Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Logo Kaji Selidik Pembaca

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?

Bagaimana anda tahu mengenai SEBENARNYA.MY?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

KEADAAN bas persiaran yang rosak di bahagian hadapan  setelah merempuh seekor gajah jantan yang munc 2
KEADAAN bas persiaran yang rosak di bahagian hadapan setelah merempuh seekor gajah jantan yang muncul secara tiba-tiba dari kawasan hutan untuk melintas jalan di Kilometer 59, Jalan Raya Timur Barat Gerik-Jeli, pada 23 Ogos lalu. – GAMBAR IHSAN PDRM

SAYA amat sedih setiap kali membaca berita mengenai kemalangan yang melibatkan haiwan liar terutamanya mamalia yang lemah seperti tapir. Gambar haiwan berlumuran darah yang terbaring di tepi jalan amat meruntun perasaan. Apatah lagi apabila mengetahui beberapa anggota haiwan tersebut telah dipotong oleh mereka yang tidak berperikemanusiaan untuk pelbagai tujuan termasuk perubatan tradisional dan amalan karut yang tidak dapat dibuktikan secara saintifik.

Sebagai seorang pencinta haiwan, saya amat gusar dengan masa depan hidupan liar. Justeru, saya menyeru pihak berkuasa supaya mengambil segera tindakan untuk menangani isu kemalangan dan penyeludupan yang memberi kesan ke atas populasi haiwan yang dilindungi seperti gajah, tapir dan tenggiling.

Dalam hal ini, saya menyokong penuh saranan Persatuan Pencinta Alam Malaysia supaya penekanan diberikan kepada perubahan sikap agar perdagangan dan kemalangan melibatkan haiwan liar dapat ditangani. Pendidikan dan kempen kesedaran untuk menggalakkan orang ramai menentang eksploitasi hidupan liar dan menghargai nyawa binatang perlu bergerak seiring dengan penguatkuasaan undang-undang.

Hidupan liar dan kenderaan memang tidak sepatutnya bertembung namun pembinaan jalan raya merentasi habitat mereka bermakna lebih banyak spesies akan dilanggar kenderaan. Kes terbaharu berlaku pada 25 Ogos lalu apabila sepasang tapir terbunuh dilanggar sebuah kereta apabila cuba menyeberang di Jalan Pintasan Gebeng, Kuantan.

Pada 23 Ogos, seekor gajah jantan berusia 10 tahun mati setelah dilanggar sebuah bas di Lebuhraya Gerik-Jeli. Insiden tersebut berlaku kira-kira dua bulan selepas seekor anak gajah terbunuh apabila dilanggar kereta di kawasan yang sama berhampiran Gerik.

Dilaporkan insiden-insiden itu berlaku walaupun terdapat banyak papan tanda amaran tentang kewujudan gajah liar di kawasan itu. Laluan khas juga dibina untuk membolehkan hidupan liar menyeberang di bawah lebuh raya berhampiran Taman Negeri Royal Belum tersebut.

Pada pandangan saya, lebih banyak lintasan haiwan perlu dibina di sepanjang lebuh raya dan jalan yang merentasi habitat haiwan atau laluan penghijrahan mereka.

Saya percaya bahawa Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mempunyai statistik mengenai habitat dan laluan hidupan liar yang boleh membantu pihak berkuasa membina lintasan haiwan di lokasi yang sesuai.

Laporan Perhilitan Perak me­nunjukkan terdapat lebih 60 ekor gajah berkeliaran berhampiran Lebuhraya Gerik-Jeli, mewakili kira-kira 70 peratus daripada populasi haiwan tersebut di Perak.

Jika kita tidak mengambil langkah untuk melindungi haiwan ini, sebilangan besar populasi gajah di Perak sudah pasti akan hilang akibat dilanggar kenderaan saban tahun.

Kita turut berhadapan masalah yang sama di sepanjang jalan dan lebuh raya lain, terutamanya Le­buhraya Pantai Timur di mana banyak haiwan liar terbunuh semasa cuba menyeberangi jalan.

Mungkin masih ramai di antara kita yang berpendapat kemalangan seperti itu tidak dapat dielakkan namun kita harus mengubah sikap agar lebih prihatin dan ­berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki keadaan.

Kita harus mencontohi penyelesaian yang diperkenalkan di sesetengah negara termasuk memasang pengesan hidupan liar yang akan menghidupkan lampu amaran apabila haiwan dikesan berhampiran jalan raya.

Pihak berkuasa juga perlu membina bonggol jalan (speed bump), memasang perangkap kelajuan dan mengecat warna terang di jalan-jalan berhampiran habitat hidupan liar untuk memberi amaran kepada pemandu dan mengurangkan kemalangan.

Dengan bantuan pakar teknologi maklumat (IT), pihak berkuasa juga boleh membangunkan aplikasi yang sesuai dengan sistem Waze dan Google Maps yang boleh memberi peringatan kepada pemandu mengenai kehadiran hidupan liar di kawasan tertentu.

Di Amerika Selatan, pelekat reflektif diletakkan di kolar GPS pada tengkuk tapir supaya haiwan itu lebih mudah dilihat dalam gelap. Tapir amat mudah menjadi mangsa kemalangan jalan raya kerana haiwan nokturnal itu mencari makanan berhampiran jalan raya pada waktu malam.

Bagaimanapun, pemandu juga perlu lebih berhati-hati apabila melalui jalan yang melintasi hutan. Haiwan liar sudah tentu tidak tahu menilai risiko tetapi kita sebagai manusia harus lebih sensitif dan menghargai nyawa makhluk ciptaan Tuhan itu.

Bagi saya, perubahan sikap amat penting kerana tidak semua haiwan liar akan menggunakan lintasan khas untuk mereka. Jika kita memandu dengan berhati-hati, sudah pasti kita mampu mengelak daripada melanggar haiwan-haiwan yang tidak berdosa itu.

Mengenai penyeludupan hidupan liar terutamanya tenggiling, pihak berkuasa seharusnya menguatkuasakan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008 di bawah Konvensyen Dagangan Antarabangsa Spe­sies Flora dan Fauna Terancam (CITES).Tenggiling telah disenaraikan di bawah Apendiks 1 CITES dan ini bermakna haiwan itu tidak boleh dibawa keluar dari habitatnya, dijual atau diperdagangkan kecu­ali untuk penyelidikan.

Agak menyedihkan apabila Malaysia dianggap sebagai salah satu transit hidupan liar yang popular, berdasarkan kejayaan Jabatan Kastam merampas pelbagai bahagian haiwan termasuk 8,000 tan sisik tenggiling di pelabuhan Sepangar di Sabah baru-baru ini dan gading gajah di KLIA pada Julai lalu.

Bayangkan berapa ribu ekor tenggiling yang telah ditangkap dan dibunuh hanya untuk mendapatkan sisik haiwan itu demi memenuhi permintaan yang terlibat dalam perdagangan haram ini.

Saya juga berpendapat Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 juga harus dipinda untuk memberikan penalti lebih tinggi terhadap pemburu haram dan pengedar hidupan liar.

Walaupun hukuman di bawah undang-undang yang menggantikan Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972 itu agak tinggi, banyak pihak mendakwa ia masih tidak menggerunkan pelaku kesalahan.

Langkah pencegahan melalui undang-undang yang ketat ini amat penting kerana bilangan spesies haiwan liar yang semakin merosot termasuk di kawasan perlindungan akibat pemburuan dan penebangan hutan secara haram.

Kewujudan media sosial dan portal perdagangan dalam talian lebih memburukkan lagi keadaan kerana ia memudahkan perdaga­ngan haram haiwan liar.

Oleh itu, kita perlu mempunyai undang-undang yang komprehensif dan ketat untuk menghalang aktiviti haram tersebut daripada terus berleluasa.

TAN SRI LEE LAM THYE ialah Penaung Persatuan Pencegahan Penganiayaan Haiwan (SPCA) Selangor.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain