Rais, 75, yang pernah berkhidmat di bawah lima Perdana Menteri, bahkan masih bekerja di sisi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ada sesuatu yang mahu dikongsinya dengan para perwakilan UMNO yang akan bersidang selama lima hari dalam perhimpunan agung parti di ibu negara bermula esok, 5 Disember.
Berikut temu bual beliau yang juga Penasihat Sosiobudaya Kerajaan dengan wartawan Utusan Malaysia, ZULKIFLI JALIL ketika dihubungi semalam.

 

Utusan : Masihkah ada harga UMNO ini?

RAIS: Walaupun UM­NO­ sekarang dihimpit oleh a­nasir-anasir yang pernah memimpin UMNO dahulu seperti Dr. Mahathir Mohamad, Muh­yiddin Yassin, Mukhriz dan beberapa yang lain, saya dapati UMNO masih berperanan sebagai parti tulang belakang untuk orang Melayu dan Malaysia.

Memang kita akui sebahagian daripada serlahannya (UMNO) dahulu sudah dipecahkan oleh mereka seperti itu.

Namun, UMNO masih mempunyai aura, jasa dan potensi untuk membuat perubahan dan terus menyumbang kepada kewibawaan dan kehebatan perjuangan Melayu.

Adakah isu tertentu ma­sih ‘membelenggu’ parti?

Memang kita akui ada beberapa isu berat seperti 1MDB, cukai barang dan perkhidmatan (GST) serta kos kehidupan, namun UMNO di bawah tadbiran Datuk Seri Najib ada potensi untuk menggunakan semua ini bagi membawa perubahan lebih hebat.

Sebabnya, himpitan-himpitan ini bukanlah daripada perjuangan sebelah sana (Pakatan Harapan dikepalai DAP) atau perjuangan Dr. Mahathir yang berasas pada nasionalisme.

Beliau bukan berjuang di atas perkara pokok kemelayuan atau berasas pada isu-isu perpaduan rakyat Malaysia.

Juga beliau bukan berjuang di atas tiket membawa perubahan sejagat bagi negara.
Sebaliknya, beliau berjuang atas tiket peribadi dan sentimen yang mencerminkan desakan sendirian terhadap Datuk Seri Najib dan keduanya, kepada orang yang pegang kuasa-kuasa tertentu.

Datuk Seri Najib­ maklum ini semua?

Saya menduga Datuk Seri Najib tentu sekali merancang membawa beberapa pembaharuan drastik yang nan­ti boleh mengetepikan toh­mahan yang dibawa Dr. Mahathir dan rakan-rakannya.

Tentu sekali negara dan orang Melayu khasnya menanti-nanti apakah pengumuman yang akan dibuat oleh Najib berhubung masa depan parti dan negara ini.

Masa depan pertama, beliau tentu tak boleh lari daripada ke­utuhan Melayu, kepemimpinan Melayu dan kepentingan Melayu menerusi politik negara. Dan terbaik sekali kalau boleh membawa ke tengah huraian tentang 1MDB secara yang beliau dapat lihat perkembangannya dan cara me­ngatasinya setakat ini.

Kedua, huraian beliau tentang apa faedah GST. Bagaimana GST telah membantu orang Melayu serta masyarakat Malaysia.
Ketiga, bagaimana beliau lihat kos kehidupan sekarang bersifat sementara oleh kerana indeks ekonomi sekarang sudah nampak dan diperakui meningkat.

Walaupun tak sampai kadar­nya tapi perubahan untuk ringgit bertambah nilai, perubahan kepada rizab luar negara Malaysia melebihi AS$100 bilion misalnya, sudah nampak.

Jadi, ini penting kepada kehidupan orang Melayu dan harga getah, sawit diduga naik kembali apabila ringgit ini sudah ada tanda untuk berimbang. 
Saya nampak ini akan mengalahkan apa sahaja hujah yang dikemukakan, sama ada baik di Sabah mahupun di Semenanjung buat UMNO menghadapi pilihan raya.

Dr. Mahathir bukankah ancaman utama UMNO?

Memang apa yang beliau sebut ini ada tukang tepuknya di luar negara, ada pengikutnya dalam negara, itu kita tak nafikan itu. Tetapi dari segi percaturan politik nasional, suara beliau yang telah merejam UMNO dan Datuk Seri Najib tak cukup untuk membawa beliau dan rakan memerintah negara ini walaupun sengit. Ini sudah cukup untuk kita menyangkutkan harapan kepada BN dan UMNO.

Jika diizinkan-Nya Barisan Nasional yang ditunjangi UMNO terus mempertahankan mandat rakyat, apa yang harus dibuatnya selepas itu?

Apabila UMNO kembali memerintah walaupun dalam kea­daan tak dapat dua pertiga, maka kita mesti bersihkan UMNO daripada anasir yang melemahkan perjuangan orang Melayu.

Elok ditengok balik sosiobudaya Melayu, prinsip ketokohan dan kepentingan Raja-Raja, bahasa Melayu dan keutuhan ekonomi Melayu.

Jadi, faktor ini kalau kita ingat dan perjuangkan balik secara yang boleh, kita akan sam­pai ke paras jaminan pada rakyat. Saya kira maki-hamun di sebelah sana khasnya rantai­an yang dibentuk Dr. Mahathir sudah selesai isunya dan tak dapat dibawa ke tengah untuk mengalahkan perjuangan kita.

Apa yang boleh Tan Sri katakan mengenai Dr. Mahathir?

Saya sudah kenali beliau dalam perjuangan sejak 1973 lagi. Jadi, perjuangan kemelayuan itu sekarang sudah jelas beliau tak pakai lagi. Beliau mahu pakai perjua­ngan majmuk dan selama beliau sudah jadi pembangkang, saya tak nampak, tak dengar lagi laung­an untuk perjuangkan hak-hak Melayu. Beliau sudah jadi pe­mimpin seperti Lim Kit Siang, tak bawa lagi sifir kemelayuan.

Dan Datuk Seri Najib, waima isu 1MDB, GST dan kos hidup, nasib baiklah lantaran parti Melayu ini masih di tangannya dan beliau ada masa untuk membuktikan apa yang Dr. Mahathir sudah lupa, beliau boleh perbaiki.

Dengan hujah-hujah beginilah, Perhimpunan Agung UMNO 2017 adalah peluang terbaik Datuk Seri Najib menghuraikan masa depan UMNO serta ruang ekonomi perjuangan kebangsaan Melayu yang bermakna bersekali dengan Islam.

Tautan Pas-UMNO baikkah untuk kedua-duanya?

Ura-ura bekerjasama dengan Pas sangat baik walaupun kita ketahui seorang dua di bawah presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang buat seruan dengan suara agak berbeza. Namun ura-ura bagi Pas bahawa jika baik untuk Islam dan orang Melayu maka boleh bekerjasama, ini saya fikir sudah memadai dahulu.

Dan terjemahkan itu supaya UMNO bersedia di bawah bimbingan Datuk Seri Najib untuk buat ubah suai demi orang Melayu, Islam dan negara.