Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY

Logo Kaji Selidik Pembaca

Pernahkah anda melayari portal SEBENARNYA.MY ?

Pernahkah anda dengar tentang SEBENARNYA.MY ?




Sila respon kepada soalan di atas untuk menutup skrin ini

Show result

Najib Tun Razak (tengah) meraikan kejayaan Ahli Parlimen Sungai 2
Najib Tun Razak (tengah) meraikan kejayaan Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi memenangi Pilihan Raya Kecil Parlimen Sungai Besar di Dewan Sri Bernam, 18 Jun tahun lalu. Budiman dianggap sebagai calon boleh menang pada pilihan raya kecil tersebut.

BENARKAH Pilihan Raya Umum ke-14 akan diadakan selepas berakhirnya temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017? Ramalan ini berdasarkan kepada telahan politik yang kini hangat diperbincangkan ter­utama dalam kalangan pemerhati dan penganalisis politik tanah air.

Ada yang meramalkannya pa­da September dan tidak kurang juga yang mengandaikan pilihan raya akan berlangsung sama ada Oktober atau November tahun ini. Sejauh mana kebenarannya sukar hendak dipastikan kerana kuasa untuk membubarkan Parlimen terletak di ta­ngan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Setakat ini Perdana Menteri belum memberi bayangan kepada kita bilakah PRU-14 akan diadakan. Apa pun penulis seratus peratus percaya Perdana Menteri telah mempunyai tarikh yang paling sesuai untuk diadakan pilihan raya umum tersebut dan hanya akan diumumkan apabila tiba masanya kelak.

Untuk rekod, tarikh luput mandat Barisan Nasional (BN) memerintah negara ini adalah pada 24 Jun 2018 iaitu berasaskan tarikh persidangan pertama selepas PRU-13 yang lalu. Yang pasti, dalam tempoh berbaki kira-kira 11 bulan lagi, BN perlu lebih bersedia untuk berhadapan de­ngan cabaran Pakatan Harapan yang kini dianggotai oleh DAP, PKR dan PAN dalam PRU-14 akan datang.

Cabaran dilihat semakin hebat apabila Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang diterajui oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengambil keputusan menyertai Pakatan Harapan selepas mereka tidak lagi bersama UMNO.

Namun begitu tidak pula dinafikan kerjasama Pakatan Harapan dilihat agak rapuh meskipun Dr. Mahathir sudah ada bersama mereka. Antara puncanya adalah perbezaan agenda perjuang­an masing-masing dan tidak terkecuali isu pemilihan Perdana Menteri yang masih belum selesai sehingga sekarang.

Kata orang pedulikanlah. Biarlah mereka berebut jawatan Perdana Menteri sesama mereka. Apa yang lebih penting BN tidak boleh sesekali leka dan lalai. Sebaliknya, dalam tempoh kira-kira 11 bulan ini BN perlu mempersiapkan jentera pilihan rayanya untuk menghadapi PRU-14 tidak lama lagi.

Dalam tempoh ini juga, segala permasalahan yang berlaku dalam BN khususnya UMNO perlu diselesaikan segera bagi mengelakkan berlakunya sabotaj pada pilihan raya umum tersebut. Tiada istilah ‘cah keting’ dengki mendengki dan cantas-mencantas di saat-saat kritikal ini, Semua pihak wajib berpadu demi kemenangan UMNO dalam PRU-14.

Begitu juga dengan per­masalah­an yang berlaku dalam parti-parti komponen BN. Jika ada mohon selesaikan segera kerana tarikh PRU-14 sudah semakin hampir. Rakyat di luar sana sentiasa memerhatikan perkembangan yang berlaku dalam UMNO dan BN .

Difahamkan lobi-melobi untuk menjadi calon BN juga giat berlaku di saat ini. Masing-masing berusaha menonjolkan diri agar pucuk pimpinan terutama Perdana Menteri melihat mereka layak menjadi calon.

Tidak terkecuali mereka yang melobi ini terdiri daripada pemimpin-pemimpin yang sepatutnya telah lama bersara. Sebaik-baiknya mereka ini perlu mengundurkan diri dan kemudian beri peluang kepada calon wakil rakyat yang lebih muda dan bertenaga. Cukup-cukuplah de­ngan jawatan wakil rakyat yang disandang selama ini.

Berhubung dengan calon, seorang penganalisis politik, Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek ketika dihubungi baru-baru ini meng­akui bahawa faktor calon akan menentukan kemenangan bagi sesebuah parti yang bertanding.

“Oleh itu pemilihan calon oleh pucuk pimpinan hendaklah dilakukan dengan bijak, telus dan bertanggungjawab agar calon yang dipilih benar-benar berkua­liti dan diterima oleh rakyat. Kita perlu letakkan calon yang boleh menang (winnable candidate) untuk bertanding dan bukan calon yang pandai melobi. Inilah langkah yang perlu diambil perhatian oleh UMNO dan BN jika mahu kekal berkuasa,” ujarnya.

Beliau berkata, semua pihak perlu terima hakikat bahawa trend pengundi sekarang sudah jauh berubah dan kegagalan meletakkan calon yang betul akan menyebabkan parti tersebut tewas dengan pihak lawan meskipun di kawasan tradisi.

“Sebab itu saya ingin menge­syorkan mana-mana komponen BN yang merasakan kawasan mereka hitam disebabkan masalah calon atas isu majoriti Melayu tolong serahkannya kembali kepada UMNO. Contoh terbaik seperti kawasan Telok Kemang.

“Disebabkan isu calon, Telok Kemang terus dikuasai oleh PKR hingga sekarang sedangkan potensi untuk BN menang amat ce­rah jika kita letakkan calon Me­layu. Bagi saya tiada salahnya parti komponen ini berkorban demi kemenangan BN,’’ katanya lagi.

Dalam pada itu ketika ditanya apakah kriteria calon boleh menang, Abdul Halim berkata, terdapat empat sifat utama yang mesti ada iaitu agama, integriti, latar belakang pendidikan dan keperibadian.

“Keempat-empat kriteria ini diperoleh dalam satu tinjauan yang kami lakukan membabitkan 2,000 pelajar universiti pada 2009, setahun selepas PRU 2008. Ketika itu saya bertugas sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Penyelidikan Pembangunan Belia Malaysia,” katanya.

Amat diharapkan perkongsian ini sedikit sebanyak boleh dijadikan sebagai panduan kepada kita dalam usaha mencari calon yang benar-benar layak sekali gus mampu menghadiahkan kemenangan kepada BN. Sesungguh­nya PRU-14 bukannya platform untuk dibuat uji kaji sebaliknya pilihan raya umum tersebut disifatkan sebagai penentu kepada kelangsungan UMNO dan BN dalam bidang politik negara ini.

Artikel Berkaitan
Video Pilihan
Artikel Lain