Tapi bagi Siti dakwaan mendorong gadis lari itu adalah tanggapan. Susah nak buktikan. Kalau terus berhujah tentang benar atau tidak, sampai bila pun tak habis. Bagi Siti yang penting apakah motif lagu ini dihasilkan?

Kalau lagu ini tidak didakwa mendorong gadis lari dari rumah pun, ia memang hampas. Ia menjadi hampas kerana motif yang difahami tidak menjurus perkara yang baik. Kalau budak tadika baca lirik ini pun dia akan kata cerita tentang lelaki yang nak larikan anak dara orang.

Kalau nak kata, lirik ini susah difahami kerana abstrak sangat, itu pun tidak juga. Lirik ini lebih kepada prosa mengenai si mamat yang menghasut supaya gadis lari ikut dia. Kenyataan Malique dalam akhbar Kosmo! semalam tak masuk akal langsung kononnya lagu itu tentang bercuti bulan madu.

Malique kata bahawa dia dan Zizan yang menyanyikan lagu ini tidak diberi peluang membela diri dan ditindas akibat pengharaman lagu ini oleh RTM. Tak usah banyak cakaplah kalau lirik macam ini apa lagi yang dihujahkan? Janganlah anggap semua hal mesti diberi kebebasan seni.

Kepada Zizan, terima kasih kerana mengaku bahawa rakyat Malaysia tidak bodoh untuk lari dari rumah kerana dengar lagu itu. Maknanya lagu itu memang mengenai lari dari rumah, bukan pergi berbulan madu seperti kata Malique. Tapi Zizan, sekalipun rakyat Malaysia tidak bodoh terpengaruh dengan lagu, bukankah lebih baik kalau awak menyanyikan lagu yang membawa kebaikan. Sama ada lari atau tidak lari, itu mereka punya pasallah, tapi awak sebagai penyanyi apa tanggungjawab sosialnya?

SITI JARUM: Biasalah artis kita.