“Orang perempuan ni memang tak jawab call ye kalau tengah driving?” tanya Bro Tompok sinis kepada Miss Kitty.

Eh, soalan kuiz budak sekolah ke apa ni? Lagi mahu tanya. Mestilah Miss Kitty tak nak jawab. Pakai hands free earphone ke, loud speaker ke, Miss Kitty tak nak hilang fokus semasa memandu. Lagi pula yang menelefon tu Bro Tompok, mesti ada saja dia nak cari `pasai’ kata orang utara. Nanti Miss Kitty tersondol kereta kat depan Miss Kitty, kata orang perempuan bawa kereta gelabahlah, lembablah, tak guna akal pakai kepala lututlah, macam-macam dok mengata orang perempuan bila bab memandu ni.

Sedangkan, yang dok banyak melakukan kesalahan jalan raya tu orang lelaki lah. Tang dia sondol kereta orang dia cakap orang depan dia bawa lembab, kalau perempuan yang sondol dia kata pula kita ni dapat lesen terbang! Nasib baiklah kereta terbang tak siap lagi kan. Kalau dah ada, haruslah orang lelaki dok hon sana sini kat atas tu pula. Bising!

Cakap pasal hon ni, ada kajian mengatakan pemandu lelaki memang suka sangat menekan hon kenderaan. Dikatakan pemandu lelaki tiga kali ganda lebih cenderung menekan hon bila kereta di depannya terlalu lambat berbanding perempuan. Pantang lambat sikit, cepat je tangan tu tekan hon. Miss Kitty pun selalu juga kena hon, yang hairannya kita bawa kereta di lorong paling kiri pun dia nak hon. Nak laju pi la lorong kanan. Apa lak hon-hon Miss Kitty. Nak ngurat ke? Miss Kitty pun ramai peminat, macam Bro Tompok tau. Nampak tak lelaki ni obses dengan hon kereta?

Pemandu lelaki juga dikatakan dua kali ganda melanggar peraturan jalan raya berbanding pemandu perempuan. Malah, sebanyak 83 peratus pemandu lelaki cenderung menunjukkan perangai memandu laju manakala perempuan hanya sebanyak 17 peratus.

Bab ini memang Miss Kitty setuju. Laju-laju nak pi mana encik abang semua? Setakat balik rumah, dok depan televisyen, tersengih-sengih main handphone sampai tertidur tak payahlah laju-laju atau setakat nak pi lepak mamak pun hendak berangan sangat jadi Lewis Hamilton atau Fernando Alonso, memang entah apa-apa.

Di London pula pada tahun lalu, ada satu kajian yang dilaporkan oleh Mail Online yang mengatakan orang lelaki cenderung empat kali terlibat dalam kes mahkamah di atas jalan raya dan dua kali ganda berkemungkinan untuk membuat tuntutan insurans berbanding perempuan. Kajian itu juga membuktikan bahawa wanita sebenarnya adalah pemandu yang lebih berhemah berbanding lelaki.

Miss Kitty dah naik cemuih, orang dok mengata lady driver ni macam-macam. Kalau orang perempuan mogok tak nak bawa kereta, encik abang semua nak tolong hantar ke pergi kerja? Hantar dan ambil anak di sekolah? Pergi pasar? Pergi shopping? Pergi klinik bagai? Time suruh hantar, macam-macam alasan pula, sibuk mengalahkan dah jadi Perdana Menteri Burkina Faso pula. Tahu tak negara Burkina Faso tu kat mana? Tak tahu, sudah!

MISS KITTY: Tekan Brek!