Setelah memikirkan dengan serius selama lima minit dan 21 saat, saya terpaksa melupakan hasrat untuk menonton perlawanan akhir antara Liverpool FC menentang Cardiff City yang berlangsung tengah malam ini.

Hutang kad kredit semasa ke Stadium Anfield pada Disember lalu pun masih belum usai, maka ia bukan suatu kecemerlangan fiskal jika mahu menambah hutang lagi sekarang. Memadailah menonton di rumah sahaja malam ini. Esok kerja jadi raikannya di pejabat saja.

Perlawanan ini bagi sesetengah pihak, adalah kurang berprestij berbanding Piala FA dan Piala Juara-Juara Eropah. Tetapi kebanyakan yang bercakap sedemikian adalah penyokong kelab-kelab yang telah ditewaskan oleh Liverpool dan Cardiff. Apa salah sudah kalah diam sajalah?

Satu lagi tarikan bagi bukan penyokong Liverpool dan Cardiff ini memiliki penaja Malaysia dan nama negara kita tertera pada jersi pemain. Lagi sekali penyokong Liverpool di Malaysia terpaksa menghadapi ejekan lawan bahawa ia menentang entiti Malaysia, selepas Queens Park Rangers (QPR) yang tertera pada baju mereka nama Malaysia begitu besar (dan Airlines kecil). Aston Villa adalah satu lagi pasukan yang ditaja entiti Malaysia iaitu Genting Berhad.

Penyokong Liverpool di Malaysia tidak ambil kisah ejekan penyokong lawan. Tidak timbul isu patriotik kerana kewujudan entiti korporat Malaysia pada jersi kelab Inggeris itu pun bermatlamatkan komersial.

Dan kita berbangga nama Malaysia dikenali oleh kira-kira 40 juta penonton Liga Perdana Inggeris. Lagipun, kebanyakan penyokong Liverpool adalah penyokong tegar pasukan masing-masing dalam Piala Malaysia, selain sentiasa menyorak skuad Harimau. Perlawanan akhir malam ini adalah Liverpool menentang Cardiff, sebuah kelab dari Wales. Bukan dari Malaysia.

Persiapan

Memang menjadi impian setiap penyokong untuk menonton perlawanan kelab di stadium masing-masing. Sekali seumur hidup pun jadilah. Berdasarkan maklum balas daripada pembaca blog utusanlfc.blogspot.com mengenai cara persiapan untuk ke Stadium Anfield di Liverpool, berikut adalah panduan ringkas.

Pertama, kenal pasti perlawanan yang mahu ditonton di Anfield. Periksa laman web rasmi liverpoolfc.tv untuk menempah tiket. Anda perlu menjadi ahli antarabangsa kelab ini terlebih dulu untuk mendapat keutamaan. Atau mendapat bantuan teman yang berada di Liverpool untuk membeli tiket masuk.

Harga tiket perlawanan berbeza mengikut kelab yang dilawan. Lawan-lawan dikategorikan Top 6 iaitu Manchester City dan United, Chelsea, Tottenham, Everton dan Newcastle harganya boleh mencecah 55 pounds (RM275) dan tiket terendah ialah 44 pounds (RM220). Hanya setelah mengesahkan tiket stadium, barulah anda memilih syarikat penerbangan.

Seorang rakan penyokong tegar LFC, Ebi Azli Abdullah berkata, pilihan pertamanya adalah Malaysia Airlines (MAS) kerana ia terbang tanpa henti ke Heathrow. Suatu waktu dulu, MAS ada terbang ke Manchester iaitu hanya sejam berkereta ke Liverpool tetapi kini tiada lagi.

AirAsia X juga baru pada Januari lalu menghentikan penerbangan dari LCCT ke London.

Menurut Ebi, tiket-tiket murah selalunya boleh didapati ketika tempoh jualan murah yang selalunya akan diadakan setiap dua atau tiga bulan, dengan harga tiket pergi balik kelas ekonomi sekitar RM3,000 sehingga RM3,500 seorang.

Tiba di London, anda boleh menggunakan kereta api laju Virgin Trains (www.virgintrains.co.uk), selama dua jam 20 minit. Jika tarikh perlawanan sudah dikenal pasti, beli tiket pergi balik tren dengan segera untuk mendapatkan tambang rendah.

Tiba di Stesen Lime Street Liverpool, jika hendak ke Anfield, naik teksi sahaja. Jaraknya tidak jauh. Saya melihat sendiri ramai penyokong QPR dan Liverpool berjalan balik dari stadium menuju ke stesen kereta api. Jika mahu bermalam, ada pilihan hotel serendah 20 pounds (RM100) atau ke Hilton Hotel berharga 110 pounds (RM550) dan jika pergi berdua, kosnya menjadi RM225 untuk mengecap keselesaan.

Jangan risau mengenai makanan halal. Terdapat banyak restoran yang dikendalikan oleh orang Pakistan yang menyajikan masakan kari dan kebab.

Apabila selesai urusan bola, anda boleh melawat pelbagai tarikan pelancong di Albert’s Dock di tebing Sungai Mersey. Di situ terdapat muzium era hamba abdi dan penting sekali, muzium The Beatles.

Kos untuk ke Liverpool memang sangat tinggi. Tetapi penyokong Liverpool jangan bimbang jika tidak dapat menjejak kaki ke Anfield kerana ia tidak mengurangkan secubit pun jati diri Reds dalam diri mereka. Yang penting kita raikan Kapten Reds, Steven Gerrard yang akan menjulang Piala Carling malam ini.