya memuji-muji pemimpin.

Oleh sebab sesuatu kesilapan yang dilakukan dalam politik, bia­sanya amat besar risikonya, seseorang yang memegang jawatan tinggi perlu cermat dan hati-hati dalam serba-serbi tindakan, termasuk ke­nyataan kepada media atau panda­ngan masyarakat seluruhnya kepada perwatakan dan dirinya. Ada belaka padahnya yang buruk.

Ada juga kata-kata bijaksana yang merumuskan bahawa hidup berpolitik semacam tinggal di dalam rumah kaca. Harus sentiasa berjaga-jaga apa yang harus dibuat atau yang harus tidak dibuat kerana nanti orang akan nampak. Atau orang akan mudah bertindak balas.

Lalu dikatakan penghuni rumah kaca jangan buang batu, nanti apabila orang membaling batu, rumah itu akan pecah dan musnah.

Malangnya, tidak semua ahli politik yang berkebolehan bersikap positif dan hati-hati sentiasa. Apabila terlupa sedikit, ada sahaja mudarat yang sampai.

Ada kalanya keaiban meletus pada saat-saat yang tidak di­sangka-sangka. Ada kalanya je­rat negatif mengena apabila seseorang itu sudah meletak jawatan atau lama bersara.

Politik, bagi Tumpang lalu, tetap berupa alat dan kaedah mencapai kebaikan bagi orang ramai. Bukan untuk keburukan seperti agenda peribadi yang lahap kuasa, lahap kekayaan.

Yang memimpin mesti mempunyai pemikiran dan idea yang jelas untuk mencapai matlamat rakyat yang dipimpin. Seseorang pemimpin mesti merasai degupan jantung dan naluri rakyat yang dipimpin kerana hakikatnya pemimpin adalah juga kuda lejang atau soldadu perjuangan rakyat.

Dalam pada itu juga mesti ada lapisan pemimpin yang berada di tahap tinggi yang pemikiran mereka bernas, jitu dan mudah difahami dan diikuti.

Cuma masalahnya, pimpinan lapisan asas itu memerlukan sokongan mengikut suara ramai. Di sinilah sukarnya atau arahnya kerana suara ramai itu tidak semestinya selalu logik.

Barang siapa yang menganggap suara majoriti melalui pe­ngaruh politik wang itu logik adalah silap besar kerana hal itu tidak meninggalkan pengaruh dan kesan yang berkekalan.

Dan akhirnya pemimpin yang dipilih secara imbuhan juga akan mengamalkan politik imbuhan sampai mati kariernya atau sehingga rakyat menolak pimpinannya.

Hakikat sebenarnya, setiap pemimpin yang berkedudukan ada belaka golongan ‘orang kita’nya, yakni mereka yang menjadi penyokong dan peminat. Kumpulan yang lebih kecil daripada lingkaran ‘orang kita’ ialah orang keliling yang menasihati atau yang mempengaruhi seseorang pemimpin.

Sementara ‘orang kita’ agak kurang mencorakkan sikap seseorang pemimpin, orang keli­ling biasanya berupaya sama ada menjerumuskan pemimpin itu atau menegakkannya dengan la­poran dan berita yang objektif.

Bagaimanapun, kebanyakan orang keliling ini hanya memberi puji-pujian yang sering ‘memabukkan’ pemimpin. Orang keliling yang baik ialah mereka yang berterus terang menyampaikan sesuatu.

Cuma setakat mana pemimpin itu berupaya menapis apa yang diitonjolkan oleh orang kita dan orang keliling, lantas menjadi cabaran hidupnya. Menyisihkan yang bersih dari yang kotor akan hanya ditentukan oleh keupayaan pemikiran yang objektif dan sihat.

Dunia politik - sering dilanda ge­lombang penuh badai.