Apabila menggunakan kende­raan itu, hilanglah keistimewaan mendapat potongan kadar tol dan hasil kurang kerana kenderaan menggunakan petrol, bukan gas. Begitulah kisah seorang pemandu teksi yang mencari rezeki untuk menampung kehidupannya. Beliau mengakui kegagalan membayar sewa itu juga disebabkan sejak kebelakangan ini, sukar untuk mendapatkan penumpang. Tempahan melalui aplikasi Grab (dulunya MyTeksi) juga jarang diperoleh. Mahu tidak mahu, beliau terpaksa ‘meronda’ di sepanjang jalan atau beratur di KLIA untuk mendapatkan penumpang.

Rintihan pemandu teksi ini sudah menjadi lumrah bagi mereka yang terpaksa membayar sewa teksi setiap hari kecuali pada beberapa hari tertentu termasuk perayaan.Mereka perlu bekerja setiap hari. Berehat sehari bererti menambahhutang sewa. Jika sehari berehat, jumlah masa bekerja atau jumlah kutipan harian perlu ditingkatkan pada hari-hari berikutnya supaya ia dapat menampung kos sewa, gas/petrol, gaji/upah serta kos baik pulih kenderaan ketika memerlukan. Bagi pemilik permit individu yang tidak terikat dengan syarikat, sudah tentulah bebanan itu tidak terasa. Mungkin hanya terasa apabila penumpang berkurangan.

Adakah ‘bebanan’ yang ditanggung ini menyebabkan penum­pang menjadi mangsa penipuan pemandu teksi? Ramaikah mereka. Mungkin jumlah pemandu yang ‘membebankan’ pengguna dengan tambang tanpa meter atau istilah ‘sembelih’ itu tidak banyak tetapi disebabkan nila titik rosak susu se­belanga atau seekor kerbau membawa lumpur, semua habis terpalit.

Dalam hal ini, penguatkuasaan oleh Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) amat penting. Begitu juga pengguna. Laporkan kepada pihak berkuasa jika pengguna ingin melihat sistem pe­ngangkutan awam teksi ini benar-benar tidak terlibat dalam gejala kurang sihat. Moto ‘Pengguna dan Penguatkuasaan’ tertera di dalam kad tatalaku pemandu teksi yang ada dalam kalangan pemandu menggelarkan sebagai ‘rantai anjing’. Isu pemandu menipu penumpang tidak akan selesai sekiranya pe­nguatkuasaan tidak berjalan dengan baik sementara penumpang/pengguna tidak bekerjasama membuat aduan sebaliknya hanya bercerita. Tindakan pula biar benar-benar ‘mengajar’ pemandu. Biar pemandu lain tidak mengulanginya.

Hakikatnya, bagi mengelakkan penipuan tambang teksi, penggunaan aplikasi seperti Grab perlu digalakkan supaya penumpang mendapat gambaran sebenar kadar tambang (sekiranya tanpa kesesakan lalu lintas). Sistem ini memaparkan rekod pemandu seperti nama, plat teksi dan nombor telefon. Semua pemandu teksi dapat menerima aplikasi ini dan ‘kekecohan’ yang berlaku dalam industri itu ketika ini bukanlah disebabkan aplikasi. Isunya ialah apa yang boleh dan tidak boleh dibuat oleh teksi dan GrabCar/Uber. Contohnya berkaitan kadar tambang, lesen Kenderaaan Pengangkutan Awam (PSV), insurans penumpang, pemeriksaan Puspakom dan had mengambil/menurunkan penumpang termasuk di KLIA, klia2 dan di luar Lembah Klang.

Susulan tulisan Selak berkaitan kad ini yang menyebabkan seorang pemandu gagal dalam ujian di Puspakom, minggu ini dipaparkan isi kandungan peraturan yang tertera di kad berkenaan yang digantung di belakang kerusi pemandu. Difahamkan sebahagian besar pemandu sudah tidak mengguna pakai peraturan ini. Ada pemandu yang lulus tanpa menggantung kad ini.

Mungkin pelik membaca ayat-ayat berkenaan kerana tajuknya LAPORKAN ADUAN ANDA SEKIRANYA TEKSI DAN PEMANDU ME­LANGGAR PERATURAN-PERATURAN BERIKUT. (Rujuk Info Grafik) Ada pemandu yang berkata, beliau ‘pening’ dengan arahan itu. Katanya ayat itu sepatutnya berbunyi: TEKSI DAN PEMANDU PERLU MEMATUHI PERATURAN-PERATURAN BERIKUT. Akhir sekali di bawah senarai itu guna ayat seperti: PENGGUNA/PENUMPANG BOLEH MEMBUAT ADUAN JIKA TEKSI/PEMANDU GAGAL MEMATUHI PERATURAN DI ATAS.

Selak pernah membangkitkan perkara itu tidak lama dulu tetapi tidak ada sebarang perubahan. Tidak pasti sama ada ayat itu betul atau tidak. Mungkin Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) boleh membantu memberi pencerahan supaya arahan itu tidak menjadi gurauan atau bahan persendaan!