Insiden terbaru pada Jumaat lepas amat menyayat hati apabila tujuh kanak-kanak sekolah berusia antara 9 dan 12 tahun, mati lemas apabila dihanyutkan arus deras ketika lapan pelajar memancing di sebuah sungai di Bukit Beruntung, Rawang.

Tragedi seperti ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat mendalam kepada ahli keluarga serta rakan-rakan mangsa.

Mereka yang terselamat pula akan mengalami trauma yang berpanjangan dan besar kemungkinan dihantui rasa bersalah kerana gagal menyelamatkan rakan mereka.

Kita seharusnya mengucapkan tahniah dan berterima kasih kepada semua yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat, terutamanya anggota bomba yang bertungkus-lumus mencari kanak-kanak yang terkorban itu sehingga mayat yang terakhir berjaya ditemui.

Tragedi ini sepatutnya menjadi iktibar dan saya menyeru semua pihak yang berkepentingan supaya memberi penekanan terhadap aspek keselamatan pelajar bagi memastikan kes lemas melibatkan golongan ini tidak berulang.

Kematian akibat lemas sebenarnya sering berlaku ketika musim cuti sekolah kerana air mempunyai daya tarikan semula jadi, terutamanya kepada kanak-kanak.

Sehubungan itu, ibu bapa, guru dan pihak berkuasa tempatan perlu lebih prihatin dengan isu ini manakala agensi berkaitan perlu mengambil langkah-langkah proaktif untuk mencegah lebih banyak kes lemas daripada berlaku.

Pelajar juga perlu memberi keutamaan kepada aspek keselamatan mereka apabila menyertai aktiviti luar, terutamanya yang melibatkan air.

Mereka juga harus faham tahap kemampuan masing-masing dan tidak sewenang-wenangnya terjun ke dalam air untuk menyelamatkan rakan atau ahli keluarga yang menghadapi masalah.

Dilaporkan kira-kira 300 kanak-kanak mati lemas setiap tahun di seluruh negara iaitu sebab kedua ter­tinggi kematian golongan tersebut. Separuh daripada kes lemas itu berlaku apabila kanak-kanak tersebut cuba menyelamatkan mangsa lain.

Antara usaha yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah ialah menganjurkan kempen kesedaran mengenai bahaya lemas serta menggalakkan pelajar menyertai renang sebagai salah satu aktiviti sukan.

Pihak sekolah bersama-sama Persatuan Ibu Bapa dan Guru perlu menerangkan kepada pelajar mengenai kes lemas supaya mereka faham bahaya yang menanti apabila bermain dengan air atau melakukan sebarang aktiviti berhampiran longkang, sungai, tasik atau pantai.

Ibu bapa juga boleh menghantar anak mereka ke kelas renang, supaya mereka mampu menyelamatkan diri apabila terjatuh ke dalam sungai, kolam renang, tasik atau kolam takungan.

Pihak berkuasa tempatan perlu meletakkan lebih ba­nyak papan tanda yang jelas mengenai risiko lemas di su­ngai, kolam, air terjun dan kawasan berair yang lain.

Majlis Keselamatan Aktiviti Air (WASC) di bawah Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga boleh memainkan peranan yang penting dalam hal ini.

Pelan tindakan WASC, yang kini berada di tahap akhir, perlu diluluskan dan dilaksanakan untuk menggerakkan seluruh agensi dan anggota masyarakat bagi mencegah berlakunya lebih banyak kes lemas.

Sebagai ahli WASC yang ditubuhkan pada Mei tahun lepas, saya yakin pelan tindakan tersebut mampu mengu­rangkan jumlah kes lemas di negara ini sama ada di laut, kolam, bekas lombong, sungai, air terjun dan kolam renang di hotel.

WASC ditubuhkan bagi menyelaraskan aktiviti, kempen dan latihan yang berkaitan keselamatan air oleh agensi-agensi berkaitan, sektor swasta dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi mengurangkan kejadian lemas di kawasan perairan dan mengurangkan kecuaian, sikap tidak prihatin dan kegagalan untuk mematuhi peraturan dan amaran serta papan tanda keselamatan.

Jika tidak ditangani dengan baik, kes lemas mungkin akan terus meningkat kerana rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat menunjukkan peningkatan kes daripada 323 kematian pada 2014 kepada 336 orang pada 2015.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohd Nor Ibrahim berkata, sepanjang 2015, 198 dilaporkan lemas di sungai atau di tali air, seramai 67 di pantai, 48 di tasik dan lombong, 20 di kawasan air terjun serta tiga lagi dalam pembetung.

Justeru, kita perlu merangka pelan komprehensif supaya kematian akibat lemas tidak meningkat setiap tahun seperti yang dicatatkan oleh kemalangan jalan raya.

Setiap nyawa itu amat berharga dan kita perlu melaksanakan apa sahaja yang boleh demi melindungi warga Malaysia daripada menjadi mangsa lemas, terutamanya pelajar sekolah.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah aktivis masyarakat.