Rumusan daripada kajian JKKPIR mengenai perkhidmatan MyREN adalah kelajuan maksi­mumnya hanya 1 Gigabit sesaat (Gbps) untuk sambungan ke seluruh dunia melalui jaringan Trans-Eurasia Information Network (TEIN).

Ini adalah satu angka yang kecil berbanding negara-negara Asia lain yang maju dalam bidang penyelidikan dan pendidikan iaitu antara 2.5 hingga 10 Gbps. Sebagai contoh, Hong Kong, Jepun, Korea dan Singapura masing-masing berkelajuan 10 Gbps sementara India pula berkelajuan 2.5 Gbps.

Selain itu, kelajuan maksimum didapati hanya 2 Gbps untuk kebanyakan universiti penyelidikan yang mana ia akan dikongsi pula antara pensyarah, pelajar dan makmal-makmal pendidikan serta penyelidikan di dalam universiti.

Kelajuan purata jalur lebar bagi setiap pelajar untuk pelajar-pelajar institusi pe­ngajian tinggi negara adalah hanya 0.05 Megabait sesaat (Mbps) atau 5 Kilobit sesaat (Kbps).

Kelajuan purata ini jauh lebih rendah daripada kelajuan yang boleh dicapai dengan perkhidmatan jalur lebar yang biasanya dicapai di tempat-tempat kediaman atau melalui pengendali perkhidmatan telefon mudah alih.

Realitinya, rangkaian penyelidikan dan pendidikan memerlukan infrastruktur berasingan daripada infrastruktur internet awam kerana permintaan dan cara penggunaannya yang unik.

Sehubungan itu, MyREN dijenamakan semula sebagai MyREN-X dengan kelajuan 100 Gbps dan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak Rabu lalu di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Kamel Mohamad berkata, infrastruktur itu bukan sahaja dapat memacu lagi bidang penyelidikan tetapi juga melonjakkan produktiviti bidang akademik di negara ini.

Menerusi MyREN-X katanya, bidang penyelidikan akan mendapat manfaat yang paling besar dengan penyambungan kepada lebih 50 juta penyelidik dan 8,000 institusi pengajian tinggi di peringkat antarabangsa.

“Seperti yang diperkatakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi sebelum ini, menerusi MyREN-X ini, kelajuan dan capaian bukan lagi satu halangan. Kita boleh bayangkan betapa banyak ilmu dan kepakaran yang dapat kita manfaatkan menerusi MyREN-X ini,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di pejabatnya di Presint 5, Putrajaya baru-baru ini.

Jelas beliau, pelancaran infrastruktur itu juga adalah selaras dengan pengumuman kementerian sebelum ini bahawa 2017 adalah tahun penyelidikan translasional (translational research).

Beliau memberitahu, MyREN-X turut membuka peluang kepada penyelidik tempatan untuk terlibat dalam penyelidikan translasional di negara lain.

“Ada juga pengalaman penyelidikan di sini seperti berkaitan penyakit tropikal (yang boleh diketengahkan ke peringkat antarabangsa). Sebab itu, saya kata suasana pembelajaran dan pendidikan kini telah berubah,” katanya.

Menurutnya, golongan penuntut akan menikmati kelajuan jalur lebar yang tinggi menerusi MyREN-X menyebabkan produktiviti mereka pada masa mening­kat terutama dalam soal kelancaran urusan akademik.

Pada masa sama, kata beliau, infrastruktur itu menggalakkan pelajar untuk menjadi seorang pencipta kepada lebih banyak kandungan kreatif secara online.

Kata Kamel, MyREN-X juga dapat membawa penjimatan sehingga RM22 juta atau 15 peratus daripada perbelanjaan kerajaan.

“Apa yang berlaku, sebelum ini terdapat kontrak yang banyak berkaitan jalur lebar. Pihak universiti pun ada langgan jalur lebar tambahan agar capaian mereka lebih laju manakala kementerian juga memberinya secara berpusat (centralize).

“Secara keseluruhan kalau dicampur-campur, kosnya sebanyak RM145 juta setahun. Dengan MyREN-X, anggaran awal adalah RM123 juta iaitu RM22 juta penjimatan,” katanya.

Katanya, bukan sahaja MyREN-X menjimatkan tetapi juga menawarkan kelajuan jalur lebar yang tinggi.

Ditanya tentang soal keselamatan, Kamel berkata, MyREN-X memiliki tiga peringkat perlindungan keselamatan serta tertakluk kepada undang-undang antaranya berkaitan hak cipta, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan harta intelek.

Beliau menjelaskan, memandangkan infrastruktur itu bukan sebahagian daripada Internet komersial, MyREN-X tidak akan terkena tempias serangan siber.

Di peringkat aplikasi pula jelasnya, sistem MyREN-X akan mempunyai firewall sendiri dan mempunyai satu akaun ID pengguna yang unik.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, dengan kelajuan jalur lebar yang tinggi itu, pembelajaran penuntut di institusi pengajian tinggi akan mengalami perubahan pada masa depan.

“MyREN-X akan melonjak pelaksanaan platform pembelajaran dalam talian atau Massive Open Online Courses (MOOC), Jukebox, Sistem Purata Nilai Gred Keseluruhan Berintegrasi (iCGPA) dan Program Dua Universiti + Dua Industri (2u2i),” katanya.