Selepas perlumbaan di Singapura, jarak mata antara Lewis Hamilton dengan Nico Rosberg begitu tipis iaitu lapan mata sahaja. Nico di hadapan dengan 273 mata terkumpul manakala Lewis 265 mata.

Ini menjadikan F1 Sepang sebagai medan perlumbaan yang hebat. Seluruh dunia akan memerhati dengan penuh minat. Namun, ada lima lagi baki perlumbaan selepas Malaysia. Kemenangan di F1 Sepang akan membantu banyak kedua-dua pelumba menambah mata.
Namun, berdasarkan laporan terkini, Nico mendahului Lewis dalam masa 'setengah saat’. Bagaimana hendak anda bayangkan kepantasan 'setengah saat’ itu? Itu senang. Kereta mana sampai dulu, dan masanya kereta kedua sampai akan dihitung berdasarkan kereta pertama.

Persoalan maha penting ialah bagaimana hendak menang dengan kelebihan 'setengah saat’? Bagi kebanyakan kita, ia terlalu rumit hendak ditelaah. Tetapi menelaah keupayaan laju 'setengah saat’ ini, menjadi tumpuan sepasukan jurutera bagi menghasilkan kejituan terhadap kepantasan. Kemahiran memandu ada pada Nico dan Lewis. Namun, mahir mana pun, tidak akan memenangi apa-apa jika jentera tidak berdaya kuasa.

Inilah kelebihan pada pasukan F1 Mercedes AMG Petronas, yang bagi kebanyakan daripada kita mahu menganggap inilah pasukan negara kita disebabkan wujudnya ikatan syarikat petroleum negara iaitu Petronas.
Tidak salah. Lewis dan Nico pun selalu sebut, 'bertarung di kampung halaman' walaupun masing-masing berasal dari England dan Jerman. Mereka berdua tahu cara menawan hati Petronas dan rakyat Malaysia.
Baru-baru ini, Merrepak menyertai rombongan media bersama Petronas bagi meninjau operasi belakang tabir pasukan F1 Mercedes AMG Petronas berpusat di Brackley dan pusat penghasilan unit kuasa atau enjin Mercedes AMG Performance Powertrain di Brixworth, United Kingdom. Sebelum itu, kami meninjau kilang minyak pelincir Petronas Lubricants International di Torino, Itali.

Saling menyokong

Ketiga-tiga premis ini saling menyokong antara satu sama lain bagi menghasilkan jentera bertenaga kepada F1 Mercedes AMG Petronas. PLI melakukan penyelidikan dan ujian makmal bagi memastikan kesesuaian minyak pelincir untuk enjin, yang dibina di Brixworth manakala ibu pejabat pasukan di Brackley menjadi nadi pasukan.

Apa yang nyata, penglibatan Petronas dalam pasukan F1 ini bukan semata-mata menampal pelekat nama pada kereta lumba. Kewujudan Petronas adalah benar-benar sebagai rakan strategik, rakan lumba dan rakan teknologi.
Apakah yang terdapat di Mercedes AMG High Performance Powertrain di Brixworth ini? Pusat ini memulakan operasi pada 1984 dengan nama syarikat Ilmor Engineering Ltd. Dan mencipta prestij sebagai nadi utama setiap jentera perlumbaan yang bersaing dalam F1.
Pada 2002 ia dijenamakan sebagai Mercedes-IImor Ltd dan tiga tahun kemudian diambil alih oleh Daimler AG dan beroperasi menggunakan nama Mercedes-Benz High Performance Engines Ltd.

Sejak 1995, pusat ini bertanggungjawab menghasilkan setiap enjin Mercedes-Benz yang bersaing dalam perlumbaan F1 dengan kini lebih 500 jurutera terbabit dalam penghasilan rekaan serta menguji teknologi unit kuasa hibrid pasukan Mercedes AMG Petronas. Selain itu, pusat ini turut memiliki tiga pelanggan iaitu Williams F1, Lotus F1 dan Sahara Force India F1.
Daripada peringkat konsep, rekaan, pembuatan dan pemasangan, ujian dan analisis enjin dilakukan di sini dengan teras utama iaitu kualiti, kecemerlangan teknikal dan kelajuan serta fleksibiliti sebagai objektif utama mereka.

Enjin yang dihasilkan sebelum ini seperti V10 dan V8 berjaya merangkul 90 kejuaraan Grand Prix dan pelbagai anugerah turut diterima antaranya seperti Piala Dewar untuk Kecemerlangan Teknikal pada 2009 atas kejayaan Sistem Pemulihan Tenaga Kinetik (KERS) yang juga enjin hibrid pertama menjuarai GP Hungary pada 2009.
Untuk pasukan Mercedes AMG Petronas, sebanyak lima enjin berkuasa 1.6 liter dicas turbo V6 hibrid disediakan sepanjang musim yang akan digunakan mengikut keperluan sama ada untuk sesi latihan atau perlumbaan.

Sememangnya binaan unit kuasa di Brixworth terbukti membantu kejayaan perlumbaan diperoleh sejak 2009 dan kini gabungan bahan api daripada Petronas Primax menjadi pakej lengkap meneruskan kesinambungan kecemerlangan mereka dalam industri ini.
Ketua Sukan Permotoran Mercedes-Benz, Toto Wolf berkata, di ibu pejabat Mercedes AMG Petronas F1, pihaknya sentiasa komited menambah baik teknologi dalam perlumbaan serta menyediakan kemudahan dengan fasiliti termoden untuk memastikan jentera yang pantas dan muncul juara.

Bagi Pengarah Urusan Mercedes AMG High Performance Powertrains, Andy Cowell, penghasilan unit kuasa Mercedes AMG Petronas berjaya dibuktikan dalam perlumbaan apabila muncul juara perlumbaan dan kategori pengeluar F1 musim 2014 dan 2015.
Ketua Teknologi dan Penghasilan Projek, Kumpulan Petronas Lubricants International, Eric Holthusen berkata, pihaknya bukan sahaja menghasilkan produk minyak enjin dan pelincir, juga sebagai pusat penyelidikan dan pembangunan untuk kegunaan pasukan F1.