Bila dia kembali bekerja, memang nampak muka letihnya dan dia mengadu tidak cukup tidur. Katanya, dia hanya duduk di rumah. Tak ada masa langsung hendak ‘mengeteh’ di luar atau berjumpa dengan kawan-kawan. Hendak layan mesej di telefon pun tak sempat. Fokus seratus peratus pada keluarga sahaja.

Akak cun tabik dan menyanjung tinggi sikap orang lelaki sebegini. Bertanggungjawab. Tahu peranannya sebagai suami dan ayah pada waktu-waktu sebegitu. Tidak mencari ruang dan peluang untuk berseronok dengan kawan-kawan semasa mengambil cuti isteri bersalin.

Sebenarnya, ada saja suami yang mengambil cuti panjang masa isteri bersalin, tetapi bukan membantu sangat pun. Ada yang ambil kesempatan cuti itu untuk berehat, membiarkan ibu atau ibu mertuanya menguruskan semuanya. Dia hanya baring-baring melayan telefon sambil tengok TV dan ada juga boleh pula pakat-pakat pergi memancing dengan kawan-kawan!

Kawan-kawan pula, ada saja mengajak pergi sana, pergi sini. Sudah tahu kawan itu baru saja dapat anak tak perlulah mengatur macam-macam rancangan. Hari lain banyak lagi. Masa itulah juga mengajak temankan pergi dusun ambil buah durian, pergi main golf, pergi main bola dan macam-macam lagi. Yang dia pula apa lagi, pantang diajak, memang hati tengah meronta-ronta mahu keluar. Bosan duduk di rumah.

Tetapi apabila kembali semula bekerja, bukan main lagi dia sembang, jaga anak sampai tak tidur malam. Katanya, mata pun sudah jadi mata Panda. Eh, yakah tapi tak nampak macam mata Panda pun? Muka berseri semacam je. Tak ada langsung muka letih. Cuba-cubalah tanya macam mana cara bancuh susu anak dan apa itu ‘minyak telon’ tentu dia ‘gelabah biawak’ hendak jawab.

Yalah, sebenarnya, ada ramai lelaki yang memang tidak boleh ‘lekat’ di rumah. Paling lama dia boleh berada di rumah masa dia tidurlah. Celik saja mata, hilanglah dia. Kalau tidak pergi kerja, dia melepak dengan kawan-kawan. Berlagak macam orang bujang.

Ada yang cukup rimas berada dalam rumah. Resah gelisah macam ada saja yang memanggil di luar. Apatah lagi hendak menolong menjaga anak atau membuat kerja-kerja rumah. Ada yang masih bermentaliti kerja-kerja rumah ini adalah bidang kuasa orang perempuan. Bidang kuasa dia, cuma bagi arahan suruh masak apa dan makan saja. Hendak jadi raja dalam negara tak dapat, sebab bukan berdarah raja, dapat jadi raja dalam rumah pun jadilah. Rajalah juga.

Sebab itu, bila isteri bersalin, tidak sihat atau bekerja out station, dia mula gelabah atau mati kutu. Anak pun tidak tahu jaga dan keadaan dalam rumah bersepah macam tongkang pecah.

Akak cun pun hairan, susah sangatkah orang lelaki hendak urus rumah tangga dan anak-anak? Kalau orang perempuan boleh handle, tak akan orang lelaki yang gagah perkasa tidak boleh pula. Masalah negara pun korang boleh kasi settle. Inikan pula bab-bab jaga anak, cuci pinggan mangkuk, basuh baju dan mop lantai. Apalah sangat.

Mungkin ada kawan-kawan lelaki yang mengecam atau masuk jarum, kalau tolong isteri atau asyik melekat di rumah lepas habis kerja, lelaki itu takut bini, maka dia pun malu digelar begitu. Janganlah dengar cakap kawan-kawan, kalau jadi apa-apa nanti seperti sakit, bukan kawan yang datang tolong jaga pun.

Ramai lelaki yang menganggap kerja rumah ini adalah kerja yang remeh-temeh. Jadi, segala kerja yang remeh-temeh biarlah orang perempuan uruskan. Walhal isteri juga bekerja, membantu suami. Apa salahnya, kerja-kerja rumah itu dilakukan bersama. Janganlah terlalu berkira.

Suami selalu bagi alasan, balik rumah, sudah penat-penat mahu berehat. Jangan serabutkan kepala mereka dengan kerja-kerja rumah atau leteran isteri. Isteri yang bekerja tidak pula boleh beri alasan begitu. Bila balik rumah terus kena buat kerja rumah, bila pula masa isteri nak berehat? Mesin basuh pun reti rehatlah.

Bila orang perempuan cepat melenting dan asyik marah-marah, dikata pula, isterinya kuat membebel, walhal bila sudah letih fizikal dan mental, sesiapa pun akan cepat marah. Ini yang sepatutnya orang lelaki cubalah faham.

Dalam hal anak sakit pun begitu juga. Selalunya, isterilah yang disuruh mengambil cuti kecemasan (EL) sehinggalah anak itu sembuh. Sedangkan boleh saja suami bergilir-gilir mengambil EL itu. Jangan orang ­perempuan saja dilihat oleh majikan suka mengambil EL. Akibatnya, rekod kedatangan orang perempuan yang sudah berkahwin di tempat kerja selalunya buruk. Dan ada majikan yang tidak suka mengambil perempuan yang sudah berkahwin bekerja. Sebab-sebab macam inilah. Tak pasal-pasal nama orang perempuan juga yang busuk.

Akak cun sebenarnya tak suka membebel. Akak cun pendiam dan juga pemalu orangnya. Tapi kadang-­kadang bila tengok dan dengar hal-hal macam ini, menyirap juga darah. Jadi kepada golongan suami, janganlah buat isteri macam mesin atau robot di rumah. Masa bercinta bukan main lagi, kau ratuku! bila dah kahwin buat isteri sebiji macam orang gaji. Ratu apanya? Aduhai...