J. LOGA BALA MOHAN

Dalam wawancara dengan wartawan Utusan Malaysia, NIZAM YATIM di Kuala Lumpur baru-baru ini, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, DATUK DR. J. LOGA BALA MOHAN menegaskan, dakwaan tanah dijual tanpa tender terbuka dan di bawah
harga pasaran adalah tidak berasas sama sekali.

Beliau yang pernah dipuji seorang pemimpin DAP sebagai timbalan menteri paling rajin dan efektif menjelaskan, walaupun dilempar pelbagai tohmahan, pihaknya telah melepasi sasaran bilangan unit rumah mampu milik yang harus dibina.


UTUSAN MALAYSIA: Benarkah wujud penyelewengan penjualan tanah DBKL?

LOGA BALA MOHAN: Dakwaan ini sudah tentu tidak benar. Menteri (Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor) membuat keputusan menjual ta­nah ini untuk membantu rakyat mendapatkan rumah mampu milik. Petunjuk Prestasi Utama (KPI) ditetapkan terhadap kementerian adalah menyediakan 80,000 unit rumah mampu milik iaitu 50,000 di Kuala Lumpur; 20,000 Putrajaya dan 10,000 Labuan.

Oleh kerana kita tidak mendapat peruntukan khusus daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan untuk tujuan itu, kita terpaksa gunakan peruntukan sendiri. Kita juga menggunakan kaedah perkongsian bijak yang tidak melibatkan perbelanjaan wang banyak.

Kita telah mula menjual tanah ini tetapi dengan beberapa syarat. Pertama, tanah-tanah ini dijual pada harga pasaran dengan tambahan nilai 20 peratus. Kedua, tanah-tanah yang dibeli (pemaju) ini, perlu menyediakan Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (Rumawip) kepada rakyat dengan harga antara RM188,000 hingga RM300,000 seunit mengikut kawasan.

Ketiga, kita turut memastikan pemaju membina Projek Perumahan Awam 1Malaysia (PPA1M) yang dijual pada harga antara RM150,000 hingga RM300,000 seunit. Pada masa sekarang kita telah melepasi sasaran membina 50,000 unit rumah di Kuala Lumpur.

Ada dakwaan DBKL tidak mematuhi Pelan Struktur Kuala Lumpur 2020 apabila membenarkan pembangunan berkepadatan tinggi?

Tidak benar dakwaan kita te­lah meluluskan terlalu banyak projek perumahan atau terlebih pembangunan. Apa yang dilakukan adalah memenuhi keperluan kediaman penduduk yang dijangka meningkat. Mengikut pelan struktur sedia ada, kita sasar pada 2020 Kuala Lumpur akan mempunyai 2.2 juta penduduk. Pada masa sekarang, jumlah penduduk Kuala Lumpur adalah 1.8 juta orang.

Bagaimanapun, kerana pelbagai sebab, pada 2020 jumlah pen­duduk Kuala Lumpur dianggarkan berjumlah 1.95 juta orang. Bagaimanapun, akan tetap berlaku pertambahan penduduk dan untuk memastikan rumah disediakan mencukupi, DBKL membenarkan nisbah plot yang lebih besar di sesetengah kawasan tetapi pada masa sama kita tidak me­langgar garis panduan ditetapkan badan penarafan antarabangsa.

Langkah sama juga telah dilakukan oleh Singapura satu ketika dahulu apabila mereka merobohkan banglo untuk dibina pangsapuri, adakah itu pun terlebih pembangunan?

Satu lagi sebab kerana Kuala Lumpur adalah salah satu pe­nyumbang terbesar kepada Ke­luar­an Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia. Pembinaan adalah penyumbang utama kepada KDNK dan kalau kita tidak melakukan pembangunan seperti ini, kita tidak akan dapat menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

Apakah manfaat daripada langkah DBKL ini?

Langkah ini telah memberi manfaat kepada pelbagai pihak kerana semua orang adalah rak­yat kita termasuk usahawan, orang awam dan pihak yang membuka syarikat serta menawarkan pelbagai perkhidmatan di Kuala Lumpur. Ini bukan untuk membuat diri sendiri atau kroni kaya tetapi adalah bagi faedah rakyat. Warga kota jangan biarkan minda mereka ‘dibasuh’ untuk mempercayai semua yang dilakukan kerajaan tidak baik.

Manfaat kepada kaum India, saya boleh sahkan sekarang tiada lagi setinggan kaum itu di Kuala Lumpur kerana semua mereka te­lah dipindahkan ke rumah-rumah yang telah kita bina dengan diberi pinjaman tanpa dikenakan kadar faedah untuk membeli kediaman.

Boleh komen perbezaan zaman Tun Dr. Mahathir Mohamad dan kepemimpinan sedia ada?

Masa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri walaupun terdapat dasar meningkatkan pe­nyertaan ekuiti kaum India sebanyak tiga peratus, tetapi itu tidak dilaksanakan. Hanya cakap sahaja. Ketika itu kaum India seolah-olah dilupakan dan tidak dianggap sebahagian daripada rakyat Malaysia.

Sekarang, saya ingin memberi komen sebagai orang India dan bukan pemimpin Barisan Nasional (BN). Saya bersetuju untuk menjadi senator dan menyertai Kabinet sejak lima tahun lalu ke­rana yakin keikhlasan kepemim­pinan sedia ada.

Apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri pada 2009, perkara pertama yang dilakukannya adalah memberi RM100 juta untuk membaik pulih Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT).

Selepas itu banyak lagi yang dibuat menerusi pelan induk khusus yang tiada pada zaman Dr. Mahathir termasuk me­nye­dia­kan pembiayaan perniagaan kepada kaum India me­lalui Ta­bung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) dan penubuhan Sekretariat Khas Untuk Memperkasa Usahawan India (SEED).

Masalah kaum India tidak memiliki kewarganegaraan juga di­se­lesaikan menerusi penubuhan jawatankuasa khas dan kuota juga telah ditetapkan untuk kaum India sebanyak tujuh peratus untuk kemasukan ke universiti dan perkhidmatan awam. Terdapat juga kuota rumah mampu milik antara 10 hingga 20 peratus mengikut kawasan dengan kerajaan menyediakan pinjaman untuk mereka membeli rumah.