Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Lonjak kecemerlangan Maritim Malaysia

LAKSAMANA DATUK ZULKIFLI ABU BAKAR
ZULKIFLI ABU BAKAR

MUKADIMAH
AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) sebagai agensi utama dalam menguatkuasakan undang-undang di zon maritim negara serta agensi peneraju dalam mengkoordinasikan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di laut telah menzahirkan banyak kejayaan membanggakan.

Dalam usia 12 tahun agensi itu menggalas amanah kerajaan dan rakyat, kadar jenayah di laut dan pelanggaran undang-undang oleh rakyat tempatan dan asing berjaya dikurangkan malah, prestasi Maritim Malaysia telah menjadi rujukan oleh agensi-agensi penguatkuasaan lain.

Di bawah teraju Ketua Pengarahnya yang baharu, LAKSAMANA DATUK ZULKIFLI ABU BAKAR, visi dan misi Maritim Malaysia akan terus dievolusikan selaras dengan dasar-dasar kerajaan seperti Transformasi Nasional 2050 (TN50) dan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS).

Bercakap kepada wartawan Utusan Malaysia, SOFIAN BAHAROM dan jurugambar ZAKI AMIRUDDIN di pejabatnya di Putrajaya, baru-baru ini, Zulkifli menyatakan hasrat untuk melakukan transformasi menyeluruh terhadap agensi tersebut terutama dalam tiga bidang iaitu pembangunan sumber manusia, pangkalan dan infrastruktur serta aset.

 

UTUSAN: Sebagai Ketua Pengarah Maritim Malaysia baharu, apakah aspirasi Datuk dalam membawa perubahan kepada agensi ini?

ZULKIFLI: Saya akan meneruskan obor kecemerlangan Maritim Malaysia selaras dengan Peta Strategik 2014-2040. Ini terutama dalam memandu Maritim Malaysia ke arah menjadikannya sebagai sebuah agensi penguatkuasaan maritim terbaik dunia.

Pada masa sama, menjadi tanggungjawab bagi saya untuk memperbaiki kelemahan-kelemahan yang wujud dalam agensi ini. Saya akan berusaha mempertingkatkan kecemerlangan yang diraih oleh Maritim Malaysia sebelum ini. Sehubungan itu, saya telah menggariskan tiga bidang yang perlu diberikan perhatian bagi proses transformasi iaitu pembangunan sumber manusia, pangkalan dan infrastruktur serta aset dan keupayaan operasi.

Bagaimana tumpuan terhadap pembangunan sumber manusia dapat melonjakkan peranan Maritim Malaysia sebagai sebuah agensi penguatkuasaan yang efisien?

Dari segi sumber manusia, saya melihat betapa pentingnya untuk menyediakan sebuah organisasi yang dapat memenuhi cabaran-cabaran mendatang. Oleh itu, kita akan memberi fokus kepada aspek pembangunan kerjaya anggota dan pegawai kita. Menerusi inisiatif seperti latihan, kita dapat mempertingkatkan keupayaan sedia ada mereka.

Selain itu, kita juga melihat kepentingan bagi agensi ini untuk melakukan audit tentang di mana hala tuju kita selepas ini. Daripada perspektif sumber manusia, kita hendak menekankan aspek disiplin dan integriti dalam kalangan warga kita. Kita serius dalam audit ini. Saya merancang untuk membuat aktiviti seperti kerjasama dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) agar kita menjadi sebuah agensi yang sentiasa memenuhi hasrat kerajaan.

Dalam soal aset, apakah perkembangan terkini?

Seperti diketahui ramai, kebanyakan aset yang kita ada sudah lama tetapi, kita kini telah memasuki era untuk menerima aset-aset baharu seperti kapal ronda pesisir pantai KM Pekan dan KM Arau yang dihadiahkan oleh kerajaan Jepun selain kapal peronda generasi baharu yang dilengkapi teknologi pesawat tanpa pemandu (UAV).

Kehadiran kapal-kapal ini akan melonjakkan peranan agensi ini ke tahap organisasi berprestasi tinggi, selain itu, kita dalam proses membina tiga buah kapal baharu jenis kapal peronda luar pesisir (OPV) yang dijangka siap dalam dua hingga tiga tahun lagi.

Kesemua aset ini secara langsung akan melonjakkan agensi ini ke tahap lebih tinggi yang mana, kita boleh menjalankan tugas-tugas penguatkuasaan maritim yang lebih berkesan bukan sahaja di perairan wilayah yang terhad sejauh 12 batu nautika malah menjangkau Zon Ekonomi Eksklusif sehingga 200 batu nautika.

Dengan penerimaan aset-aset baharu, bagaimana dengan ­kesediaan sumber manusia Maritim Malaysia?

Dengan penerimaan kapal-kapal ini, kita telah memasuki era yang mana semua pihak perlu mengadaptasi konsep operasi baharu. Kita faham tiada penambahan jawatan bagi agensi ini walaupun dengan penerimaan kapal-kapal baharu ini, jadi kita perlu melaksanakan transformasi sendiri dan menggunakan kreativiti.

Transformasi ini adalah termasuk menjalankan 'phase out' terhadap kapal-kapal yang lama supaya kru kapal lama dapat meneruskan perkhidmatan mereka di kapal-kapal baharu. Kapal-kapal Maritim Malaysia ada yang berusia sehingga 50 tahun dan kita perlu menjalankan penyelenggaraan terhadapnya. Lebih lama kapal itu, lebih tinggi kos penyelenggaraannya.

Peruntukan kerajaan kepada kita untuk penyelenggaraan adalah kira-kira RM200 juta setahun dan kapal-kapal lama ini memerlukan belanja yang tinggi untuk diselenggara iaitu dalam lingkungan RM5 juta hingga RM12 juta setiap kapal bergantung kepada saiznya.

Setelah 12 tahun ditubuhkan, bagaimana Datuk melihat ­peranan Maritim Malaysia dalam kedudukan geostrategik negara ketika ini?

Peranan Maritim Malaysia sentiasa penting jika ia melibatkan aspek kedudukan geopolitik negara seperti tuntutan bertindih dan sebagainya. Sebab itulah kita menjenamakan agensi ini kepada coast guard yang mana ia telah diluluskan Kabinet sebelum ini.

Jadi, kenapa kita menggunakan nama coast guard ini? Ini adalah bagi perkara-perkara melibatkan tuntutan bertindih oleh negara-negara terutama di Laut Cina Selatan seperti di Beting Patinggi Ali dan Kepulauan Spratly.

Jika kita meletakkan pasukan tentera di kawasan-kawasan bertindih itu, pastinya akan mencetuskan ketegangan antara pihak-pihak berkepentingan. Tetapi, untuk menurunkan ­ketegangan itu, kita meletakkan pihak coast guard yang memainkan peranan sebagai agensi penguat kuasa dengan pendekatan soft power.

Apa seruan Datuk kepada warga Maritim Malaysia?

Walaupun perjawatan kita ini kecil iaitu kira-kira 5,000 orang, kita perlu menunjukkan kepada masyarakat bahawa Maritim Malaysia dapat terus mencetuskan kecemerlangan dalam apa juga keadaan.

Kita memerlukan warga yang mempunyai material sebagai seorang anggota coast guard yang cemerlang, mahir dalam tugasan dan memberi impak dalam melonjakkan imej serta keupayaan Maritim Malaysia.

Saya mahu warga agensi ini memberikan 100 peratus dalam tugasan. Warga Maritim Malaysia perlu memberi keutamaan kepada perkhidmatan mereka kerana ini adalah amanah daripada kerajaan dan rakyat.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain