Jangan juga dipertikai jika calon berkenaan orang yang sama menjadi wakil rakyat, sudah masuk tiga atau empat penggal.

Ketepikan semua itu kerana apa yang penting dia disukai rakyat. Pendekatan pemilihan calon memiliki kriteria seumpama itu sudah terbukti kejayaannya pada beberapa pilihan raya kecil lalu. Peluang kemenangan lebih cerah sekiranya calon itu disukai rakyat.

Selagi calon tersebut mampu memberi perkhidmatan terbaik dan boleh membawa kemenangan kepada BN, usah dipertikaikan pemilihannya. Sokong 100 peratus. Jika rakyat menyukainya, mengapa pula ahli dan penyokong BN mahu menolaknya. Bukankah kepentingan parti melebihi individu atau survival pemimpin tertentu?

Hanya calon yang boleh menang dan disukai ramai membolehkan BN menang besar pada PRU-14. Justeru, mereka yang berada dalam kepemimpinan parti sama ada di peringkat cawangan atau bahagian seharusnya berlapang dada dan tidak merajuk apabila tidak dipilih. Ini yang mereka perlu lakukan sekiranya benar-benar sayangkan BN.

Sebab itu pemimpin berpengalaman seperti Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Datuk Seri Adnan Yaakob yang empat kali mengetuai jentera pilihan raya umum peringkat negeri dan lima kali berdepan pilihan raya kecil, menekankan tentang kepentingan memilih calon yang disukai rakyat.

Beliau amat faham dan menyedari salah satu faktor yang paling penting ialah pemilihan calon tepat serta berpotensi tanpa mengira sama ada muka lama atau baharu.

“Bagi kita, kita pilih calon yang orang (rakyat) suka, bukan kita suka dan perkara ini saya sudah maklumkan kepada Presiden MCA dan MIC. Kalau calon orang suka, kita pasti boleh mencapai kemenangan,” kata Adnan selepas Majlis Ramah Mesra Menteri Besar Pahang Bersama Rakyat Mukim Pahang Tua di Pekan, Pahang hari ini.

Cukup mendalam kenyataan itu dan tidak susah untuk memahaminya. Cuma lagi, ia perlu dilaksanakan, bukan sekadar di atas kertas. – UTUSAN ONLINE, Mohd. Shariza Abdullah