Bangkai pesawat berkenaan adalah jenis Douglas Super DC-3 milik tentera Amerika Syarikat yang terhempas pada 1973 di pantai Solhemasandur, Iceland.

Walaupun tiada kisah besar di sebalik pesawat berkenaan kerana semua anak kapal dan penumpang terselamat tetapi tetap dikunjungi pelancong kerana telah menjadi latar dalam satu babak filem itu yang telah mencecah kutipan AS$57 juta (RM233.7 juta).

Kerana penangan filem Bollywood, lokasi biasa boleh menarik minat pelancong termasuk dari Malaysia yang sebelum ini kurang mengetahui mengenai ‘pulau ais’ tersebut.

Termasuk dalam kalangan pelancong berkenaan ialah penulis, Abah Zino atau nama sebenar Mohd. Zin Omar, 61, dan isterinya, Nor Aisah Jamil, 59, serta dua lagi rakan Facebook yang telah memilih negara yang hanya mempunyai 320,000 penduduk untuk bercuti.

Meskipun pada mulanya percutian mungkin kerana tarikan daripada babak filem berkenaan tetapi setelah berada di negara itu, Abah Zino mengakui cakap-cakap Iceland sebagai antara pulau tercantik di dunia dengan tarikan kolam pancutan air panas dan aurora ternyata benar.

Tempoh melancong dari 24 November sehingga 8 Disember tahun lalu diabadikan bekas Pengarah Jabatan Perlaksanaan Projek dan Penyelenggaraan Bangunan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam sebuah buku travelog bergambar yang turut menceritakan pengalaman berkunjung ke United Kingdom.

Selama seminggu di Iceland, Abah Zino telah melawat beberapa lokasi lain yang terdapat dalam filem itu termasuk lagun glasier Jokusarlon dengan tarikan bongkah ais terapung di dalam tasik serta tasik beku Stokksness yang membolehkan pelancong merasai sendiri pengalaman berjalan di atas air.

Beliau juga tidak melepaskan peluang untuk melawat pantai Reynisfjara, salah satu lokasi dipaparkan dalam filem berkenaan iaitu pantai dengan pasir hitam. Cuma perlu berhati-hati kerana menurut Abah Zino, beliau difahamkan pernah berlaku fenomena ombak besar muncul secara tiba-tiba dan menghanyutkan pengunjung pantai yang terlambat berundur.

Banyak pengalaman berharga yang diperoleh Abah Zino sepanjang pengembaraan dengan kos sebanyak RM8,000 seorang di negara itu. Antaranya sikap amanah penduduk dan perkhidmatan kelas pertama yang ditawarkan kepada pelancong.

Diharapkan selepas ini, lokasi penggambaran filem di negara kita dipopularkan. Buat permulaan tak perlu menarik pelancong luar seperti mempromosikan Langkawi, Jalan Masjid India dan Kampung Baru yang menjadi lokasi filem Bollywood, Don.

Cukuplah pelancong tempatan melawat tempat-tempat yang menjadi lokasi filem, Hantu Kak Limah dan Munafik 2 yang meletup, baru-baru ini.

Difahamkan antara lokasi penggambaran Munafik 2 adalah Istana Kellie, Perak dan Tasik Chini, Pahang manakala Hantu Kak Limah di Taiping, Perak.

Lokasi biasa boleh menjadi popular jika pandai mempromosinya.

Orang ramai yang berminat membeli buku ini boleh menghubungi Abah Zino di talian 013-3479089.